SPP Bil.12/2009 Pekeliling Pelaksanaan Aplikasi Psikologi : Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan

Tujuan Pekeliling Pelaksanaan Aplikasi Psikologi : Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan memberi panduan berhubung pelaksanaan Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan dalam usaha merealisasikan aplikasi psikologi berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2005: Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.

 

Tafsiran

Bagi maksud pemakaian Surat Pekeliling Perkhidmatan ini:

a. “Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan” merujuk kepada amalan terbaik, terpuji dan mengutamakan pencapaian yang melebihi daripada kebiasaan. Ia merangkumi aspek pemikiran, pengurusan emosi dan dimanifestasikan melalui tata kelakuan yang penuh integriti serta dapat memuaskan kehendak pelanggan dan stakeholders.

b. “Kaunseling” merujuk kepada proses perhubungan menolong secara sistematik berdasarkan prinsip psikologi bagi menghasilkan perubahan, perkembangan dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh secara sukarela berdasarkan etika kaunseling.

c. “Key Performance Indicator (KPI)” merujuk sistem atau cara pengukuran kepada faktor-faktor kritikal yang menyumbang kepada kecemerlangan sesebuah organisasi berdasarkan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 2005: Garis Panduan Bagi Mewujudkan Prestasi-prestasi Petunjuk Utama atau Key Performance Indicators (KPI).

d. “Minda Kelas Pertama” merujuk kepada kebolehan menjana ilmu, memiliki kekuatan psikologi dan jati diri yang mantap, berbudaya kerja cemerlang, berintegriti, dan memiliki kekuatan moral.

e. “Program Pengupayaan Kendiri” merujuk kepada program yang dilaksanakan untuk membantu meningkatkan kecemerlangan diri pegawai termasuk mereka yang berprestasi rendah.

f. “Psikologi” merujuk kepada cabang ilmu sains yang mengkaji tingkah laku, tindakan, pemikiran, emosi, proses mental, minda dan diri individu.

g. “Senarai Semak” merujuk kepada perkara-perkara yang perlu diambil perhatian dalam menilai keberkesanan program-program budaya kerja kelas pertama.

h. “Sistem Pengurusan Audit Nilai” merujuk kepada satu kaedah untuk menilai keberkesanan program-program nilai murni dalam perkhidmatan awam berdasarkan Arahan Y.A.B. Perdana Menteri No. 1 Tahun 1998, Siri 7 No. 1 Tahun 2007, Gerakan Pemantapan Keutuhan Sistem Pengurusan Pentadbiran Kerajaan Malaysia: Pelaksanaan Sistem Pengurusan Audit Nilai Dalam Perkhidmatan Awam di Agensi Kerajaan.

Latar Belakang

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2005: Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia menekankan kepada empat aplikasi psikologi iaitu penilaian personel, pembangunan personel, penyelidikan dan intervensi. Melalui aplikasi ini, faktor manusia sebagai modal insan mampu diperkasakan ke tahap optimum.

Aplikasi psikologi dalam pembangunan personel bertujuan untuk mewujudkan pegawai yang memiliki nilai, etika kerja dan sikap yang positif. Ia melibatkan aktiviti khidmat runding, motivasi dan kepuasan kerja pegawai. Sehubungan itu, aplikasi ini menyediakan cadangan pelaksanaan yang berkaitan dengan aspek psikologi dalam pembangunan kendiri. Ia dapat menerapkan kemahiran mengurus isu dan masalah psikologi di tempat kerja seperti pengurusan emosi, stres, perubahan sikap dan set minda, perhubungan interpersonal, peningkatan motivasi dan lain-lain. Aplikasi ini boleh digunakan kepada semua pegawai yang baru dilantik sehingga bersara. Hasrat kerajaan untuk melahirkan penjawat awam yang memiliki budaya kerja pencapaian diutamakan akan mampu dicapai dengan pelaksanaan aplikasi ini.

Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan ini merupakan sebahagian daripada gagasan 1Malaysia yang dicetuskan oleh Y.A.B. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Hj Abd Razak, semasa beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 3 April 2009. Konsep ini merupakan kesinambungan daripada teras kedua dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), iaitu “Meningkatkan Keupayaan Pengetahuan dan Inovasi Negara Serta Memupuk Minda Kelas Pertama”. Bagi mencapai teras ini, kerajaan menggariskan lima perkara iaitu memperkukuhkan modal insan, memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi, wanita dan pembangunan, mengupayakan belia untuk masa hadapan dan memupuk pembangunan keluarga dan masyarakat.

