SPP Bil.07/2009 Pekeliling Kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) Kepada Pegawai Yang Mengikuti Pengajian Secara Sambilan Di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Dalam Negara

Pekeliling Kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) Kepada Pegawai Yang Mengikuti Pengajian Secara Sambilan Di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Dalam Negara

Tujuan Pekeliling Kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) Kepada Pegawai Yang Mengikuti Pengajian Secara Sambilan Di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Dalam Negara dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk memaklumkan mengenai kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) kepada pegawai yang mengikuti pengajian secara sambilan di lnstitusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara.

 

Tafsiran

Bagi tujuan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini:

Cuti Kursus Sambilan” bermaksud cuti tidak berekod yang diluluskan oleh Ketua Jabatan tidak melebihi 30 hari dalam setahun pengajian kepada pegawai yang mengikuti pengajian secara sambilan di lnstitusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara bagi menghadiri kursus intensif;

Kursus Secara Sambilan” bermaksud program pengajian di peringkat Diploma, ljazah Pertama atau Ijazah Lanjutan secara sambilan / separuh masa atau pendidikan jarak jauh (PJJ) di Institusi Pengajian Tinggi di dalam negara;

Institusi Pengajian Tinggi” bermaksud Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pengajian Tinggi;

Kursus Intensif” bermaksud kursus yang mewajibkan pegawai mengikutinya secara sepenuh masa;

Kursus Yang Diiktiraf” bermaksud kursus yang diikuti adalah kursus yang telah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia melalui Jawatankuasa Tetap Penilaian dan Pengiktirafan Kelayakan (JTPPK); dan

Pegawai” bermaksud semua kategori pegawai yang sedang berkhidmat yang dilantik oleh Suruhanjaya secara tetap.

Latar Belakang

Jabatan Perkhidmatan Awam telah mengeluarkan surat edaran rujukan JPA(L)S.4.06/3 KIt.3 (14) bertarikh 17 September 1997 yang bertajuk Kemudahan Cuti Tanpa Rekod Kepada Pegawai / Kakitangan Semasa Mengikuti Kursus Intensif Di Bawah Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) sebagai panduan umum kepada Ketua Jabatan dalam meluluskan kemudahan Cuti Tanpa Rekod kepada pegawai bagi mengikuti kursus intensif di bawah Program Pendidikan Jarak Jauh.

Kemudahan ini disediakan oleh Kerajaan sebagai satu galakan kepada pegawai agar dapat melengkapkan diri dengan pengetahuan yang lebih tinggi sejajar dengan keperluan untuk mewujudkan pekerja berasaskan pengetahuan (knowledge-based workers). Kemudahan ini telah digunapakai secara meluas, namun pelaksanaannya banyak ditentukan oleh budi bicara Ketua Jabatan masing-masing kerana tiada garis panduan yang lengkap mengenai perkara ini.

Sehubungan dengan itu, Surat Pekeliling Perkhidmatan ini dikeluarkan sebagai garis panduan kepada Ketua Jabatan dalam melaksanakan pemberian kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) kepada pegawai bagi mengikuti kursus secara sambilan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara.

Tempoh Cuti Kursus Sambilan (CKS)

Pegawai boleh dipertimbangkan kemudahan CKS tertakluk kepada garis panduan seperti berikut:

(i) Tempoh CKS yang boleh diluluskan oleh Ketua Jabatan adalah mengikut tempoh sebenar kursus intensif dengan syarat ianya tidak melebihi 30 hari dalam satu tahun pengajian;

(ii) Tempoh maksimum CKS bagi setiap permohonan boleh dihadkan oleh Ketua Jabatan bagi memastikan tugas hakiki pegawai tidak terganggu;

(iii) Sekiranya pegawai telah mengambil tempoh maksimum CKS dan masih memerlukan cuti tambahan, pegawai perlulah menggunakan baki cuti rehat yang masih ada ataupun memohon Cuti Tanpa Gaji bagi menampung perbezaan tempoh tersebut;

(iv) Sekiranya kursus intensif jatuh pada hari Cuti Umum, maka pegawai tidak boleh menuntut CKS sebagai gantian kepada hari tersebut; dan

(v) Kemudahan CKS ini tidak meliputi hari perjalanan pergi dan balik.

Prinsip Asas Pemberian Cuti Kursus Sambilan (CKS)

Ketua Jabatan boleh mempertimbangkan pemberian CKS tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

(i) Pegawai telah disahkan dalam perkhidmatan;

(ii) Pegawai telah terlebih dahulu mendapat kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatan untuk mengikuti kursus secara sambilan;

(iii) Kursus yang diikuti adalah di peringkat Diploma, ljazah Pertama, Diploma Lanjutan, Sarjana dan Kedoktoran (PhD);

(iv) Kursus yang diikuti adalah kursus yang telah diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia melalui Jawatankuasa Tetap Penilaian dan Pengiktirafan Kelayakan (JTPPK) yang boleh disemak di Unit Pengiktirafan Kelayakan, Bahagian Pembangunan Modal Insan atau di laman web www.interactive.jpa.gov.my/webinteraktif/frmMainIktiraf.asp;

(v) Pegawai layak diberi kemudahan CKS untuk mengikuti kursus sambilan maksimum dua (2) kali pengajian sepanjang tempoh perkhidmatan;

(vi) Bilangan CKS yang diambil dan diluluskan perlu direkod di ruang Maklumat Perkhidmatan dan Maklumat Cuti di dalam Rekod Perkhidmatan Pegawai;

(vii) Kemudahan yang diberikan ini bukan satu hak mutlak pegawai dan ianya tertakluk kepada kelulusan Ketua Jabatan; dan

(viii) Kemudahan CKS ini tidak boleh dibawa ke tahun hadapan, sekiranya pegawai tidak menggunakan kemudahan ini pada tahun semasa.

Jenis-jenis Kursus Intensif

Kursus Intensif adalah meliputi modul-modul yang mewajibkan pegawai mengikutinya secara sepenuh masa seperti berikut :

(i) kuliah;

(ii) tutorial;

(iii) seminar/bengkel/kolokium; dan

(iv) latihan amali/latihan industri yang kurang daripada 30 hari.

Kaedah Pelaksanaan

Tanggungjawab pegawai adalah:

(i) mendapatkan kebenaran bertulis daripada Ketua Jabatan sebelum memulakan pengajian; dan

(ii) mengemukakan permohonan CKS kepada Ketua Jabatan beserta dengan dokumen sokongan iaitu surat arahan IPT yang mewajibkan pegawai menghadiri kursus intensif.

Tanggungjawab Ketua Jabatan adalah:

(i) meneliti dan mempertimbangkan permohonan pegawai dengan mengambil kira syarat-syarat pemberian CKS seperti di perenggan 7 dan jenis-jenis kursus intensif seperti di perenggan 8 ; dan
(ii) merekodkan CKS yang diluluskan di dalam Rekod Perkhidmatan pegawai.

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai daripada tarikh ianya dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Pembatalan

Dengan berkuatkuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, surat edaran JPA(L)S.4.06/3 Klt.3 (14) bertarikh 17 September 1997 adalah dibatalkan.

SPP Bil.07/2009 Pekeliling Kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) Kepada Pegawai Yang Mengikuti Pengajian Secara Sambilan Di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Dalam Negara

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan mengenai kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) kepada pegawai yang mengikuti pengajian secara sambilan di lnstitusi Pengajian Tinggi (IPT) dalam negara.

Nama Pekeliling : Kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) Kepada Pegawai Yang Mengikuti Pengajian Secara Sambilan Di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Dalam Negara

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.07/2009 Pekeliling Kemudahan Cuti Kursus Sambilan (CKS) Kepada Pegawai Yang Mengikuti Pengajian Secara Sambilan Di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Dalam Negara

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment