SPP Bil.10/2007 Pekeliling Pelaksanaan Modul Pengurusan Rekod Peribadi Aplikasi HRMIS

Pekeliling Pelaksanaan Modul Pengurusan Rekod Peribadi Aplikasi HRMIS

Tujuan Pelaksanaan Modul Pengurusan Rekod Peribadi Aplikasi HRMIS dikeluarkan

Surat Pekeliling ini bertujuan memberi penerangan mengenai tindakan yang perlu diambil dalam melaksanakan Modul Pengurusan Rekod Peribadi bagi agensi yang telah melaksanakan HRMIS mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2005, termasuk agensi perintis HRMIS.

Modul Pengurusan Rekod Peribadi

Modul Pengurusan Rekod Peribadi adalah salah satu daripada lima belas (15) modul utama aplikasi HRMIS. Modul ini merupakan modul asas yang perlu dilaksanakan oleh semua agensi sebelum modul-modul lain dapat beroperasi dengan berkesan.

Istilah-istilah yang diguna pakai dalam modul ini adalah dihuraikan dalam Panduan Pelaksanaan dan Panduan Pengguna HRMIS.

Penerangan mengenai fungsi-fungsi utama yang terdapat dalam Modul Pengurusan Rekod Peribadi adalah seperti Lampiran I berkembar.

Dasar Umum Pelaksanaan Modul Pengurusan Rekod Peribadi

Modul Pengurusan Rekod Peribadi bukan menggantikan Rekod Perkhidmatan yang peraturannya terdapat dalam Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 2007 : Panduan Pengurusan Pejabat. Modul ini dibangunkan berasaskan kepada keperluan untuk menyimpan semua maklumat asas penjawat awam seperti maklumat peribadi, keluarga, kemahiran bahasa, pencapaian akademik dan juga maklumat perkhidmatan bagi membantu pengurus-pengurus sumber manusia membuat keputusan berkaitan dengan penempatan pegawai, latihan, pengagihan ganjaran dan urusan-urusan sumber manusia yang lain.

Maklumat yang dijana melalui pelaksanaan modul ini merupakan satu rekod peribadi penjawat awam yang sah dan jabatan boleh menggunakannya sebagai dokumen sokongan kepada Rekod Perkhidmatan dalam melaksanakan sebarang urusan perkhidmatan. Justeru, adalah mustahak pegawai-pegawai yang diberi kuasa mengesahkan rekod-rekod peribadi, melaksanakan tanggungjawab ini dengan sebaik-baiknya bagi memastikan kesahihan dan ketepatan rekod.

Dari segi keselamatan data, Ketua Jabatan bertanggungjawab memastikan kerahsiaan data-data peribadi penjawat awam di agensinya sentiasa terpelihara dan hanya pegawai yang telah dilantik dan diberi hak capaian untuk menguruskan rekod peribadi sahaja yang dapat melihat dan mentadbir data-data tersebut.

Ketua Jabatan adalah bertanggungjawab mengenal pasti dan melantik pegawai-pegawai yang ditugaskan untuk melaksanakan fungsi-fungsi berkenaan dalam Modul Pengurusan Rekod Peribadi. Pelaksanaan modul ini melibatkan pihak-pihak berikut:-

(a) Pemilik Kompetensi (Competency Owner)
Pemilik Kompetensi (Competency Owner – CO) atau penjawat awam adalah bertanggungjawab memasukkan sendiri maklumat peribadi masing-masing melalui modul ini sebaik sahaja melaporkan diri bertugas. Jika berlaku sebarang perubahan, CO juga bertanggungjawab mengemas kini data tersebut melalui modul ini. Dokumen sokongan berkaitan dengan perubahan tersebut hendaklah dikemukakan kepada pengesah rekod yang telah dilantik oleh Ketua Jabatan. Salinan dokumen sokongan yang wajib dihantar adalah sijil kelahiran anak, sijil perkahwinan/perceraian (yang mana berkaitan) dan sijil pencapaian akademik terkini. Dokumen-dokumen lain yang berkaitan dengan maklumat yang dikemas kini boleh diminta oleh Pengesah Rekod sekiranya perlu.

(b) Pengesah Rekod (Record Verifier)
Pegawai yang diberi kuasa oleh Ketua Jabatan sebagai Pengesah Rekod bertanggungjawab mengesahkan data peribadi yang dimasukkan atau dikemas kini oleh CO berdasarkan dokumen sahih yang dikemukakan.

(c) Pentadbir Integrasi Sumber Manusia (HR Integration Administrator)
Pegawai yang diberi kuasa oleh Ketua Jabatan sebagai Pentadbir Integrasi Sumber Manusia bertanggungjawab mengesahkan kesahihan setiap nombor kad pengenalan (KP) CO melalui kemudahan integrasi dengan Sistem Informasi Rekod Kependudukan Negara (SIREN), Jabatan Pendaftaran Negara dan seterusnya memproses masuk nombor KP berkenaan ke dalam HRMIS setelah disahkan. Aktiviti pengesahan KP ini dilaksanakan sekali bagi setiap CO.

(d) Pentadbir Sumber Manusia / Pentadbir Sandangan (HR Administrator / Engagement Administrator)
Pegawai yang diberi kuasa oleh Ketua Jabatan sebagai Pentadbir Sumber Manusia atau Pentadbir Sandangan dikehendaki menyelenggara sandangan CO yang baru melaporkan diri atau bertukar masuk ke agensi. Jika berlaku pertukaran keluar, sandangan bagi CO berkenaan perlu diputuskan dan agensi yang menerima CO yang bertukar masuk perlu menyandangkan CO tersebut ke jawatan yang ditetapkan mengikut arahan pertukaran. Buat permulaan, tugas ini perlu diselenggara oleh setiap agensi sehingga Modul Perolehan Sumber Manusia dilaksanakan secara menyeluruh di sektor awam.

(e) Pentadbir Profil Perkhidmatan (Service Profile Administrator)
Pegawai yang diberi kuasa oleh Ketua Jabatan sebagai Pentadbir Profil Perkhidmatan perlu menyelenggara maklumat profil perkhidmatan CO seperti tarikh lantikan pertama, skim perkhidmatan dan tarikh pemberian taraf berpencen. Ini adalah bagi memastikan kelayakan CO untuk kemudahan seperti cuti, tuntutan, faedah dan ganjaran dijana dengan tepat. Pentadbir Profil Perkhidmatan juga perlu memastikan elemen-elemen di dalam Profil Perkhidmatan sentiasa kemas kini.

Dengan kuat kuasa pelaksanaan modul ini, maka setiap agensi hendaklah menentukan bahawa pegawai berkenaan, termasuk CO, menjalankan tanggungjawab masing-masing bagi memastikan modul ini dilaksanakan dengan jayanya.

Pelaksanaan

 

Persediaan Pelaksanaan

Sebelum modul ini dilaksanakan, setiap agensi hendaklah mengambil tindakan seperti berikut:

(a) menubuhkan Pasukan Teras HRMIS seperti ditetapkan di perenggan 19(h) dalam Buku Pengenalan dan Mekanisme Pelaksanaan HRMIS yang dikeluarkan bersama Pekeliling Perkhidmatan Bil. 12/2005 bagi menyelaras pelaksanaan modul-modul aplikasi HRMIS. Pasukan ini perlu melibatkan pegawai-pegawai lain yang bertanggungjawab ke atas pengurusan maklumat penjawat awam bagi melicinkan pelaksanaan modul berkenaan. Pasukan Teras HRMIS berperanan sebagai jurulatih, agen perubahan dan penyelaras pelaksanaan seperti penetapan peranan dan aliran kerja bagi proses pengemaskinian data peribadi, profil perkhidmatan dan sandangan yang dijelaskan dalam Panduan Pelaksanaan dan Panduan Pengguna Modul Pengurusan Rekod Peribadi;

(b) mengenal pasti dan menetapkan peranan bagi setiap pegawai mengikut fungsi yang telah ditetapkan dalam modul ini seperti di Lampiran I; dan

(c) membuat penyesuaian tugas dengan memasukkan peranan untuk melaksanakan HRMIS dalam fail meja pegawai berkenaan

Panduan Pelaksanaan

Bagi membantu pelaksanaan Modul Pengurusan Rekod Peribadi di agensi, bersama-sama ini disertakan “Panduan Pelaksanaan Modul Pengurusan Rekod Peribadi” dan “Panduan Pengguna Modul Pengurusan Rekod Peribadi” (dalam bentuk cakera padat) sebagai rujukan. Panduan ini mengandungi langkah-langkah pelaksanaan serta tatacara menguruskan pengemaskinian rekod peribadi, profil perkhidmatan dan sandangan CO secara dalam talian melalui aplikasi HRMIS.

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan mengenai surat pekeliling ini boleh dirujuk kepada:

  • Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
    Jabatan Perkhidmatan Awam
    Bahagian Pengurusan Teknologi Maklumat
    Aras 1, Blok C2, Kompleks C
    Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
    62510 W.P. PUTRAJAYA
    Telefon : 03-8885 3358
    Faks : 03-88892192 / 4810
    E-mel : hrmis_helpdesk@jpa.gov.my

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan

SPP Bil.10/2007 Pekeliling Pelaksanaan Modul Pengurusan Rekod Peribadi Aplikasi HRMIS

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan memberi penerangan mengenai tindakan yang perlu diambil dalam melaksanakan Modul Pengurusan Rekod Peribadi bagi agensi yang telah melaksanakan HRMIS mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2005, termasuk agensi perintis HRMIS.

Nama Pekeliling : Pelaksanaan Modul Pengurusan Rekod Peribadi Aplikasi HRMIS

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.10/2007 Pekeliling Pelaksanaan Modul Pengurusan Rekod Peribadi Aplikasi HRMIS

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!