SPP Bil.08/2009 Pekeliling Panduan Pelaksanaan Kaedah Pergerakan Gaji Tahunan Bagi Pegawai Dalam Tempoh Percubaan

Pekeliling Panduan Pelaksanaan Kaedah Pergerakan Gaji Tahunan Bagi Pegawai Dalam Tempoh Percubaan

Tujuan Pekeliling Panduan Pelaksanaan Kaedah Pergerakan Gaji Tahunan Bagi Pegawai Dalam Tempoh Percubaan dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan pelaksanaan kaedah Pergerakan Gaji Tahunan bagi pegawai dalam tempoh percubaan termasuk pegawai yang dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda atau tanpa denda.

Definisi

Dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini:

Ketua Jabatan” bermaksud pegawai yang mengetuai sesebuah agensi di peringkat ibu pejabat iaitu termasuk Ketua Setiausaha, Ketua Pengarah, Ketua Perkhidmatan atau mana-mana pegawai yang diberi kuasa secara bertulis untuk menjalankan fungsi sebagai Ketua Jabatan;

Pelanjutan tempoh percubaan dengan denda” bermaksud tempoh percubaan seseorang pegawai yang dilanjutkan oleh Suruhanjaya dengan dikenakan denda kerana kegagalan disahkan dalam perkhidmatan semasa tempoh percubaan asal yang ditetapkan disebabkan oleh kecuaian dan kelemahan pegawai;

Pelanjutan tempoh percubaan tanpa denda” bermaksud tempoh percubaan seseorang pegawai yang dilanjutkan oleh Suruhanjaya tanpa dikenakan denda kerana kegagalan disahkan dalam perkhidmatan semasa tempoh percubaan asal yang ditetapkan bukan disebabkan oleh kecuaian atau kelemahan pegawai;

Suruhanjaya” bermaksud Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Perkhidmatan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan, mengikut mana-mana yang berkenaan;

Tempoh percubaan” bermaksud satu tempoh yang ditetapkan di dalam sesuatu skim perkhidmatan untuk menilai kebolehan dan kesesuaian pegawai yang dilantik sebelum layak disahkan dalam perkhidmatannya.

Latar Belakang

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002 (PP 4/2002) – Pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia dan Peraturan 26 (1), Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 [P.U.(A) 176/2005] menetapkan setiap pegawai yang dilantik ke perkhidmatan awam dikehendaki melalui tempoh percubaan antara satu (1) hingga tiga (3) tahun. Pegawai yang gagal disahkan dalam perkhidmatan selepas tamat tempoh percubaan tersebut boleh dipertimbangkan pelanjutan tempoh percubaan oleh Suruhanjaya sama ada dengan denda atau tanpa denda tidak melebihi dua (2) tahun kecuali dalam keadaan khas yang ditentukan oleh Suruhanjaya.

Pada masa ini, pegawai dalam tempoh percubaan layak dipertimbangkan Pergerakan Gaji Biasa (PGB). Sementara itu, kaedah penetapan pergerakan gaji pegawai yang dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda atau tanpa denda dilaksanakan berdasarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1995 (SPP 1/1995) – Penjelasan Mengenai Pergerakan Gaji Pegawai Di Bawah Sistem Saraan Baru. Sehubungan itu, didapati wujud keperluan untuk mengemas kini dan menjelaskan semula kaedah sedia ada supaya urusan penetapan pergerakan gaji bagi pegawai dalam tempoh percubaan termasuk yang diberi pelanjutan tempoh percubaan dapat dilaksanakan dengan lebih teratur selaras dengan dasar yang sedang berkuat kuasa.

Kesan Pelanjutan Tempoh Percubaan

Pegawai yang dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda akan mengalami kesan ke atas perkhidmatan dari segi kekananan, Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) dan Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) selaras dengan Peraturan 30, P.U.(A) 176/2005 seperti berikut:

(a) hilang kekananan bagi tempoh yang sama dengan tempoh pelanjutan tersebut;
(b) tidak layak mendapat PGT semasa pelanjutan tempoh percubaan dengan denda; dan
(c) TPG berubah mengikut tarikh kuat kuasa pengesahan dalam perkhidmatan pegawai.

Sementara itu, bagi pegawai yang diluluskan pelanjutan tempoh percubaan tanpa denda, pelanjutan tersebut tidak memberi kesan dari segi kekananan, PGT dan TPG pegawai.

Prinsip Pergerakan Gaji Tahunan Dalam Tempoh Percubaan

Penetapan PGT bagi pegawai dalam tempoh percubaan adalah mengikut prinsip seperti berikut:-

(a) pegawai yang berada dalam tempoh percubaan layak dipertimbangkan PGB sebanyak tiga (3) kali semasa dalam tempoh percubaan asal tertakluk kepada syarat mencapai prestasi yang memuaskan dan diperakukan oleh Ketua Jabatan pada tahun penilaian prestasi. Kaedah ini juga terpakai kepada pegawai yang telah disahkan dalam perkhidmatan sebelum genap tiga (3) tahun tempoh percubaan dan lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dengan Aras IV di mana pegawai layak dipertimbangkan Anjakan Gaji. Contoh pergerakan gaji pegawai berkenaan adalah seperti di Lampiran A;

(b) pegawai yang dilanjutkan tempoh percubaan tanpa denda layak dipertimbangkan PGB pada TPG asal mengikut keputusan PPSM. Contoh pergerakan gaji pegawai berkenaan adalah seperti di Lampiran B;

(c) pegawai yang dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda tidak layak diberi PGT dalam pelanjutan tempoh percubaan dengan denda tersebut. Contoh pergerakan gaji pegawai berkenaan adalah seperti di Lampiran C. Walau bagaimanapun, pegawai dalam keadaan berikut boleh dipertimbangkan PGT sebelum atau pada tempoh percubaan pegawai dilanjutkan dengan denda iaitu:

  • (i) pegawai yang TPG tahunannya adalah sama dengan tarikh pelanjutan tempoh percubaan dengan denda tetapi belum mendapat PGT kali ketiga dalam tempoh percubaan asalnya. Contoh pergerakan gaji pegawai berkenaan adalah seperti di Lampiran C1;
  • (ii) pegawai belum memperoleh pergerakan gaji kali ketiga dalam tempoh percubaan asalnya. Antaranya, disebabkan PPSM belum memutuskan pergerakan gaji pada tarikh pelanjutan tempoh percubaan. Contoh pergerakan gaji pegawai berkenaan adalah seperti di Lampiran C2;

(d) pegawai yang dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda, TPG asal berubah kepada TPG baru berdasarkan tarikh pengesahan dalam perkhidmatan dan diberi pada tahun berikutnya. Contoh penentuan pergerakan gaji dan TPG adalah seperti di Lampiran D. Walau bagaimanapun, bagi pegawai yang disahkan dalam perkhidmatan sebelum melepasi TPG berikutnya, TPG pegawai sepatutnya berubah pada tahun berikutnya namun ia kekal mengikut TPG asal. Namun, pegawai masih hilang kekananan bagi tempoh pelanjutan tersebut sebagai implikasi ke atas perkhidmatan. Contoh penentuan pergerakan gaji dan TPG adalah seperti di Lampiran D1; dan

(e) pegawai yang dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda, layak dipertimbangkan salah satu cara pergerakan gaji sama ada PGB atau Anjakan Gaji mengikut keputusan PPSM setelah disahkan dalam perkhidmatan. Contoh pergerakan gaji pegawai berkenaan adalah seperti di Lampiran E.

 

Pembatalan

Dengan berkuat kuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 1995 (SPP 1/1995) – Penjelasan Mengenai Pergerakan Gaji Pegawai Di Bawah Sistem Saraan Baru adalah dibatalkan kecuali bagi pegawai yang kekal dalam Sistem Saraan Baru.

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Surat Pekeliling Perkhidmatan ini terpakai kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

SPP Bil.08/2009 Pekeliling Panduan Pelaksanaan Kaedah Pergerakan Gaji Tahunan Bagi Pegawai Dalam Tempoh Percubaan

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan menjelaskan pelaksanaan kaedah Pergerakan Gaji Tahunan bagi pegawai dalam tempoh percubaan termasuk pegawai yang dilanjutkan tempoh percubaan dengan denda atau tanpa denda.

Nama Pekeliling : Panduan Pelaksanaan Kaedah Pergerakan Gaji Tahunan Bagi PEgawai Dalam Tempoh Percubaan

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.08/2009 Pekeliling Panduan Pelaksanaan Kaedah Pergerakan Gaji Tahunan Bagi Pegawai Dalam Tempoh Percubaan

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment