SPP Bil.15/2008 Pekeliling Pemberian Tambahan Kenaikan Gaji kepada Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Peguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Pekeliling Pemberian Tambahan Kenaikan Gaji kepada Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Peguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Tujuan Pekeliling Pemberian Tambahan Kenaikan Gaji kepada Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Peguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan memberi tambahan 20 peratus atas kadar Kenaikan Gaji kepada Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Penguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Latar Belakang

Kerajaan telah melaksanakan pemberian Kenaikan Gaji kepada seluruh pegawai Perkhidmatan Awam melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2007 yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2007. Kerajaan juga telah melaksanakan pemberian tambahan 20 peratus atas kadar Kenaikan Gaji kepada Perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Perkhidmatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

Berdasarkan fungsi dan tugas dari aspek penguatkuasaan undang-undang dan aspek pemeliharaan keselamatan negara, Kerajaan telah bersetuju supaya Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Penguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) diberi tambahan kenaikan sebanyak 20 peratus atas kadar Kenaikan Gaji yang telah dilaksanakan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2007.

Definisi

Dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini:

Gaji Baru” bermaksud Matagaji di sesuatu tanggagaji Jadual Gaji Sebaris atau Jadual Gaji Matriks SSM yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009;

Gaji Pokok” bermaksud matagaji dalam struktur gaji yang diambil kira untuk faedah pencen;

Gaji Sekarang” bermaksud Matagaji di sesuatu tanggagaji Jadual Gaji Sebaris atau Jadual Gaji Matriks SSM yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2008;

Jadual Gaji Baru” bermaksud Jadual Gaji Sebaris atau Jadual Gaji Matriks yang berkuat kuasa dalam SSM mulai 1 Januari 2009;

Jadual Gaji Sekarang” bermaksud Jadual Gaji Sebaris atau Jadual Gaji Matriks yang berkuat kuasa dalam SSM sehingga 31 Disember 2008;

Matagaji” bermaksud amaun gaji tertentu yang terletak di sesuatu Jadual Gaji;

Matagaji Baru” bermaksud Matagaji dalam Jadual Gaji Baru;

Matagaji Sekarang” bermaksud Matagaji dalam Jadual Gaji Sekarang;

Pelarasan Gaji” bermaksud perubahan gaji berikutan daripada tambahan 20 peratus atas kadar Kenaikan Gaji yang telah ditetapkan; dan

Sifir Pemindahan Gaji” bermaksud sifir yang menunjukkan cara pemindahan gaji daripada Jadual Gaji Sekarang kepada Jadual Gaji Baru.

Pelaksanaan

Pegawai Yang Layak

Pegawai tetap, sementara dan kontrak layak diberi Tambahan Kenaikan Gaji ini.

Tambahan Kenaikan Gaji hendaklah diberi kepada pegawai yang sedang berkhidmat dalam Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain- lain Pangkat Penguat Kuasa Maritim pada atau selepas 1 Januari 2009 termasuk yang berada dalam keadaan seperti berikut:

a. dipinjam atau ditukar sementara ke agensi Kerajaan, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan secara isyarat atas gaji hakiki pegawai berkenaan oleh Ketua Jabatan;

b. dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan secara isyarat atas gaji hakiki oleh Ketua Jabatan;

c. cuti bergaji penuh, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan atas gaji pokok yang diterima;

d. cuti separuh gaji, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan atas gaji pokok dan dibayar separuh daripada Gaji Baru; dan

e. cuti tanpa gaji, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan secara isyarat atas gaji pokok. Pegawai akan dibayar Gaji Baru apabila kembali bertugas.

Dalam melaksanakan pelarasan gaji, sebarang hukuman yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib sebelum tarikh kuat kuasa Surat Pekeliling Perkhidmatan ini yang melibatkan gaji pegawai seperti denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji atau turun pangkat, hendaklah dilaksanakan sepenuhnya. Sebagai contoh, jika pegawai dikenakan hukuman tangguh pergerakan gaji, pegawai layak diberi Tambahan Kenaikan Gaji tetapi pergerakan gaji dalam Jadual Gaji Baru hendaklah ditangguhkan sehingga hukuman itu disempurnakan.

Pegawai yang meninggal dunia pada atau selepas 1 Januari 2009 layak diberi Tambahan Kenaikan Gaji ini. Ketua Jabatan terakhir di mana pegawai ditempatkan hendaklah bertanggungjawab terhadap pelarasan gaji pegawai berkenaan.

Pegawai Yang Tidak Layak

Tambahan Kenaikan Gaji ini tidak diberi kepada:

a. pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja yang berkuat kuasa pada atau sebelum 1 Januari 2009; dan

b. pegawai yang bersara pada atau sebelum 1 Januari 2009.

Prinsip Pemindahan Gaji

Pemindahan gaji adalah Gaji Sekarang dipindahkan kepada Gaji Baru di Jadual Gaji Baru dengan Peringkat (P) dan Tanggagaji (T) dikekalkan.

Kaedah Pemindahan Gaji

Kaedah pemindahan gaji adalah daripada Matagaji Sekarang kepada Matagaji Baru pada 1 Januari 2009.

Jadual Gaji Baru dan Sifir Pemindahan Gaji adalah seperti di Lampiran A. Bagi pegawai yang berada di Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang, Jadual Gaji Baru dan Sifir Pemindahan Gaji adalah seperti di Lampiran B. Contoh kaedah pemindahan gaji adalah seperti di Lampiran C1 dan Lampiran C2.

Pegawai yang Tarikh Pergerakan Gajinya pada 1 Januari, gaji pegawai hendaklah terlebih dahulu dipindahkan kepada Gaji Baru dan seterusnya diberi Pergerakan Gaji Tahunan dalam Jadual Gaji Baru. Contoh kaedah pemindahan gaji adalah seperti di Lampiran D.

Pegawai yang tarikh kenaikan pangkatnya pada 1 Januari 2009, hendaklah diberi pemindahan kepada Gaji Baru atas pangkat sekarang terlebih dahulu dan diikuti dengan penetapan gaji permulaan ke Gaji Baru di pangkat baru. Contoh kaedah pemindahan gaji adalah seperti di Lampiran E.

Pegawai yang tarikh kenaikan pangkat sama dengan Tarikh Pergerakan Gaji pada 1 Januari 2009, hendaklah diberi pemindahan kepada Gaji Baru atas pangkat sekarang terlebih dahulu dan seterusnya diberi Pergerakan Gaji Tahunan dan diikuti dengan penetapan gaji permulaan ke Gaji Baru di pangkat baru. Contoh kaedah pemindahan gaji adalah seperti di Lampiran F.

Tarikh Pergerakan Gaji

Tambahan Kenaikan Gaji ini tidak mengubah Tarikh Pergerakan Gaji yang sedang berkuat kuasa.

Elaun dan Kemudahan

Pelaksanaan Tambahan Kenaikan Gaji ini tidak melibatkan perubahan kepada kaedah penetapan kelayakan elaun dan kemudahan yang sedia ada mengikut pekeliling perkhidmatan/ surat pekeliling perkhidmatan/ surat edaran yang berkuat kuasa.

Pemangkuan Dan Penanggungan Kerja

Bayaran elaun pemangkuan dan penanggungan kerja bagi pegawai yang sedang memangku atau menanggung kerja pada dan selepas 1 Januari 2009 hendaklah diselaras berdasarkan kepada Matagaji Baru atau Matagaji Baru permulaan jawatan yang ditanggung kerja, di mana berkenaan.

Faedah Persaraan

Bayaran pencen, ganjaran dan Pemberian Wang Tunai Gantian Cuti Rehat di bawah Akta Pencen 1980 kepada pegawai yang bersara pada dan selepas 2 Januari 2009 hendaklah berasaskan Gaji Baru.

 

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2009.

Pemakaian

Dengan berkuatkuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, Jadual Gaji bagi Skim Perkhidmatan Penguatkuasaan Maritim di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2007 adalah dibatalkan keseluruhannya.

SPP Bil.15/2008 Pekeliling Pemberian Tambahan Kenaikan Gaji kepada Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Peguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan memberi tambahan 20 peratus atas kadar Kenaikan Gaji kepada Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Penguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Nama Pekeliling : Pemberian Tambahan Kenaikan Gaji kepada Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Peguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.15/2008 Pekeliling Pemberian Tambahan Kenaikan Gaji kepada Perkhidmatan Pegawai Penguat Kuasa Maritim dan Pegawai Lain-lain Pangkat Peguat Kuasa Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment