SPP Bil.14/2007 Pekeliling Penjelasan Mengenai Perkara Perkhidmatan dalam Melaksanakan Pemberian Kemudahan Cuti Menjaga Anak

 Pekeliling Penjelasan Mengenai Perkara Perkhidmatan dalam Melaksanakan Pemberian Kemudahan Cuti Menjaga Anak

Tujuan Pekeliling Penjelasan Mengenai Perkara Perkhidmatan dalam Melaksanakan Pemberian Kemudahan Cuti Menjaga Anak dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan perkara-perkara perkhidmatan dalam melaksanakan pemberian kemudahan Cuti Menjaga Anak di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 15 Tahun 2007.

Latar Belakang

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 15 Tahun 2007 telah memperuntukkan kemudahan Cuti Menjaga Anak sebanyak 1,825 hari (5 tahun) sepanjang tempoh perkhidmatan bagi membolehkan pegawai wanita Perkhidmatan Awam Persekutuan menjaga anak.

 

Pelaksanaan

Bagi memastikan pemberian kemudahan Cuti Menjaga Anak dilaksanakan dengan teratur, beberapa perkara perkhidmatan adalah dijelaskan seperti berikut:

i. kemudahan cuti ini tertakluk kepada pertimbangan dan kelulusan Ketua Setiausaha Kementerian (bagi pegawai yang berkhidmat di peringkat Kementerian) atau Ketua Jabatan (bagi pegawai yang berkhidmat di peringkat jabatan atau negeri). Dalam hal ini, Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Jabatan hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya setelah mengambil kira keperluan perkhidmatan supaya penyampaian perkhidmatan tidak terjejas khususnya dalam perkhidmatan kritikal. Perancangan pengisian bagi melaksanakan tugas jawatan yang dikosongkan dan pemantauan kelulusan kemudahan tersebut hendaklah dibuat;

ii. sekiranya wujud keperluan mendesak untuk mendapatkan perkhidmatan pegawai yang sedang bercuti, Ketua Setiausaha Kementerian atau Ketua Jabatan boleh pada bila-bila masa mengarahkan pegawai untuk kembali melaporkan diri bertugas dan pegawai dikehendaki mematuhinya;

iii. dalam tempoh Cuti Menjaga Anak, pegawai masih merupakan pegawai awam yang tertakluk kepada semua peraturan yang berkuat kuasa termasuk peraturan tatatertib yang antara lain melarang pegawai melakukan pekerjaan luar. Tempoh cuti ini hendaklah digunakan sepenuhnya untuk menjaga anak dan tidak disalahgunakan untuk tujuan lain seperti melakukan pekerjaan yang dibayar upah. Sekiranya pegawai didapati melanggar mana-mana peraturan, pegawai akan dikenakan tindakan tatatertib berdasarkan Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993;

iv. bagi pegawai dalam tempoh percubaan dan telah diluluskan kemudahan Cuti Menjaga Anak, tempoh percubaannya dibekukan dan akan disambung semula mulai tarikh pegawai melapor diri bertugas. Walau bagaimanapun, pegawai boleh dipertimbangkan untuk mengikuti kursus induksi atau peperiksaan Jabatan bagi tujuan pengesahan dalam perkhidmatan dengan perbelanjaan ditanggung sendiri oleh pegawai. Pegawai yang telah memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan sebelum diluluskan kemudahan Cuti Menjaga Anak boleh disahkan pada tarikh sehari selepas pegawai memenuhi syarat pengesahan dalam perkhidmatan yang ditetapkan. Bagi pegawai yang memenuhi semua syarat pengesahan dalam perkhidmatan semasa bercuti, tarikh pengesahan boleh ditetapkan mulai tarikh pegawai melapor diri bertugas;

v. pegawai boleh dipertimbangkan untuk menduduki peperiksaan atau kursus Penilaian Tahap Kecekapan semasa bercuti dengan perbelanjaan ditanggung sendiri oleh pegawai;

vi. pelarasan gaji bagi pegawai yang diluluskan kemudahan Cuti Menjaga Anak yang melibatkan pergerakan gaji selepas pegawai melaporkan diri untuk bertugas adalah seperti contoh di Lampiran A, B, C, D dan E;

vii. tempoh Cuti Menjaga Anak merupakan tempoh perkhidmatan yang tidak diambil kira bagi tujuan pengiraan faedah persaraan atau pengiraan kelayakan kemudahan yang lain;

viii. pegawai akan hilang kekananan bagi tempoh Cuti Menjaga Anak;

ix. tempoh Cuti Menjaga Anak tidak boleh diambil kira sebagai tempoh notis peletakan jawatan;

x. dalam tempoh Cuti Menjaga Anak, pegawai boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat jika memenuhi syarat yang telah ditetapkan;

xi. pegawai dikehendaki melapor diri bertugas sebaik sahaja tamat tempoh Cuti Menjaga Anak; dan

xii. kelulusan kemudahan Cuti Menjaga Anak hendaklah direkodkan dalam Rekod Perkhidmatan pegawai.

 

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 3 September 2007.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

SPP Bil.14/2007 Pekeliling Penjelasan Mengenai Perkara Perkhidmatan dalam Melaksanakan Pemberian Kemudahan Cuti Menjaga Anak

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan menjelaskan perkara-perkara perkhidmatan dalam melaksanakan pemberian kemudahan Cuti Menjaga Anak di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 15 Tahun 2007.

Nama Pekeliling : Penjelasan Mengenai Perkara Perkhidmatan dalam Melaksanakan Pemberian Kemudahan Cuti Menjaga Anak

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.14/2007 Pekeliling Penjelasan Mengenai Perkara Perkhidmatan dalam Melaksanakan Pemberian Kemudahan Cuti Menjaga Anak

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment

error: Content is protected !!