SPP Bil.04/2000 Pekeliling Keahlian Pegawai Awam di dalam Kelab Golf dan Kelab Rekreasi Swasta Secara Kehormat atau Nominee Serta Penggunaan Kemudahan Secara Percuma di Kelab Tersebut Oleh Badan atau Persatuan Jabatan

SPP Bil.04/2000 Pekeliling Keahlian Pegawai Awam di dalam Kelab Golf dan Kelab Rekreasi Swasta Secara Kehormat atau Nominee Serta Penggunaan Kemudahan Secara Percuma di Kelab Tersebut Oleh Badan atau Persatuan Jabatan

Tujuan Pekeliling Keahlian Pegawai Awam di dalam Kelab Golf dan Kelab Rekreasi Swasta Secara Kehormat atau Nominee Serta Penggunaan Kemudahan Secara Percuma di Kelab Tersebut Oleh Badan atau Persatuan Jabatan dikeluarkan

Surat Pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan mengenai garis panduan keahlian pegawai awam di dalam kelab golf dan kelab rekreasi milik swasta secara kehormat atau nominee serta penggunaan kemudahan secara percuma di kelab tersebut oleh badan atau persatuan jabatan.

Latar Belakang

Pada masa ini berlaku keadaan-keadaan dimana pegawai-pegawai awam diberi keahlian secara kehormat atau nominee oleh kelab-kelab golf dan kelab-kelab rekreasi milik swasta. Keahlian ini boleh menimbulkan keadaan serba salah kepada pegawai awam dalam menjalankan tugas rasmi sekiranya berkaitan dengan kepentingan kelab berkenaan. Ia juga boleh menimbulkan salah tanggapan orang ramai terhadap integriti seseorang pegawai awam.

Disamping itu terdapat juga badan atau persatuan sukan dan kebajikan jabatan termasuk persatuan yang dianggotai sepenuhnya oleh pegawai awam menggunakan kemudahan kelab golf atau kelab rekreasi milik swasta secara percuma bagi menganjurkan aktiviti-aktiviti badan atau persatuan berkenaan. Ini juga boleh menimbulkan salah tanggapan daripada orang ramai terhadap integriti jabatan berkenaan.

Tafsiran

Bagi maksud pekeliling ini keahlian secara kehormat atau nominee, badan atau persatuan jabatan dan ketua jabatan bermaksud seperti berikut:-

(a) Keahlian secara kehormat atau nominee

Keahlian secara kehormat atau nominee bermaksud mana-mana pegawai awam yang ditawar oleh mana-mana kelab golf atau kelab rekreasi untuk menjadi ahli bagi menikmati segala kemudahan yang terdapat dalam kelab golf atau kelab rekreasi berkenaan tanpa membayar yuran keahlian atau yuran bulanan atau kedua-duanya sekali. Ini juga meliputi pegawai awam yang dilantik atas pelbagai kedudukan seperti Penaung, Pengerusi, Penasihat atau Ahli Jawatankuasa Kelab dan sebagainya yang diberi salah satu atau kesemua kemudahan tersebut.

(b) Badan atau Persatuan Jabatan

Badan atau persatuan jabatan bermaksud:

  • Semua badan sukan, kebajikan dan sosial yang ditubuhkan di jabatan kerajaan; dan
  • Semua persatuan yang ditubuh dan dianggotai oleh pegawai awam seperti Persatuan Pegawai-pegawai Kanan Kastam Malaysia, Kelab Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Kelab Sukan dan Kebajikan, Kementerian Dalam Negeri dan lainlain.

(c) Ketua Jabatan

Ketua jabatan ertinya seseorang pegawai yang bertanggungjawab di sebuah kementerian,jabatan, institusi, agensi atau unit dan termasuklah mana-mana pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang diberi kuasa dengan sewajarnya secara bertulis oleh pegawai yang bertanggungjawab bagi kementerian, jabatan, institusi, agensi atau unit untuk bertindak bagi pihaknya.

Peraturan yang Berkaitan

Pada masa ini peraturan yang berkuatkuasa berkaitan dengan perkara ini ialah:

(i) Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 1998 – Garis Panduan Pemberian dan Penerimaan Hadiah di dalam Perkhidmatan Awam; dan

(ii) Peraturan 8 dan 9, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993. Peraturan 8 ialah berkaitan dengan pemberian dan penerimaan hadiah manakala peraturan 9 ialah mengenai pemberian dan penerimaan keraian.

Panduan Penerimaan Tawaran Keahlian Secara Kehormata atau Nominee dalam Kelab Golf dan Kelab Rekreasi Milik Swasta oleh Pegawai Awam

Panduan bagi penerimaan tawaran keahlian secara kehormat atau nominee dalam kelab golf dan kelab rekreasi milik swasta adalah seperti berikut:

(i) Pegawai awam yang ditawarkan keahlian secara kehormat atau nominee dalam kelab golf atau kelab rekreasi milik swasta hendaklah terlebih dahulu memohon secara bertulis kepada ketua jabatan dengan menggunakan borang seperti di Lampiran A.

(ii) Ketua jabatan semasa menimbang dan meluluskan permohonan ini hendaklah mengambilkira syarat-syarat berikut:

  • penerimaan tawaran tersebut tidak akan dengan apa-apa cara berkecenderungan untuk bercanggah dengan kepentingan jabatan atau dengan kedudukan pegawai itu sebagai seorang pengkhidmat awam serta tidak dengan apa-apa cara mempengaruhi pelaksanaan tugas rasminya;
  • bilangan keahlian secara kehormat atau nominee yang telah dimiliki oleh pegawai;
  • tidak dalam apa-apa cara bercanggah dengan tatakelakuan yang ditetapkan di bawah peraturan 4, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993; dan
  • kesediaan pegawai untuk melepaskan keahlian setelah bertukar keluar dari sesuatu negeri atau jabatan atau bersara.

(iii) Walau apa pun kelulusan para (ii) di atas:

  • Ketua jabatan boleh pada bila-bila masa menarik balik kelulusan tersebut sekiranya didapati keahlian pegawai tersebut bercanggah dengan syarat-syarat yang dinyatakan di para (ii); dan
  • Pegawai juga hendaklah pada bila-bila masa melepaskan keahlian tersebut dan melaporkan kepada ketua jabatan sekiranya beliau mendapati keahlian itu bercanggah dengan syarat-syarat yang dinyatakan di para (ii). Contoh surat kelulusan adalah seperti di Lampiran B.

Penggunaan Kemudahan Secara Percuma di Kelab gold dan Kelab Rekreasi Milik Swasta Oleh Badan atau Persatuan Jabatan

Di samping itu juga terdapat badan atau persatuan sukan kebajikan dan sosial jabatan termasuklah persatuan yang dianggotai sepenuhnya oleh pegawai awam mengadakan aktiviti masing-masing di kelab golf dan kelab rekreasi milik swasta. Kerajaan tidak menghalang aktiviti berkenaan asalkan aktiviti tersebut tidak menjejaskan imej dan integiriti jabatan dan pegawai itu sendiri.

Badan atau persatuan jabatan yang menerima tawaran dari kelab golf atau kelab rekreasi bagi menggunakan kemudahan kelab berkenaan secara percuma hendaklah memohon kebenaran secara bertulis kepada ketua jabatan untuk pertimbangan dan kelulusan dengan menggunakan borang seperti di Lampiran C.

Ketua jabatan semasa menimbangkan permohonan daripada badan atau persatuan ini hendaklah mengambil kira syarat-syarat berikut:-

  • penerimaan tawaran tersebut tidak akan dengan apa-apa cara berkecenderungan untuk bercanggah dengan kepentingan jabatan atau dengan kedudukan pegawai terlibat sebagai pengkhidmat awam;
  • tidak dalam apa-apa cara menyebabkan penglibatan pegawai dalam aktiviti berkenaan bercanggah dengan tatakelakuan yang ditetapkan di bawah peraturan 4, Peraturan- Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993;
  • tiada unsur-unsur paksaan, tidak menimbulkan syak, keraguan dan beban kepada manamana pihak; dan
  • hendaklah diambil kira dari segi kekerapan penggunaan kemudahan di kelab berkenaan.

Pengecualian

Bagi maksud surat pekeliling ini pegawai awam adalah tidak dilarang daripada menerima keahlian dalam kelab golf dan kelab rekreasi milik Kerajaan Persekutuan atau Negeri termasuk kelab milik badan berkanun Persekutuan dan negeri serta milik anak syarikat badan berkanun berkenaan.

Umum

Pegawai awam yang telah menjadi ahli kelab golf atau kelab rekreasi secara kehormat atau nominee sebelum berkuatkuasa surat pekeliling ini, hendaklah juga membuat permohonan untuk pertimbangan dan kelulusan ketua jabatan masing-masing.

Tiada apapun peruntukan dalam surat pekeliling ini atau apa-apa pindaan yang dibuat di bawahnya boleh menghalang apa-apa tindakan diambil di bawah Akta Pencegah Rasuah 1997 (Akta 575), Kanun Keseksaan dan mana-mana undang-undang lain yang berkaitan terhadap mana-mana pegawai awam.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaan keseluruhannya oleh pihak berkuasa masing-masing, pemakaian Surat Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa negeri, pihak berkuasa berkanun Persekutuan dan negeri dan pihak berkuasa tempatan.

Tarikh kuatkuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

 

 

SPP Bil.04/2000 Pekeliling Keahlian Pegawai Awam di dalam Kelab Golf dan Kelab Rekreasi Swasta Secara Kehormat atau Nominee Serta Penggunaan Kemudahan Secara Percuma di Kelab Tersebut Oleh Badan atau Persatuan Jabatan

Secara ringkasnya, pekeliling ini mengenai pemakluman mengenai garis panduan keahlian pegawai awam di dalam kelab golf dan kelab rekreasi milik swasta secara kehormat atau nominee serta penggunaan kemudahan secara percuma di kelab tersebut oleh badan atau persatuan jabatan.

Nama Pekeliling : Pekeliling Keahlian Pegawai Awam di dalam Kelab Golf dan Kelab Rekreasi Swasta Secara Kehormat atau Nominee Serta Penggunaan Kemudahan Secara Percuma di Kelab Tersebut Oleh Badan atau Persatuan Jabatan

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.04/2000 Pekeliling Keahlian Pegawai Awam di dalam Kelab Golf dan Kelab Rekreasi Swasta Secara Kehormat atau Nominee Serta Penggunaan Kemudahan Secara Percuma di Kelab Tersebut Oleh Badan atau Persatuan Jabatan

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!