Sebelum ini pelbagai usaha dilakukan oleh kerajaan untuk penambahbaikan tadbir urus kerajaan. Kerajaan telah melaksanakan pelbagai taklimat, kempen dan slogan sejak tahun 1980-an seperti “Bersih, Cekap dan Amanah” (1982), Kempen Kepimpinan Melalui Teladan (1983), Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam Dalam Pentadbiran (1985), Etika Kerja Islam (1987) dan Gerakan Budaya Kerja Cemerlang (1989). Pada tahun 1991, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) telah mengeluarkan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) sebagai usaha meningkatkan kualiti dan produktiviti perkhidmatan awam seperti Panduan Pengurusan Kualiti Menyeluruh Bagi Perkhidmatan Awam (1992) dan Garis Panduan Bagi Melaksanakan MS ISO 9000 Dalam Perkhidmatan Awam (1996). Di samping itu, kerajaan telah menerbitkan buku-buku berkaitan nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam seperti Nilai dan Etika Perkhidmatan Awam, Tonggak Dua Belas, Citra Karya: Falsafah, Nilai dan Etika Dalam Perkhidmatan Awam dan Dasar Penerapan Nilai-nilai Islam.

Arahan Y.A.B Perdana Menteri No. 1 Tahun 1998: Siri 2 No. 1 Tahun 2000 berkaitan garis panduan pelaksanaan dan mekanisme sistem penyeliaan program-program nilai murni menekankan kepada empat pendekatan iaitu menimbulkan kesedaran, memperkukuhkan penghayatan, menjana dan mengekalkan amalan serta mengadakan penilaian program-program penerapan nilai-nilai murni.

Konsep Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan

Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan merupakan amalan terbaik, terpuji dan mengutamakan pencapaian yang melebihi daripada kebiasaan. Ia merangkumi cara berfikir dan pemikiran, cara berasa dan menghayati serta cara bertindak dan berperilaku yang dapat memuaskan kehendak pelanggan dan stakeholders.

Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan boleh diamalkan melalui tindakan bersepadu antara pemikiran, emosi dan tingkah laku yang boleh diperlihatkan melalui prinsip PERDANA iaitu:

a. Pantas dan Positif
b. Empati
c. Relevan
d. Daya Saing
e. Amanah, Adil dan Integriti
f. Nilai Tambah dan Kelainan
g. Arif dan Berilmu

Pelaksanaan

Surat pekeliling perkhidmatan ini boleh dijadikan panduan dalam usaha meningkatkan kecekapan pengurusan sumber manusia di kementerian dan jabatan kerajaan. Perancangan dan pelaksanaan program Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan merangkumi tiga tahap iaitu kesedaran, penghayatan dan pengukuhan kendiri. Sebagai panduan, sila rujuk LAMPIRAN 1, 2 dan 3.

Penutup

Ketua-ketua jabatan bertanggungjawab memastikan pembudayaan kerja pencapaian diutamakan dapat dilaksanakan oleh kementerian dan jabatan di bawah seliaan masing-masing. Arahan ini dapat dijadikan panduan kepada semua kementerian, jabatan atau mana-mana agensi dalam usaha meningkatkan lagi kesedaran, penghayatan dan pengukuhan Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan.

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan surat pekeliling perkhidmatan ini, boleh merujuk kepada:

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Pengurusan Psikologi
Bangunan MKN-Embassy Techzone Aras 4, Blok A, No. 3200, Jalan Teknokrat 2 63000 Cyberjaya, Sepang Selangor Darul Ehsan
Tel : 03 – 8316 4000/4057/4430
Faks : 03 – 8320 1976
E-mel : dasarbpps@jpa.gov.my

Tarikh Kuat Kuasa

Surat pekeliling perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan.

Pemakaian

Pemakaian surat pekeliling perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pihak Berkuasa Berkanun tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.

SPP Bil.12/2009 Pekeliling Pelaksanaan Aplikasi Psikologi : Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan memberi panduan berhubung pelaksanaan Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan dalam usaha merealisasikan aplikasi psikologi berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 18 Tahun 2005: Panduan Aplikasi Psikologi Dalam Pengurusan Sumber Manusia Sektor Awam.

Nama Pekeliling : Pelaksanaan Aplikasi Psikologi : Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.12/2009 Pekeliling Pelaksanaan Aplikasi Psikologi : Budaya Kerja Pencapaian Diutamakan

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment