SPP Bil.09/2007 Pekeliling Kaedah Pengisian Jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun

Pekeliling Kaedah Pengisian Jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun

Tujuan Kaedah Pengisian Jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan pindaan kepada kaedah pengisian jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2002.

Latar Belakang

Peraturan bagi mengisi jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun telah dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2002 (PP 1/2002) – Pelantikan dan Penamatan Perkhidmatan Pengerusi Lembaga dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun. PP 1/2002 menetapkan:

(i) Pengisian jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun hendaklah dibuat melalui salah satu daripada tiga (3) kaedah berikut:

  • Pertukaran sementara bagi pegawai yang dipilih dari kalangan pegawai Pihak Berkuasa Berkanun itu sendiri; atau
  • Peminjaman bagi pegawai yang dipilih dari agensi awam yang lain; atau
  • Kontrak bagi pesara Kerajaan atau bukan pegawai awam.

(ii) Pengisian jawatan Ketua Eksekutif tidak boleh dibuat melalui urusan kenaikan pangkat atau pelantikan secara tetap.

Bagi menambahbaik kaedah pengisian jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun, Kerajaan telah memutuskan pengisian jawatan berkenaan oleh pegawai yang dipilih dari kalangan pegawai Pihak Berkuasa Berkanun itu sendiri dibuat melalui kenaikan pangkat. Kaedah pengisian secara peminjaman atau kontrak dikekalkan.

Peraturan Baru

Dengan keputusan Kerajaan ini, peraturan mengenai kaedah pengisian jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun adalah mengikut salah satu daripada tiga (3) kaedah berikut:

(i) Kenaikan pangkat dari kalangan pegawai Pihak Berkuasa Berkanun itu sendiri; atau
(ii) Peminjaman dari kalangan pegawai agensi awam yang lain; atau
(iii) Kontrak dari kalangan pesara Kerajaan atau bukan pegawai awam.

Pengisian jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun oleh pegawai dari kalangan pegawai Pihak Berkuasa Berkanun itu sendiri melalui kaedah kenaikan pangkat hendaklah mematuhi peraturan berikut:

(i) Pegawai yang dipilih perlu memenuhi syarat-syarat kenaikan pangkat yang ditetapkan mengikut skim perkhidmatan pegawai berkenaan. Pegawai boleh dikehendaki memangku terlebih dahulu sebelum pegawai dinaikkan pangkat ke jawatan berkenaan;
(ii) Pegawai yang belum memenuhi syarat kenaikan pangkat, pengisian hendaklah dibuat secara pemangkuan;
(iii) Jawatan Ketua Eksekutif (Terbuka) perlu dipinda kepada jawatan mengikut skim perkhidmatan pegawai Pihak Berkuasa Berkanun berkenaan yang mengisi jawatan tersebut. Jawatan Ketua Eksekutif perlu dipinda semula menjadi jawatan terbuka sebaik sahaja pegawai tersebut tidak lagi menyandang jawatan berkenaan;
(iv) Jawatan yang dikosongkan oleh pegawai yang telah dinaikkan pangkat ke jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun boleh diisi secara hakiki oleh pegawai lain; dan
(v) Jawatan yang dikosongkan oleh pegawai yang mengisi jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun secara pemangkuan boleh diisi secara sementara melalui kaedah pemangkuan, pertukaran sementara, peminjaman atau pelantikan secara kontrak.

 

Pelaksanaan

 

Bagi melaksanakan keputusan Kerajaan ini, pengisian jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun yang dibuat selepas tarikh kuat kuasa Surat Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah dibuat mengikut salah satu daripada tiga (3) kaedah pengisian yang dinyatakan di perenggan 4 iaitu sama ada melalui kaedah kenaikan pangkat, peminjaman atau kontrak.

Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun yang sedang menyandang jawatan tersebut secara pertukaran sementara pada tarikh kuat kuasa Surat Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah dipendekkan tempoh pertukaran sementaranya dan pada masa yang sama, jika perkhidmatan pegawai masih diperlukan, urusan pemangkuan atau kenaikan pangkat hendaklah dibuat mulai tarikh semasa tetapi tidak lebih awal daripada tarikh kuat kuasa Surat Pekeliling Perkhidmatan ini.

 

Pemakaian

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah dibaca bersama dengan PP 1/2002. Oleh kerana ini merupakan satu keputusan Kerajaan, maka semua Pihak Berkuasa Berkanun Persekutuan dan Negeri hendaklah menerima pakai dan melaksanakan sepenuhnya peruntukan yang terdapat dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini.

Kekecualian

Sebarang pengecualian daripada mana-mana peruntukan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah mendapatkan pertimbangan dan kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Pembatalan

Dengan berkuat kuasa Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, perenggan 6 dan 7 serta penggunaan kaedah pengisian secara pertukaran sementara yang dinyatakan di perenggan 10, 14 dan 15 PP 1/2002 adalah dibatalkan.

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

SPP Bil.09/2007 Pekeliling Kaedah Pengisian Jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan menjelaskan pindaan kepada kaedah pengisian jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun yang telah ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2002.

Nama Pekeliling : Kaedah Pengisian Jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.09/2007 Pekeliling Kaedah Pengisian Jawatan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Berkanun

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment

error: Content is protected !!