SPP Bil.09/2009 Pekeliling Pertukaran Pelantikan Bagi Pegawai Kumpulan Sokongan Yang Ditempatkan Secara Kader Oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Pekeliling Pertukaran Pelantikan Bagi Pegawai Kumpulan Sokongan Yang Ditempatkan Secara Kader Oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Tujuan Pekeliling Pertukaran Pelantikan Bagi Pegawai Kumpulan Sokongan Yang Ditempatkan Secara Kader Oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan pelaksanaan pertukaran pelantikan bagi pegawai Kumpulan Sokongan Kementerian Pelajaran Malaysia yang ditempatkan secara kader di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia berikutan keputusan Kerajaan menetapkan Ketua Perkhidmatan dan Pihak Berkuasa Melantik yang baru bagi mereka. Surat Pekeliling Perkhidmatan ini mengandungi penjelasan mengenai prinsip pelaksanaan, pemberian opsyen, penetapan gaji pertukaran pelantikan dan syarat-syarat pertukaran pelantikan.

Latar Belakang

Penempatan pegawai Kumpulan Sokongan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) secara kader di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia (KPT) adalah berikutan penyusunan semula kabinet pada tahun 2004 yang melibatkan pembahagian Kementerian Pendidikan Malaysia kepada dua kementerian iaitu KPM dan KPT.

Bagi memastikan pengurusan sumber manusia yang melibatkan pegawai Kumpulan Sokongan di KPT dilaksanakan dengan lebih efektif, terancang dan sistematik, Kerajaan telah memutuskan pegawai Kumpulan Sokongan KPM yang ditempatkan secara kader di KPT diberikan opsyen untuk memilih Ketua Perkhidmatan dan Pihak Berkuasa Melantik (PBM) yang baru melalui pertukaran pelantikan.

Pihak Berkuasa Melantik dan Ketua Perkhidmatan Baru

Kerajaan telah memutuskan PBM dan Ketua Perkhidmatan bagi pegawai Kumpulan Sokongan di KPT seperti berikut:

  • (i) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) selaku PBM bagi pelantikan semua jawatan pegawai Kumpulan Sokongan;
  • (ii) Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) selaku Ketua Perkhidmatan bagi jawatan Pembantu Tadbir (Perkeranian/ Operasi) [PT(P/O)], Pembantu Tadbir (Kewangan) [PT(Kew)], Pegawai Khidmat Pelanggan dan Pembantu Tadbir Rendah atau jawatan lain yang ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa; dan
  • (iii) Ketua Setiausaha (KSU) KPT selaku Ketua Perkhidmatan bagi jawatan Juruteknik, Pembantu Makmal, Penyelia Asrama, Pemandu Kenderaan, Tukang, Pembantu Am Pejabat, Operator Loji, Jurumudi dan Pembantu Rendah Awam atau jawatan lain yang ditetapkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

Prinsip Pelaksanaan

Semua pelantikan baru pegawai Kumpulan Sokongan di KPT selepas tarikh kuat kuasa Surat Pekeliling Perkhidmatan ini adalah dilaksanakan oleh SPA dan Ketua Perkhidmatannya mengikut ketetapan di perenggan 4(ii) dan 4(iii).

Prinsip pelaksanaan pertukaran pelantikan ini adalah berasaskan kepada Panduan Pertukaran Pelantikan yang dikeluarkan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 17 Tahun 2002. Prinsip-prinsip penting dalam melaksanakan pertukaran pelantikan pegawai Kumpulan Sokongan KPM yang ditempatkan secara kader di KPT adalah seperti berikut:

(i) pegawai yang layak ditawarkan pertukaran pelantikan melalui opsyen ini terdiri daripada pegawai yang dilantik oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) termasuk melalui perwakilan kuasa SPP kepada KPM atau KPT yang berada dalam Sistem Saraan Malaysia. Ini termasuk mereka yang dalam tempoh percubaan;

(ii) pegawai akan ditawarkan opsyen seperti berikut:

  • (a) penyandang jawatan PT(P/O), PT (Kew), Pegawai Khidmat Pelanggan dan Pembantu Tadbir Rendah akan ditawarkan opsyen sama ada bersetuju atau tidak bersetuju untuk ditukar lantik ke perkhidmatan Gunasama di bawah KPPA selaku Ketua Perkhidmatan dan SPA sebagai PBM;
  • (b) penyandang jawatan Juruteknik, Pembantu Makmal, Penyelia Asrama, Pemandu Kenderaan, Tukang, Pembantu Am Pejabat, Operator Loji, Jurumudi dan Pembantu Rendah Awam akan ditawarkan opsyen sama ada bersetuju atau tidak bersetuju untuk ditukar lantik ke perkhidmatan tertutup di bawah KSU KPT selaku Ketua Perkhidmatan dan SPA sebagai PBM; dan
  • (c) bagi penyandang yang tidak bersetuju untuk ditukar lantik mengikut prinsip di perenggan 6(ii)(a) dan 6(ii)(b), mereka akan kekal di perkhidmatan asal iaitu Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia selaku Ketua Perkhidmatan dan SPP selaku PBM.

(iii) tempoh opsyen yang diberi kepada setiap pegawai adalah selama 30 hari mulai tarikh surat tawaran dikeluarkan. Pilihan yang dibuat oleh pegawai adalah muktamad;

(iv) pegawai yang tidak bersetuju dengan tawaran opsyen pertukaran pelantikan ini akan kekal dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan asal dan ditempatkan semula di KPM; dan

(v) tarikh kuat kuasa pertukaran pelantikan ini adalah pada 16 Jun 2009 kecuali bagi pegawai yang dalam proses tindakan tatatertib, tarikh kuat kuasa pertukaran pelantikannya adalah sehari selepas Pihak Berkuasa Tatatertib berkenaan di KPM membuat keputusan bahawa sabit kesalahannya dan dijatuhkan hukuman.

Pegawai Kumpulan Sokongan selain daripada jawatan kader KPM seperti Penolong Pegawai Tadbir, Penolong Akauntan, Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Juruteknik Komputer, Penolong Pegawai Penerangan, Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Penolong Pegawai Perangkaan, Pembantu Perangkaan, Pembantu Teknik, Pelukis Pelan, Pembantu Perubatan, Penolong Pegawai Perpustakaan, Pembantu Perpustakaan, Ahli Fotografi, Juru Audio Visual, Pembantu Tadbir (Kesetiausahaan), Pembantu Perpustakaan, Penolong Juruaudit, Pembantu Keselamatan, Pembantu Juruaudit, Pereka, Pembantu Akauntan dan Juruenjin Laut tidak layak ditawarkan opsyen pertukaran pelantikan ini.

Pegawai yang dilantik secara sementara atau kontrak yang mengisi jawatan kader KPM di KPT tidak layak ditawarkan opsyen pertukaran pelantikan ini. Sekiranya perkhidmatan pegawai masih diperlukan, urusan pelantikan semula pegawai berkenaan akan diuruskan oleh KPT.

Pemberian Opsyen

SPA hendaklah menawarkan opsyen pertukaran pelantikan kepada semua pegawai yang layak mengikut contoh Surat Tawaran Opsyen Pertukaran Pelantikan di Lampiran A bagi membolehkan pegawai membuat pilihan. Tempoh opsyen adalah 30 hari mulai tarikh surat tawaran dikeluarkan. Pegawai yang bersetuju menerima opsyen akan ditukar lantik ke skim perkhidmatan dan gred jawatan yang sama di bawah PBM dan Ketua Perkhidmatan yang baru.

Opsyen pertukaran pelantikan yang dibuat oleh pegawai adalah muktamad.

Pegawai yang tidak membuat pilihan atau tidak melaporkan diri bertugas pada tarikh yang ditetapkan atau membuat pilihan dengan bersyarat atau gagal mengembalikan borang opsyen dalam tempoh yang ditetapkan tanpa sebab yang munasabah akan dianggap sebagai menolak tawaran opsyen pertukaran pelantikan. Pegawai berkenaan akan kekal dalam skim perkhidmatan dan perkhidmatan asal.

Tawaran opsyen ini juga hendaklah diberi kepada pegawai yang berada dalam keadaan berikut:
(i) sedang bercuti;

(ii) tidak hadir bertugas semasa opsyen dikeluarkan dan berkuat kuasa;

(iii) sedang dalam proses tindakan tatatertib; dan

(iv) sedang menjalani hukuman tatatertib selain daripada hukuman buang kerja.

Pegawai yang sedang dalam proses tindakan tatatertib, Pihak Berkuasa Tatatertib yang berkenaan di KPM hendaklah membuat keputusan ke atas kes tersebut dan jika sabit kesalahannya dan dijatuhi hukuman buang kerja, maka tawaran opsyen tersebut dengan sendirinya terbatal.

Bagi maksud urusan pemberian opsyen, contoh surat tawaran, syarat-syarat pertukaran pelantikan, borang opsyen dan surat pelepasan dengan izin adalah seperti berikut:

  • Lampiran A – Surat Tawaran Opsyen
  • Lampiran B – Syarat-syarat Pertukaran Pelantikan
  • Lampiran C – Borang Opsyen
  • Lampiran D – Surat Pelepasan Dengan Izin

Kaedah Penetapan Gaji Permulaan

Penetapan gaji permulaan pegawai yang belum disahkan dalam perkhidmatan di jawatan asal adalah berdasarkan prinsip matagaji tertinggi berhampiran dengan matagaji akhir di gred jawatan asal di Peringkat 1 (P1) gred jawatan baru. Contoh kaedah penetapan gaji bagi pegawai yang belum disahkan adalah seperti di Lampiran E dan E1.

Penetapan gaji permulaan bagi pegawai yang telah disahkan dalam perkhidmatan di jawatan asal adalah berdasarkan prinsip matagaji tertinggi berhampiran dengan matagaji akhir di gred jawatan asal di Peringkat 1 (P1) di gred jawatan baru yang mana jumlahnya tidak kurang daripada satu Pergerakan Gaji Biasa di gred jawatan asal. Jika matagaji di P1 jawatan baru tidak dapat menampung gaji permulaan yang ditetapkan mengikut prinsip ini, gaji boleh ditetapkan di Peringkat 2 (P2) dan seterusnya di Peringkat 3 (P3) jika matagaji di P2 jawatan baru tidak dapat menampung gaji permulaan yang telah ditetapkan. Contoh kaedah penetapan gaji bagi pegawai yang telah disahkan dalam perkhidmatan adalah seperti Lampiran E2 dan E3.

Sekiranya matagaji di gred jawatan baru tidak dapat menampung gaji permulaan yang ditetapkan mengikut prinsip seperti di perenggan 15 dan 16, Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) hendaklah dipohon daripada Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam. Contoh kaedah penetapan gaji bagi pegawai telah berada di matagaji maksimum adalah seperti Lampiran E4.

Pegawai boleh menggunakan kelulusan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) di jawatan asal sebagai memenuhi salah satu syarat untuk dipertimbangkan Anjakan Gaji dan/ atau kenaikan pangkat di jawatan baru berdasarkan peraturan yang sedang berkuat kuasa. Pegawai yang telah lulus PTK dan mendapat Aras IV pada tahun 2009, layak dipertimbangkan Anjakan Gaji pada tahun berikutnya. Contoh kaedah penetapan gaji adalah seperti di Lampiran E5.

Pergerakan Gaji Tahunan

Bagi pegawai yang mempunyai Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) pada 1 Julai dan 1 Oktober 2009, mereka hendaklah diberi pergerakan gaji terlebih dahulu pada tarikh kuat kuasa pertukaran pelantikan iaitu pada 16 Jun 2009 sebelum ditetapkan gaji pertukaran pelantikan pegawai di jawatan baru. Pergerakan Gaji Tahunan di jawatan asal adalah tertakluk kepada keputusan Panel Pembangunan Sumber Manusia KPT.

