SPP Bil.03/2003 Pekeliling Kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah Kepada Keluarga Pegawai Yang Bertukar Wilayah

Pekeliling Kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah Kepada Keluarga Pegawai Yang Bertukar Wilayah

Tujuan Pekeliling Kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah Kepada Keluarga Pegawai Yang Bertukar Wilayah dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan untuk memanjangkan kemudahan tambang mengiringi jenazah kepada semua ahli keluarga pegawai bertukar wilayah yang masih dalam tanggungan pegawai.

Latar Belakang

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 1978 iaitu perenggan 8, ada memperuntukkan tambang kapal terbang bagi pengangkutan jenazah dan tambang kapal terbang bagi seorang ahli keluarga pegawai bagi mengiringi jenazah balik ke kampung untuk dikebumikan. Walau bagaimanapun, menyedari akan keperluan kehadiran semua waris untuk turut serta mengiringi jenazah pegawai yang meninggal dunia, Kerajaan telah bersetuju supaya kemudahan tambang mengiringi jenazah dipanjangkan kepada semua ahli keluarga pegawai yang masih dalam tanggungan pegawai.

 

Pelaksanaan

 

Bagi maksud Surat Pekeliling Perkhidmatan ini;

“keluarga” bermaksud keluarga pegawai iaitu isteri/suami dan anak-anak pegawai yang di bawah umur 21 tahun, dan masih dalam tanggungan pegawai kecuali anak yang daif disebabkan oleh kelemahan otak atau jasmani.

Dalam keadaan di mana pegawai meninggal dunia semasa berkhidmat di luar daripada wilayah asal pegawai, maka Kerajaan akan menanggung perbelanjaan tambang bagi semua ahli keluarga yang masih dalam tanggungan pegawai untuk mengiringi jenazah ke wilayah asal. Pasangan pegawai atau seorang ahli keluarga kemudian dibenarkan kembali ke tempat pegawai berkhidmat untuk urusan pemindahan barang-barang atas tanggungan Kerajaan.

Pindaan

Dengan berkuatkuasanya Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, maka peruntukan di perenggan 8 dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 1978 adalah dipinda seperti berikut;

“ Jika dibuat permintaan oleh waris apabila seseorang pegawai meninggal dunia semasa berkhidmat di luar daripada wilayah asal pegawai, Kerajaan akan menanggung perbelanjaan tambang kapal terbang untuk membawa jenazah pegawai tersebut bagi dikebumikan di kampungnya. Tambang pengangkutan termasuk tambang bagi semua ahli keluarga yang masih dalam tanggungan pegawai untuk mengiringi jenazah pegawai. Pasangan pegawai atau seorang ahli keluarga kemudian dibenarkan kembali ke tempat pegawai berkhidmat untuk urusan pemindahan barang-barang atas tanggungan Kerajaan. Bagi maksud perenggan ini “wilayah” ertinya Semenanjung Malaysia, Sabah atau Sarawak.”

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini berkuatkuasa mulai 1 Oktober 2003.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

SPP Bil.03/2003 Pekeliling Kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah Kepada Keluarga Pegawai Yang Bertukar Wilayah

Secara ringkasnya, pekeliling ini mengenai keputusan Kerajaan untuk memanjangkan kemudahan tambang mengiringi jenazah kepada semua ahli keluarga pegawai bertukar wilayah yang masih dalam tanggungan pegawai.

Nama Pekeliling : Kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah Kepada Keluarga Pegawai Yang Bertukar Wilayah

Format Fail : PDF

Download :  SPP Bil.03/2003 Pekeliling Kemudahan Tambang Mengiringi Jenazah Kepada Keluarga Pegawai Yang Bertukar Wilayah

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment