SPP Bil.05/2010 Pekeliling Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Matriks Bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan Dan Pensyarah Pergigian

Tujuan Pekeliling Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Matriks Bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan Dan Pensyarah Pergigian dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan berkaitan penambahbaikan Jadual Gaji Matriks bagi skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan Gred DU51/52 dan Gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian Gred DUG51/52 dan Gred DUG53/54.

Latar Belakang

Jadual Gaji Matriks yang berkuat kuasa bagi skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan Gred DU51/52 dan Gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian Gred DUG51/52 dan Gred DUG53/54 adalah sebagaimana yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 Tahun 2008. Selaras dengan skop fungsi bidang tugas Pensyarah Perubatan dan Pensyarah Pergigian, Kerajaan telah bersetuju supaya Jadual Gaji Matriks yang berkuat kuasa dibuat penambahbaikan.

Definisi

Dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini-

“Gaji Baru” bermaksud Matagaji di sesuatu tanggagaji Jadual Gaji Matriks Sistem Saraan Malaysia yang berkuat kuasa mulai 1 Julai 2010;

“Gaji Sekarang” bermaksud Matagaji di sesuatu tanggagaji Jadual Gaji Matriks Sistem Saraan Malaysia yang berkuat kuasa sehingga 30 Jun 2010;

“Jadual Gaji Baru” bermaksud Jadual Gaji Matriks yang berkuat kuasa dalam Sistem Saraan Malaysia mulai 1 Julai 2010;

“Jadual Gaji Sekarang” bermaksud Jadual Gaji Matriks yang berkuat kuasa dalam Sistem Saraan Malaysia sehingga 30 Jun 2010;

“Matagaji” bermaksud amaun gaji tertentu yang terletak di sesuatu Jadual Gaji Matriks;

“Matagaji Baru” bermaksud Matagaji dalam Jadual Gaji Baru; dan

“Matagaji Sekarang” bermaksud Matagaji dalam Jadual Gaji Sekarang.

Pelaksanaan

Pegawai Yang Layak

Pensyarah Perubatan Gred DU51/52 dan Gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian Gred DUG51/52 dan Gred DUG53/54 yang bertaraf tetap, sementara dan kontrak (contract of service) layak diberi pelarasan gaji di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan ini.

Pelarasan gaji di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah diberi kepada pegawai yang sedang berkhidmat pada atau selepas 1 Julai 2010 termasuk yang berada dalam keadaan seperti berikut:

(i) dipinjam atau ditukar sementara ke agensi Kerajaan, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan mengikut jawatan peminjaman atau jawatan pertukaran sementara. Gaji hakiki pegawai berkenaan hendaklah diselaraskan secara isyarat oleh Ketua Jabatan;
(ii) dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan secara isyarat atas gaji hakiki oleh Ketua Jabatan;
(iii) cuti bergaji penuh, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan atas gaji pokok yang diterima;
(iv) cuti separuh gaji, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan atas gaji pokok dan dibayar separuh daripada Gaji Baru; dan
(v) cuti tanpa gaji, pelarasan gaji hendaklah dilaksanakan secara isyarat atas gaji pokok. Pegawai dibayar Gaji Baru apabila kembali bertugas.

Dalam melaksanakan pelarasan gaji, sebarang hukuman yang dikenakan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib sebelum tarikh kuat kuasa Surat Pekeliling Perkhidmatan ini yang melibatkan gaji pegawai seperti denda, lucut hak emolumen, tangguh pergerakan gaji, turun gaji atau turun pangkat, hendaklah dilaksanakan sepenuhnya. Sebagai contoh, jika pegawai dikenakan hukuman tangguh pergerakan gaji, pegawai layak diberi pelarasan gaji tetapi pergerakan dalam Jadual Gaji Baru hendaklah ditangguhkan sehingga hukuman itu disempurnakan.

Pegawai yang meninggal dunia pada atau selepas 1 Julai 2010 layak diberi pelarasan gaji di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan ini. Ketua Jabatan terakhir di mana pegawai ditempatkan hendaklah bertanggungjawab terhadap pelarasan gaji pegawai berkenaan.

Pegawai Yang Tidak Layak

Pelarasan gaji di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan ini tidak diberi kepada:

(i) pegawai yang dikenakan tindakan tatatertib dengan hukuman buang kerja yang berkuat kuasa sebelum atau pada 1 Julai 2010; dan
(ii) pegawai yang bersara sebelum atau pada 1 Julai 2010.

Prinsip Pemindahan Gaji

Prinsip pemindahan gaji adalah Matagaji Sekarang dipindahkan kepada Matagaji Baru di Jadual Gaji Baru dengan Peringkat (P) gaji dikekalkan.

Kaedah Pemindahan Gaji

Kaedah pemindahan gaji adalah daripada Matagaji Sekarang kepada Matagaji Baru yang sama atau tertinggi berhampiran di Jadual Gaji Baru pada 1 Julai 2010. Pelarasan gaji ini tidak mengubah Peringkat (P) gaji pegawai. Jadual Gaji Baru adalah seperti di Lampiran A dan Lampiran B. Contoh kaedah pemindahan gaji adalah seperti di Lampiran C.

Jika Tarikh Pergerakan Gaji pegawai ialah pada 1 Julai atau 1 Oktober, pegawai hendaklah diberi pergerakan gaji terlebih dahulu di Matagaji Sekarang sebelum dipindahkan kepada Matagaji Baru pada 1 Julai 2010. Contoh kaedah pemindahan gaji adalah seperti di Lampiran D dan Lampiran E.

Pegawai yang tarikh kenaikan pangkatnya pada 1 Julai 2010, gajinya hendaklah ditetapkan dalam gred kenaikan pangkat Gaji Sekarang terlebih dahulu dan dipindahkan kepada Matagaji Baru dalam gred kenaikan pangkat Gaji Baru. Contoh kaedah pemindahan gaji adalah seperti di Lampiran F.

Tarikh Pergerakan Gaji

Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) Pensyarah Perubatan Gred DU51/52 dan Gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian Gred DUG51/52 dan Gred DUG53/54 akan diubah kepada satu TPG baru. TPG baru semua Pensyarah Perubatan Gred DU51/52 dan Gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian Gred DUG51/52 dan Gred DUG53/54 adalah pada 1 Januari tahun berikutnya.

Elaun dan Kemudahan

Penambahbaikan Jadual Gaji Matriks bagi skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan Gred DU51/52 dan Gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian Gred DUG51/52 dan Gred DUG53/54 yang dilaksanakan di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan ini tidak melibatkan perubahan kepada kaedah penetapan kelayakan bagi pemberian elaun/ bayaran insentif dan kemudahan yang berkuat kuasa.

 

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2010.

Pindaan

Dengan berkuatkuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, Jadual Gaji Matriks bagi skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan Gred DU51/52 dan Gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian Gred DUG51/52 dan Gred DUG53/54 sebagaimana yang ditetapkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 20 Tahun 2008 adalah dipinda.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri dan Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri).

SPP Bil.05/2010 Pekeliling Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Matriks Bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan Dan Pensyarah Pergigian

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan berkaitan penambahbaikan Jadual Gaji Matriks bagi skim perkhidmatan Pensyarah Perubatan Gred DU51/52 dan Gred DU53/54 serta Pensyarah Pergigian Gred DUG51/52 dan Gred DUG53/54.

Nama Pekeliling : Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Matriks Bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan Dan Pensyarah Pergigian

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.05/2010 Pekeliling Pelaksanaan Penambahbaikan Jadual Gaji Matriks Bagi Skim Perkhidmatan Pensyarah Perubatan Dan Pensyarah Pergigian

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment

error: Content is protected !!