Tarikh Pergerakan Gaji

TPG asal bagi pegawai yang terlibat dalam urusan ini hendaklah diubah kepada satu TPG baru pada tahun berikutnya selepas kuat kuasa pertukaran pelantikan. TPG baru adalah pada 1 April tahun berikutnya.

Elaun dan Kemudahan

Pelaksanaan pertukaran pelantikan bagi pegawai Kumpulan Sokongan KPM yang ditempatkan secara kader di KPT ini tidak melibatkan perubahan kepada kaedah penetapan kelayakan elaun dan kemudahan sedia ada. Pegawai yang ditukar lantik ke skim perkhidmatan dan gred jawatan yang sama akan terus layak menerima elaun dan kemudahan yang diperuntukkan dalam perkhidmatan awam berdasarkan syarat yang ditetapkan.

Kaedah Pelaksanaan Opsyen

Bagi melaksanakan pertukaran pelantikan ini, SPA, KPT, KPM dan pegawai yang terlibat hendaklah mematuhi kaedah yang ditetapkan seperti berikut:

(i) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam

  • (a) menyediakan surat tawaran opsyen, syarat-syarat pertukaran pelantikan dan borang opsyen serta surat pelepasan dengan izin yang akan ditawarkan kepada pegawai seperti di Lampiran A, B, C dan D dan dikemukakan melalui KPT;
  • (b) melantik pegawai yang telah menerima opsyen untuk ditukar lantik mengikut skim perkhidmatan dan gred jawatan masing-masing di KPT; dan
  • (c) bagi tujuan faedah persaraan, pegawai yang telah disahkan dalam perkhidmatan di jawatan asal dan bersetuju menerima opsyen pertukaran pelantikan, perlu disahkan dalam perkhidmatan di jawatan baru tidak lewat enam (6) bulan dari tarikh kuat kuasa pertukaran pelantikan.

Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

  • (a) mengedarkan dokumen tawaran opsyen pertukaran pelantikan kepada pegawai;
  • (b) memberi penjelasan secara terperinci mengenai opsyen kepada pegawai yang terlibat dan implikasi keputusan atau pemilihan yang dibuat;
  • (c) menerima kertas opsyen yang telah dilengkapkan oleh pegawai dan memaklumkannya kepada SPA serta merekodkan dalam Kenyataan Perkhidmatan bagi pegawai yang menerima opsyen dan pelepasan dengan izin; dan
  • (d) memaklumkan SPA selaku Pihak Berkuasa Melantik dan Bahagian Perkhidmatan, JPA selaku Ketua Perkhidmatan pegawai yang bersetuju menerima opsyen ditukar lantik ke jawatan dalam perkhidmatan Gunasama dan Bahagian Pembangunan Organisasi, JPA bagi membolehkan pindaan waran perjawatan dilaksanakan.

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa pada tarikh ia dikeluarkan.

Kekecualian

Sebarang pengecualian daripada mana-mana peruntukan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah mendapatkan pertimbangan dan kelulusan KPPA.

SPP Bil.09/2009 Pekeliling Pertukaran Pelantikan Bagi Pegawai Kumpulan Sokongan Yang Ditempatkan Secara Kader Oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Secara ringkasnya, pekeliling ini mengenai penambahbaikan proses bayaran balik pembaharuan lesen memandu agar lebih berkesan.

Nama Pekeliling : Pertukaran Pelantikan Bagi Pegawai Kumpulan Sokongan Yang Ditempatkan Secara Kader Oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.09/2009 Pekeliling Pertukaran Pelantikan Bagi Pegawai Kumpulan Sokongan Yang Ditempatkan Secara Kader Oleh Kementerian Pelajaran Malaysia di Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment