SPP Bil.03/2007 Pekeliling Penurunan Kuasa Urusan Penempatan dan Pertukaran Pegawai Gunasama Persekutuan

Pekeliling Penurunan Kuasa Urusan Penempatan dan Pertukaran Pegawai Gunasama Persekutuan

Tujuan Pekeliling Penurunan Kuasa Urusan Penempatan dan Pertukaran Pegawai Gunasama Persekutuan dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan memaklumkan penurunan kuasa urusan penempatan dan pertukaran pegawai gunasama persekutuan kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Definisi

Bagi tujuan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini:

Ketua Setiausaha Kementerian bermaksud bagi sesuatu Kementerian ialah Ketua Setiausaha Kementerian berkenaan dan bagi Jabatan Perdana Menteri ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan.

Perkhidmatan Gunasama Persekutuan bermaksud Perkhidmatan- perkhidmatan yang ketua perkhidmatannya adalah Ketua PengarahPerkhidmatan Awam seperti di Lampiran A dan mana-mana perkhidmatan lain yang ditentukan dari semasa ke semasa.

Pelantikan pertama bermaksud pelantikan secara tetap/ sementara/ kontrak kali pertama seseorang pegawai ke perkhidmatan awam.

Pelantikan seterusnya bermaksud pelantikan pegawai yang sedang berkhidmat ke perkhidmatan atau skim perkhidmatan yang sama atau lain.

Penempatan bermaksud proses menempatkan seseorang pegawai yang dilantik kali pertama atau seterusnya atau memangku atau dinaikkan pangkat bagi mengisi sesuatu jawatan dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Pertukaran atau pertukaran lateral bermaksud perpindahan seseorang pegawai ke suatu jawatan yang grednya sama dengan gred hakiki pegawai dalam perkhidmatan dan skim perkhidmatan yang sama.

Latar Belakang

Pada masa ini pelaksanaan penurunan kuasa penempatan/ pertukaran adalah terhad kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (P.T.D.) Gred M3 yang telah dibuat melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 1987, pegawai P.T.D. Gred M2 melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 1999 dan Kumpulan Sokongan melalui Perkara 19, Lampiran A kepada Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1985.

Selaras dengan pelaksanaan Sistem Saraan Malaysia dan usaha berterusan untuk meningkatkan lagi keberkesanan jentera pentadbiran dan mempercepatkan sistem penyampaian di peringkat Kementerian dan Pentadbiran Negeri, Kerajaan bersetuju untuk menurunkan kuasa kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan urusan penempatan/ pertukaran pegawai gunasama persekutuan di bawah pentadbiran masing-masing.

Penurunan Kuasa

Urusan penempatan/ pertukaran pegawai perkhidmatan gunasama persekutuan bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional Gred 41 sehingga 54 dan Kumpulan Sokongan Gred 11 hingga 38 atau setaraf dengannya bagi skim-skim perkhidmatan di Lampiran A diturunkan kuasa kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Penurunan kuasa penempatan/ pertukaran ini adalah terhad di dalam Kementerian atau Pentadbiran Negeri berkenaan serta Jabatan-jabatan di bawahnya sahaja yang melibatkan urusan:

  • pertukaran lateral;
  • penempatan dalaman berikutan daripada pelantikan pertama atau pelantikan seterusnya; dan
    penempatan dalaman setelah pegawai diluluskan pemangkuan atau kenaikan pangkat ke gred yang lebih tinggi.
  • Penempatan/ pertukaran pegawai gunasama persekutuan di antara Kementerian atau Pentadbiran Negeri akan diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengikut keperluan serta kepentingan perkhidmatan.

Pelaksanaan

Urusan penempatan

Urusan penempatan hendaklah dilaksanakan seperti berikut:

(a) JPA akan mengeluarkan surat kepada Kementerian atau Pentadbiran Negeri bagi urusan:

(i) penempatan pegawai lantikan pertama atau seterusnya; atau
(ii) penempatan pegawai berikutan daripada pemangkuan atau kenaikan pangkat; dan

(b) Kementerian atau Pentadbiran Negeri akan mengeluarkan surat penempatan dalaman pegawai untuk mengisi kekosongan jawatan sama ada di peringkat Kementerian atau Pentadbiran Negeri atau di Jabatan-jabatan di bawah Kementerian atau Pentadbiran Negeri berkenaan.

