SPP Bil.03/2009 Pekeliling Borang Laporan Penilaian Prestasi Khas Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam

 Borang Laporan Penilaian Prestasi Khas Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam

Tujuan Pekeliling Borang Laporan Penilaian Prestasi Khas Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk memaklumkan mengenai penggunaan Borang Laporan Penilaian Prestasi Khas (LNPK) bagi Pegawai Perkhidmatan Awam untuk membolehkan penilaian dibuat bagi tujuan kenaikan pangkat atau kemajuan kerjaya yang lain.

Latar Belakang

Penilaian prestasi khas pernah digunakan sebelum ini bagi menilai prestasi pegawai yang dipertimbangkan bagi sesuatu urusan kenaikan pangkat atau kemajuan kerjaya yang lain. Semenjak berkuat kuasanya Sistem Saraan Baru
(SSB) pada tahun 1992, penilaian prestasi pegawai bagi semua tujuan kemajuan kerjaya hanya menggunakan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) sahaja.

Pada masa ini penggunaan penilaian prestasi khas bagi mendapatkan penilaian terkini berhubung prestasi semasa seseorang pegawai didapati masih diperlukan. Umpamanya, untuk menilai prestasi pegawai bagi tujuan kenaikan pangkat khususnya jika tempoh pemangkuan kurang daripada satu (1) tahun.

Borang Laporan Penilaian Prestasi Khas

Dua jenis borang disediakan berasaskan kepada kumpulan pegawai seperti berikut:

(a) JPA (LNPK) 1/2009 : Kumpulan Pengurusan Tertinggi (JUSA/Gred Khas)
(b) JPA (LNPK) 2/2009 : Kumpulan Pengurusan & Profesional dan Kumpulan Sokongan

Penggunaan Laporan Penilaian Prestasi Khas

Borang LNPK ini boleh digunakan oleh Ketua Jabatan bagi tujuan berikut:

(a) menilai prestasi seseorang pegawai yang akan dipertimbangkan kenaikan pangkat setelah memangku sekurang-kurangnya enam (6) bulan. LNPK diperlukan dalam keadaan di mana LNPT tahun sebelumnya tidak menilai pegawai atas jawatan yang dipangku. Contohnya, Pegawai ‘A’ diarahkan memangku suatu gred jawatan yang lebih tinggi pada 1 Ogos 2008, pegawai akan dipertimbangkan kenaikan pangkat pada bulan Mac 2009 setelah memangku sekurang- kurangnya enam (6) bulan. Pegawai perlu menyediakan LNPK kerana LNPT tahun 2008 tidak menilai prestasi pegawai atas jawatan yang dipangku;

(b) menilai prestasi seseorang pegawai yang telah memangku melebihi enam (6) bulan dalam tahun semasa dan akan dipertimbangkan kenaikan pangkat sebelum urusan penilaian prestasi tahunan bagi tahun tersebut dilaksanakan pada hujung tahun. Contohnya, Pegawai ‘A’ diarahkan memangku suatu gred jawatan yang lebih tinggi pada 1 Februari 2008, pegawai akan dipertimbangkan kenaikan pangkat pada bulan September 2008 setelah memangku sekurang-kurangnya enam (6) bulan. Pegawai perlu menyediakan LNPK kerana LNPT bagi tahun 2008 hanya akan disediakan pada hujung tahun berkenaan; dan

(c) kegunaan khas lain yang memerlukan selain LNPT seperti latihan, lantikan ke perkhidmatan lain, pelantikan kontrak, sementara, pinjaman, tukar sementara dan sebagainya, jika diperlukan.

Penentuan Pegawai Penilai (PP) perlu menepati syarat berikut:

(a) mempunyai hubungan kerja dan penyeliaan secara langsung dengan Pegawai Yang Dinilai (PYD);

(b) tempoh penyeliaan tidak kurang daripada enam (6) bulan;

(c) PYD yang diselia oleh lebih daripada seorang PP dalam tempoh masa yang berbeza-beza dan tidak ada pegawai kanan lain yang layak membuat penilaian, maka PP yang paling lama tempoh penyeliaannya boleh membuat penilaian; dan

(d) sekiranya tiada PP yang layak menilai kerana tempoh penyeliaan kurang dari enam (6) bulan, maka penilaian hendaklah dibuat oleh pegawai penyelia yang lebih tinggi jawatannya dan mempunyai hubungan kerja dengan PYD.

Tanggungjawab Pegawai Yang dinilai dan Ketua Jabatan

LNPK perlu disediakan oleh PYD apabila diarahkan. PYD perlu melengkapkan borang dan mengemukakan kepada PP untuk dibuat penilaian. Borang LNPK yang telah dibuat penilaian perlu dikemukakan kepada pihak yang memerlukannya mengikut tempoh yang ditetapkan dan dibuat salinan mengikut keperluan untuk tujuan rekod.

Bagi memastikan kaedah pengendalian dan penilaian prestasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan, Ketua Jabatan hendaklah memastikan perkara yang dinyatakan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan ini dipatuhi dan dilaksanakan sepenuhnya sama ada dalam bentuk manual atau elektronik.

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masingmasing, peruntukan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya adalah dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

SPP Bil.03/2009 Pekeliling Borang Laporan Penilaian Prestasi Khas Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam

Secara ringkasnya, pekeliling ini mengenai penambahbaikan proses bayaran balik pembaharuan lesen memandu agar lebih berkesan.

Nama Pekeliling : Bayaran Pembaharuan Lesen Memandu

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.03/2009 Pekeliling Borang Laporan Penilaian Prestasi Khas Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment