SPP Bil.06/2007 Pekeliling Penurunan Kuasa Pelantikan Secara Kontrak Pesara Kerajaan Sebagai Pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam

Pekeliling Penurunan Kuasa Pelantikan Secara Kontrak Pesara Kerajaan Sebagai Pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam

Tujuan Pekeliling Penurunan Kuasa Pelantikan Secara Kontrak Pesara Kerajaan Sebagai Pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan penurunan kuasa pelantikan secara kontrak pesara Kerajaan bagi berkhidmat sebagai pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Latar Belakang

Peraturan sedia ada bagi pelantikan secara kontrak pesara adalah mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2003 (PP 2/2003) – Panduan Pelantikan Pegawai Kontrak. Berdasarkan peraturan tersebut, kuasa menimbang pelantikan secara kontrak pesara sebagai pensyarah adalah Y.A.B. Perdana Menteri bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi, Ketua Setiausaha Negara bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 45 dan ke atas serta Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 45 ke bawah.

Kerajaan telah memutuskan untuk menurunkan kuasa menimbang perakuan pelantikan secara kontrak pesara sebagai pensyarah yang dinyatakan di perenggan 2 kepada Pihak Berkuasa Melantik (PBM) IPTA selaras dengan hasrat untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan.

Prinsip Pelaksanaan

Selaras dengan keputusan Kerajaan ini, kuasa menimbang perakuan bagi melantik pesara sebagai Pensyarah Universiti, Pensyarah UiTM, Pensyarah Perubatan dan Pensyarah Pergigian diturunkan kepada PBM IPTA.

Dalam melaksanakan keputusan ini, PBM IPTA hendaklah mematuhi semua dasar, peraturan, prinsip dan syarat-syarat yang ditetapkan mengikut peraturan pelantikan secara kontrak yang berkuat kuasa dengan memberi perhatian kepada perkara-perkara berikut:

(i) pesara yang hendak dilantik merupakan pegawai perkhidmatan awam (warganegara) yang telah bersara wajib;
(ii) pesara dilantik mengisi jawatan Pensyarah Universiti, Pensyarah UiTM, Pensyarah Perubatan dan Pensyarah Pergigian;
(iii) pesara yang dilantik semula perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan jawatan yang ditawarkan dan memenuhi syarat-syarat pelantikan seperti berikut:

  • disahkan sihat oleh pengamal perubatan berdaftar;
  • membuat akuan berkanun di bawah Akta Akuan Berkanun 1960 (Akta 13);
  • lulus tapisan keselamatan;
  • menandatangani Surat Aku Janji; dan
  • mematuhi peruntukan dalam Akta Rahsia Rasmi 1972 (Akta 88).

(iv) pesara yang dilantik memenuhi keperluan IPTA setelah mengambil kira pengalaman, kepakaran, kemahiran dan kesukaran mendapatkan calon di kalangan pegawai lantikan tetap;
(v) pesara yang dilantik perlu mempunyai kompetensi yang sesuai dan prestasi yang baik berdasarkan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) semasa dalam perkhidmatan sebelum beliau bersara;
(vi) tempoh sesuatu kontrak yang ditawarkan adalah antara 1 hingga 3 tahun. Tempoh keseluruhan kontrak hendaklah tidak berpanjangan. IPTA bertanggungjawab menyediakan pelan penggantian (succession plan) supaya tugas pesara berkenaan dapat diganti dengan pegawai lantikan tetap. Walau bagaimanapun jika perkhidmatan pesara masih diperlukan atas sebab tertentu, had umur maksimum yang dibenarkan ialah sehingga 65 tahun sahaja;
(vii) pesara boleh dilantik secara kontrak bagi mengisi jawatan pada gred yang sama, setaraf atau lebih rendah dengan gred jawatan sebelum bersara. Pelantikan ke gred jawatan yang lebih tinggi hanya boleh dipertimbangkan sekiranya pesara tersebut memenuhi kriteria yang telah ditetapkan kepada pegawai lantikan tetap untuk dinaikkan pangkat ke gred jawatan yang sama atau setaraf dengan jawatan berkenaan;
(viii) Gaji permulaan kontrak yang boleh ditawarkan kepada pesara adalah mengikut prinsip berikut:

  • pada matagaji minimum di Peringkat 1 (P1) sekiranya gaji akhir sebelum bersara lebih rendah daripada matagaji minimum jawatan yang ditawarkan; atau
  • sekiranya gaji akhir itu lebih tinggi daripada matagaji minimum tetapi masih rendah daripada matagaji maksimum di P1, ianya ditetapkan pada matagaji tertinggi berhampiran di P1 dengan gaji akhir tersebut; atau
  • pada matagaji maksimum di P1 sekiranya gaji akhir sebelum bersara lebih tinggi daripada matagaji maksimum di P1 jawatan yang ditawarkan.

Gaji akhir yang dimaksudkan bagi penentuan gaji permulaan kontrak di atas ialah gaji akhir yang diterima sehari sebelum pegawai bersara dan bukan gaji yang telah diselaraskan untuk tujuan pencen berikutan keputusan Kerajaan mengkaji semula gaji dan saraan pegawai awam; dan

(ix) Pesara yang dilantik secara kontrak layak dipertimbangkan elaun dan kemudahan mengikut skim perkhidmatan dan gred jawatan yang ditawarkan dengan syarat peruntukan mengenainya dinyatakan dalam perjanjian kontrak yang mereka tandatangani. Pegawai juga layak dibayar elaun dan kemudahan baru, jika ada, yang dikeluarkan dari semasa ke semasa dan dipanjangkan kepada mereka.

PBM IPTA tidak boleh melantik secara kontrak pesara berikut bagi berkhidmat sebagai pensyarah di IPTA:

i) pegawai yang dibersarakan mengikut perenggan 10(5)(b) Akta Pencen 1980 (Akta 227) atau Akta Pencen Pihak-Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan 1980 (Akta 239) akibat daripada keputusan pegawai menolak pilihan berkhidmat dengan syarikat swasta atau agensi yang mengambil alih agensi awam tempat mereka berkhidmat dalam sesuatu urusan pengkorporatan atau penswastaan;
ii) pegawai yang dibersarakan di bawah perenggan 10(5)(d) Akta 227 atau Akta 239 atas kepentingan awam;
iii) pegawai yang dibersarakan di bawah perenggan 10(5)(e) Akta 227 atau Akta 239 kerana memperolehi kewarganegaraan negara asing;
iv) pegawai yang dibersarakan di bawah perenggan 10(5)(f) Akta 227 atau Akta 239 kerana membuat pernyataan palsu;
v) pegawai yang bersara secara pilihan di bawah seksyen 12, Akta 227 atau Akta 239;
vi) pegawai yang bersara di bawah seksyen 12A Akta 227 atau seksyen 13 Akta 239 kerana menyertai syarikat dalam penswastaan agensi awam;

vii) pesara yang telah berumur 65 tahun dan ke atas; dan
viii) pesara yang disahkan tidak sihat oleh pengamal perubatan berdaftar.

PBM IPTA dalam melaksanakan penurunan kuasa ini hendaklah memastikan semua peraturan yang berkuat kuasa dipatuhi sepenuhnya.

Pemantauan

Setiap IPTA yang menguruskan pelantikan secara kontrak pesara melalui penurunan kuasa ini hendaklah mengemukakan maklumat secara berkala (bulanan) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak lewat daripada minggu pertama bulan berikutnya dengan menggunakan format seperti Lampiran A.

JPA pada bila-bila masa boleh membuat naziran ke mana-mana IPTA bagi menentukan pelantikan yang dibuat mengikut peraturan yang ditetapkan melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan ini dan peraturan pelantikan secara kontrak yang berkuat kuasa.

Penurunan kuasa ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada peraturan yang ditetapkan atau apa-apa sebab yang diputuskan oleh Kerajaan.

Kekecualian

Sebarang pengecualian daripada mana-mana peruntukan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah mendapatkan pertimbangan dan kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan. Semua permohonan pelantikan secara kontrak pesara Kerajaan untuk berkhidmat sebagai Pensyarah di IPTA sebelum tarikh kuat kuasa Surat Pekeliling Perkhidmatan ini akan terus tertakluk di bawah PP 2/2003.

 

SPP Bil.06/2007 Pekeliling Penurunan Kuasa Pelantikan Secara Kontrak Pesara Kerajaan Sebagai Pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan menjelaskan penurunan kuasa pelantikan secara kontrak pesara Kerajaan bagi berkhidmat sebagai pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Nama Pekeliling : Penurunan Kuasa Pelantikan Secara Kontrak Pesara Kerajaan Sebagai Pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.06/2007 Pekeliling Penurunan Kuasa Pelantikan Secara Kontrak Pesara Kerajaan Sebagai Pensyarah di Institusi Pengajian Tinggi Awam

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!