Contoh format urusan penempatan adalah seperti di Lampiran B.

Urusan pertukaran

JPA akan mengeluarkan surat kepada Kementerian atau Pentadbiran Negeri bagi urusan pertukaran antara Kementerian/ Pentadbiran Negeri. Kementerian atau Pentadbiran Negeri akan mengeluarkan surat pertukaran dalaman pegawai untuk mengisi kekosongan jawatan sama ada di peringkat Kementerian atau Pentadbiran Negeri atau di Jabatan-jabatan di bawah Kementerian atau Pentadbiran Negeri berkenaan.

Urusan pertukaran dalaman Kementerian atau Pentadbiran Negeri hendaklah dilaksanakan seperti berikut:

(a) Pertukaran dalaman boleh dilaksanakan berdasarkan kepentingan perkhidmatan atau permohonan pegawai; dan

(b) Kementerian atau Pentadbiran Negeri akan mengeluarkan surat pertukaran dalaman pegawai untuk mengisi kekosongan jawatan sama ada di peringkat Kementerian atau Pentadbiran Negeri atau di Jabatan-jabatan di bawah Kementerian atau Pentadbiran Negeri berkenaan.

Contoh format urusan pertukaran adalah seperti di Lampiran C.

Asas penempatan/ pertukaran

Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 2004 mengenai Panduan Pertukaran Pegawai Awam hendaklah diberi perhatian dalam menguruskan penempatan/ pertukaran pegawai gunasama persekutuan. Antara faktor-faktor yang perlu diambil kira dalam urusan tersebut adalah seperti berikut:

(a) kelayakan, pengalaman, pengkhususan dan kemahiran pegawai dengan deskripsi kerja/ jawatan;
(b) kecenderungan, minat, personaliti dan kesesuaian pegawai dengan jawatan yang hendak diisi;
(c) pelaksanaan sesuatu projek/ program yang sedang diuruskan oleh pegawai;
(d) pembangunan dan landasan kerjaya (career-path) pegawai;
(e) perancangan penggantian;
(f) pengukuhan dan pemantapan organisasi melalui penempatan pegawai yang bersesuaian;
(g) peningkatan pengalaman dan kemahiran pegawai;
(h) keberkesanan dan imej pegawai; dan
(i) kesejahteraan dan kebajikan pegawai.

Di samping faktor-faktor di perenggan 11, perhatian hendaklah juga diberi kepada perkara-perkara berikut:

(a) mengelakkan penempatan/ pertukaran berasaskan kepentingan peribadi dan kepentingan pihak-pihak tertentu; dan
(b) mengelakkan masalah over specialisation, inbreeding dan indispensable officer. Pegawai sebaik-baiknya ditukarkan ke jawatan lain selepas satu tempoh seperti berikut:
(i) jawatan bukan sensitif – 3 hingga 8 tahun; atau
(ii) jawatan sensitif – 3 hingga 5 tahun

Maklumat Pertukaran

JPA hendaklah dimaklumkan mengenai sebarang penempatan/ pertukaran pegawai gunasama persekutuan yang dibuat untuk tujuan rekod.

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 April 2007.

Pembatalan

Dengan berkuatkuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, Perkara 19 Lampiran A kepada Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 5 Tahun 1985, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 1987 dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 3 Tahun 1999 adalah dibatalkan.

SPP Bil.03/2007 Pekeliling Penurunan Kuasa Urusan Penempatan dan Pertukaran Pegawai Gunasama Persekutuan

Secara ringkasnya, pekeliling ini memaklumkan penurunan kuasa urusan penempatan dan pertukaran pegawai gunasama persekutuan kepada Ketua Setiausaha Kementerian dan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Nama Pekeliling : Penurunan Kuasa Urusan Penempatan dan Pertukaran Pegawai Gunasama Persekutuan

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.03/2007 Pekeliling Penurunan Kuasa Urusan Penempatan dan Pertukaran Pegawai Gunasama Persekutuan

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment