SPP Bil.13/2009 Pekeliling Pengiktirafan Kelayakan Ijazah Sarjana Dan/Atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Bagi Maksud Pelantikan ke Perkhidmatan Awam

Pekeliling Pengiktirafan Kelayakan Ijazah Sarjana Dan/Atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Bagi Maksud Pelantikan ke Perkhidmatan Awam

Tujuan Pekeliling Pengiktirafan Kelayakan Ijazah Sarjana Dan/Atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Bagi Maksud Pelantikan ke Perkhidmatan Awam dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan memaklumkan mengenai keputusan Kerajaan meminda prinsip pengiktirafan Kerajaan ke atas kelayakan di peringkat Ijazah Sarjana dan/atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) sebagaimana yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2007 bagi tujuan pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam.

Latar Belakang

Kerajaan melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil.8 Tahun 2007 telah mengiktiraf kelayakan di peringkat Ijazah Sarjana dan/atau Ph.D bagi maksud lantikan ke dalam Perkhidmatan Awam dengan syarat pemegang-pemegang kelayakan Ijazah Sarjana dan/atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) berkenaan hendaklah juga memiliki Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Kerajaan. Ini bermakna, sekiranya pemegang kelayakan tidak memiliki Ijazah Sarjana Muda atau memiliki Ijazah Sarjana Muda yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan, maka kelayakan beliau yang lebih tinggi seperti Ijazah Sarjana dan/atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) akan turut tidak diiktraf oleh Kerajaan seperti yang
dinyatakan di dalam SPP 8/2007.

Dasar Pengiktirafan

Kerajaan telah membuat keputusan untuk mengiktiraf kelayakan di peringkat Ijazah Sarjana dan/atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) yang dijalankan oleh:

i) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) secara sepenuh masa atau separuh masa (sama ada secara luaran, jarak jauh atau on-line); atau

ii) IPTA dengan kerjasama IPT luar negara yang tersenarai dalam ‘Senarai Universiti yang Diiktiraf oleh Kerajaan’ (sila rujuk laman web http://www.interactive.jpa.gov.my /frmmainiktiraf.asp) di bawah program sepenuh masa atau separuh masa (sama ada secara luaran, jarak jauh atau on-line) yang memberi satu penganugerahan sahaja (single award); atau

iii) Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) sepenuhnya dan telah mendapat perakuan akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) di bawah program sepenuh masa dan separuh masa sama ada secara luaran (external), jarak jauh (distance learning) dan online; atau

iv) IPTS dengan kerjasama IPTA tempatan atau IPT luar negara di bawah program sepenuh masa dan separuh masa sama ada secara luaran (external), jarak jauh (distance learning dan on-line serta telah mendapat perakuan akreditasi MQA; atau

v) Kampus-kampus cawangan IPT luar negara di Malaysia di bawah program sepenuh masa dan separuh masa sama ada secara luaran (external), jarak jauh (distance learning) dan online serta telah mendapat perakuan akreditasi MQA; atau

vi) IPT luar negara yang diiktiraf oleh Kerajaan negara berkenaan di bawah program sepenuh masa dan telah mendapat perakuan pengiktirafan oleh Kerajaan negara berkenaan. Pengesahan status IPT luar negara ini boleh dibuat oleh Pihak Berkuasa Melantik dengan menghubungi pejabat kedutaan negara berkenaan di Malaysia atau pejabat kedutaan Malaysia di negara berkenaan. Pihak Berkuasa Melantik perlu memastikan kualiti dan kesetaraan kelayakan dengan Kerangka Kelayakan Malaysia (KKM) dan sebarang keraguan mengenai kelayakan ini perlu dirujuk kepada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Pengiktirafan bagi kelayakan-kelayakan di peringkat Ijazah Sarjana dan/atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) seperti yang dinyatakan di para 3 (i) hingga (vi) di atas masih tertakluk kepada pemegang kelayakan berkenaan hendaklah juga memiliki Ijazah Sarjana Muda yang diiktiraf oleh Kerajaan.

Kelayakan-kelayakan Sarjana (Master) yang dinilai taraf setaraf Ijazah Sarjana Muda bagi tujuan pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam tidak dikira sebagai kelayakan Sarjana (Master). Sebagai contoh, Kerajaan telah menetapkan bahawa kelayakan Master of Engineering (M.Eng) dari universiti-universiti di United Kingdom hanya boleh digunakan untuk tujuan pelantikan ke jawatan mensyaratkan kelayakan masuk di peringkat Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan. Oleh itu, kelayakan tersebut tidak termasuk dalam kelayakan di peringkat Ijazah Sarjana dan/atau Ph.D seperti di para 3 (i) hingga (vi) di atas.

Pematuhan

Ketetapan pengiktirafan Kerajaan ke atas kelayakan-kelayakan Ijazah Sarjana dan/atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) ini seperti di perenggan 3 (i) hingga (vi) di atas hendaklah dipatuhi oleh semua Pihak Berkuasa Melantik dalam membuat sebarang pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam.

Pengecualian

Sesuai dengan perkembangan semasa dan keperluan dalam pelaksanaan tugas yang mencabar dalam sesetengah jawatan, Kerajaan telah bersetuju menimbangkan pelantikan calon yang tidak memiliki kelayakan Ijazah Sarjana Muda atau Ijazah Sarjana Muda yang tidak diiktiraf tetapi memiliki kelayakan Ijazah Sarjana dan/atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang berkaitan ke dalam perkhidmatan seperti di Lampiran A. Kelayakan Ijazah Sarjana dan/atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) itu hendaklah diperoleh seperti dinyatakan di para 3 (i) hingga (vi). Syarat-syarat lain yang terdapat dalam skim perkhidmatan terlibat adalah tidak berubah.

Sebarang pertanyaan berkaitan surat pekeliling ini hendaklah dirujuk kepada Bahagian Pembangunan Modal Insan, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Pembatalan

Dengan berkuatkuasanya surat pekeliling ini, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2007 dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 1987 adalah dibatalkan.

Tarikh Kuat Kuasa

Tarikh kuatkuasa Surat Pekeliling ini adalah pada tarikh ianya dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

SPP Bil.13/2009 Pekeliling Pengiktirafan Kelayakan Ijazah Sarjana Dan/Atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Bagi Maksud Pelantikan ke Perkhidmatan Awam

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan memaklumkan mengenai keputusan Kerajaan meminda prinsip pengiktirafan Kerajaan ke atas kelayakan di peringkat Ijazah Sarjana dan/atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) sebagaimana yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 8 Tahun 2007 bagi tujuan pelantikan ke dalam Perkhidmatan Awam.

Nama Pekeliling : Pengiktirafan Kelayakan Ijazah Sarjana Dan/Atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Bagi Maksud Pelantikan ke Perkhidmatan Awam

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.13/2009 Pekeliling Pengiktirafan Kelayakan Ijazah Sarjana Dan/Atau Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D) Bagi Maksud Pelantikan ke Perkhidmatan Awam

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment

error: Content is protected !!