SPP Bil.17/2008 Pekeliling Pemberian Wang Tunai Sebagai Gantian Bagi Cuti Rehat yang Tidak Dapat dihabiskan Oleh Pegawai Lantikan Secara Kontrak (Contract of Service)

Pekeliling Pemberian Wang Tunai Sebagai Gantian Bagi Cuti Rehat yang Tidak Dapat dihabiskan Oleh Pegawai Lantikan Secara Kontrak (Contract of Service)

Tujuan Pekeliling Bayaran Pembaharuan Lesen Memandu dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai pemberian wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan kepada pegawai lantikan secara kontrak (contract of service).

Latar Belakang

Kemudahan Cuti Rehat bagi pegawai lantikan secara kontrak adalah sebagaimana yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008 – Dasar Dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak (Contract Of Service) (PP 2/2008). Mengikut Pekeliling Perkhidmatan tersebut, baki Cuti Rehat yang tidak diambil oleh seseorang pegawai lantikan secara kontrak akan luput apabila sesuatu tempoh kontrak pegawai yang berkuat kuasa tamat.

Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab kepentingan perkhidmatan, terdapat pegawai lantikan secara kontrak tidak dapat menghabiskan kemudahan Cuti Rehat yang diperuntukkan kepadanya. Sehubungan dengan itu, sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan atas jasa dan sumbangan yang telah diberikan, Kerajaan bersetuju supaya kemudahan Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan oleh pegawai lantikan secara kontrak diberi gantian dalam bentuk wang tunai.

Dasar Baru

Kerajaan telah memutuskan supaya kemudahan Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan oleh pegawai lantikan secara kontrak (contract of sercive) diberi gantian dalam bentuk wang tunai, tertakluk kepada pematuhan terhadap syarat-syarat dan peraturan-peraturan yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini.

Pelaksanaan

Pegawai Yang Layak

Pegawai lantikan secara kontrak layak diberi wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskannya tertakluk kepada pematuhan terhadap syarat-syarat berikut:

  • pegawai dilantik secara contract of service berdasarkan PP 2/2008;
  • tempoh sesuatu kontrak yang berkuat kuasa hendaklah tidak kurang daripada satu (1) tahun; dan
  • persetujuan untuk pemberian wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan dimasukkan sebagai peruntukan baru yang ditambah dalam syarat perjanjian kontrak tetapi peruntukan itu hanya dimasukkan bagi kontrak baru yang ditandatangani mulai 1 Januari 2009. Contoh peruntukan tersebut adalah seperti di Lampiran A.

Pegawai Yang Tidak Layak

Pegawai lantikan secara kontrak (contract of service) tidak layak diberi wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan sekiranya ditamatkan/ diberhentikan perkhidmatan atas sebab-sebab berikut:

  • penamatan oleh Kerajaan sebelum tempoh kuat kuasa sesuatu kontrak tamat atas sebab cuai atau enggan atau kerana apa-apa jua sebab atau tidak memenuhi apa-apa perintah yang diberi oleh seseorang pegawai Kerajaan yang berkuasa ke atasnya atau membocorkan apa-apa maklumat berkenaan hal ehwal Kerajaan kepada sesiapa jua yang tidak berkuasa menerimanya atau dengan apa-apa jua cara berkelakuan salah atau tidak mematuhi mana-mana peruntukan perjanjian kontrak;
  • penamatan oleh Kerajaan sebelum tempoh kuat kuasa sesuatu kontrak tamat atas sebab ketidakupayaan kesihatan setelah diperakukan oleh Pegawai Perubatan Kerajaan, kecuali bagi pegawai yang telah berkhidmat bagi kontrak tersebut untuk tempoh sekurang-kurangnya satu tahun;
  • penamatan perkhidmatan atas sebab dijatuhkan hukuman buang kerja oleh Pihak Berkuasa Tatatertib; dan
  • penamatan perkhidmatan atas permohonan atau pilihan pegawai sendiri.

Peraturan

Pemberian wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan oleh pegawai lantikan secara kontrak adalah tertakluk kepada peraturan seperti berikut:

  • maksimum Cuti Rehat yang dibenarkan untuk tujuan pemberian wang tunai bagi sesuatu kontrak adalah sebanyak lapan (8) hari atau satu per empat (¼) daripada kadar Cuti Rehat untuk setahun, mengikut mana yang lebih rendah. Sekiranya bilangan hari tersebut melibatkan angka perpuluhan, pengiraan hendaklah dibundarkan kepada angka bulat terhampir;
  • maksimum Cuti Rehat yang dibenarkan untuk tujuan pemberian wang tunai bagi sepanjang tempoh perkhidmatan pegawai secara kontrak dengan Kerajaan (sama ada perkhidmatan secara kontrak dengan Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun [Persekutuan dan Negeri] atau Pihak Berkuasa Tempatan) adalah sebanyak 75 hari. Tempoh perkhidmatan tersebut boleh terdiri daripada tempoh kontrak-kontrak yang berterusan atau yang terputus-putus;
  • pengiraan pemberian wang tunai adalah berdasarkan formula berikut:
    1/30 x Jumlah Gaji Dan Imbuhan Tetap Bulanan (Yang Akhir Diterima Bagi Kontrak Berkaitan) x Bilangan Cuti Rehat Yang Dibenarkan Untuk Tujuan Pemberian Wang Tunai
  • pemberian wang tunai adalah diberi selepas tamatnya tempoh kuat kuasa sesuatu kontrak; dan
  • pemberian wang tunai adalah diluluskan dan dibayar oleh Ketua Jabatan terakhir pegawai berkhidmat secara kontrak.

Pegawai Lantikan Secara Kontrak Yang Sedang Berkhidmat

Bagi kontrak yang masih berkuat kuasa pada tarikh berkuatkuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, pegawai yang berkaitan layak diberi wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskannya tertakluk kepada pematuhan terhadap semua syarat dan peraturan yang ditetapkan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini. Pegawai layak dipertimbangkan pemberian wang tunai di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan ini tanpa perlu menambah peruntukan baru mengenainya dalam syarat perjanjian kontrak yang telah ditandatangani.

  • pemberian wang tunai di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah direkodkan menggunakan format seperti di Lampiran B dan dicatatkan dalam Buku Perkhidmatan;
  • rekod pemberian wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan kepada pegawai lantikan secara kontrak hendaklah dikemas kini dari semasa ke semasa; dan
  • bagi pegawai lantikan baru secara kontrak, Ketua Jabatan hendaklah menyemak dan memastikan sama ada pegawai pernah berkhidmat secara kontrak dengan Kerajaan (sama ada perkhidmatan secara kontrak dengan Perkhidmatan Awam Persekutuan, Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun [Persekutuan dan Negeri] atau Pihak Berkuasa Tempatan) sebelum tarikh kuat kuasa pelantikan tersebut. Sekiranya pegawai pernah berkhidmat secara kontrak dengan Kerajaan sebelum tarikh kuat kuasa pelantikan tersebut, Ketua Jabatan hendaklah mendapatkan rekod sama ada berdasarkan salinan Buku Perkhidmatan dan/ atau akuan pegawai berkenaan berkaitan pemberian wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan yang pernah diterimanya. Akuan pegawai hendaklah menggunakan format seperti di Lampiran C.

Tanggungjawab Ketua Jabatan

Ketua Jabatan bertanggungjawab memastikan pemberian wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan kepada pegawai lantikan secara kontrak adalah teratur seperti berikut:

Pindaan

Dengan berkuatkuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, peraturan berkaitan Cuti Rehat yang tidak diambil akan luput apabila sesuatu kontrak yang berkuat kuasa tamat sebagaimana yang ditetapkan di perenggan 54.1 di muka surat 59 dan perenggan 5 dalam Lampiran G di muka surat 85 dalam PP 2/2008 adalah dipinda. Pegawai adalah layak dipertimbangkan pemberian wang tunai di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskannya mengikut bilangan hari yang dibenarkan. Cuti Rehat yang melebihi daripada had tersebut adalah luput apabila sesuatu kontrak yang berkuat kuasa tamat.

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

SPP Bil.17/2008 Pekeliling Pemberian Wang Tunai Sebagai Gantian Bagi Cuti Rehat yang Tidak Dapat dihabiskan Oleh Pegawai Lantikan Secara Kontrak (Contract of Service)

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan mengenai pemberian wang tunai sebagai gantian bagi Cuti Rehat yang tidak dapat dihabiskan kepada pegawai lantikan secara kontrak (contract of service).

Nama Pekeliling : Pemberian Wang Tunai Sebagai Gantian Bagi Cuti Rehat yang Tidak Dapat dihabiskan Oleh Pegawai Lantikan Secara Kontrak (Contract of Service)

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.17/2008 Pekeliling Pemberian Wang Tunai Sebagai Gantian Bagi Cuti Rehat yang Tidak Dapat dihabiskan Oleh Pegawai Lantikan Secara Kontrak (Contract of Service)

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment