SPP Bil.02/2005 Pekeliling Pelaksanaan Pelan Latihan Sumber Manusia Sektor Awam

Pekeliling Pelaksanaan Pelan Latihan Sumber Manusia Sektor Awam

Tujuan Pekeliling Pelaksanaan Pelan Latihan Sumber Manusia Sektor Awam dikeluarkan

Tujuan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini adalah untuk memberi penjelasan mengenai struktur pelaksanaan Pelan Latihan Sumber Manusia Sektor Awam seperti dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2005.

Latar Belakang

Untuk maksud Surat Pekeliling Perkhidmatan ini,

i. “Struktur Latihan” merujuk kepada peringkat-peringkat latihan yang perlu diikuti oleh anggota perkhidmatan awam;

ii. “Peringkat” merujuk kepada tahap-tahap latihan yang boleh diikuti oleh anggota perkhidmatan awam;

iii. “Standard Umum” merujuk kepada tahap pencapaian yang ditetapkan oleh jabatan; dan

iv. “Institusi Latihan Awam” merujuk kepada institusi-institusi latihan yang menjalankan kursus-kursus bagi anggota perkhidmatan awam.

Latar Belakang

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2005 telah menggariskan Dasar Latihan Sumber Manusia Sektor Awam. Bagi menyokong dasar tersebut, pelan latihan yang merangkumi struktur dan program-program latihan yang lebih sistematik dan komprehensif telah dirangka sebagai garis panduan untuk memastikan supaya anggota perkhidmatan awam dilengkapi dengan latihan berasaskan kompetensi dan pembelajaran berterusan.

Kaedah Pelaksanaan

Struktur Latihan

Struktur latihan yang ditetapkan mengandungi lima peringkat seperti di Lampiran A. Penerangan bagi setiap peringkat adalah seperti berikut:

i. Peringkat Pra-Penempatan

Peringkat Pra-Penempatan bertujuan supaya anggota perkhidmatan awam yang baru dilantik diberi pengenalan dan pendedahan kepada budaya kerja dan nilai-nilai positif anggota perkhidmatan awam. Tahap latihan yang perlu dilalui pada peringkat ini ialah Tahap Pendedahan Kompetensi. Anggota perkhidmatan awam yang baru dilantik secara tetap di dalam perkhidmatan awam perlu mengikuti tahap ini, melainkan jika Kementerian / Jabatan telah menyediakan kursus Pra-Perkhidmatan. Garis panduan pelaksanaan adalah sebagaimana di Lampiran A1.

ii. Peringkat Asas

Pada peringkat ini anggota perkhidmatan awam yang baru menjawat jawatan akan diterapkan dengan asas-asas pentadbiran dan pengurusan jabatan. Tahap latihan yang akan dijalankan pada peringkat ini ialah Tahap Penerapan Kompetensi yang bersifat umum dan penekanan diberikan kepada perkhidmatan yang disediakan oleh jabatan. Anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat kurang daripada tiga tahun perlu mengikuti tahap ini. Garis panduan pelaksanaan adalah sebagaimana di Lampiran A2.

iii. Peringkat Pertengahan

Peringkat Pertengahan bertujuan untuk menyediakan anggota perkhidmatan awam yang berkebolehan dan berkeupayaan melakukan tugas dengan cepat dan menepati standard umum yang ditentukan. Di samping itu, ia juga bertujuan meningkatkan kemahiran sedia ada dan mendedahkan kemahiran baru bagi meningkatkan kompetensi anggota perkhidmatan awam. Peringkat ini terdiri daripada dua tahap latihan iaitu Tahap Pembangunan Kompetensi dan Tahap Peningkatan Kompetensi. Tahap Pembangunan Kompetensi dikhususkan kepada anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat di antara tiga hingga lima tahun. Manakala Tahap Peningkatan Kompetensi disasarkan kepada anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat di antara lima hingga sepuluh tahun. Garis panduan pelaksanaan adalah sebagaimana di Lampiran A3 dan Lampiran A4.

iv. Peringkat Lanjutan

Peringkat Lanjutan bertujuan untuk memantapkan dan mengukuhkan keupayaan anggota perkhidmatan awam secara berterusan selaras dengan keperluan dan cabaran-cabaran semasa. Pada peringkat ini, anggota perkhidmatan awam akan melalui Tahap Pengukuhan Kompetensi. Anggota perkhidmatan awam yang layak mengikuti tahap ini adalah mereka yang berkhidmat lebih dari sepuluh tahun. Garis panduan pelaksanaan adalah sebagaimana di Lampiran A5.

v. Peringkat Peralihan

Peringkat Peralihan bertujuan untuk menyediakan anggota perkhidmatan awam yang akan meninggalkan perkhidmatan kepada pengetahuan dan persekitaran yang baru. Tahap latihan pada peringkat ini ialah Tahap Peralihan Kerjaya. Tahap ini disasarkan kepada anggota perkhidmatan awam yang akan meninggalkan perkhidmatan dalam tempoh dua tahun sebelum bersara. Garis panduan pelaksanaan adalah sebagaimana di Lampiran A6.

Tanggungjawab Kementerian/ Jabatan

Semua Kementerian / Jabatan adalah bertanggungjawab menyediakan Pelan Operasi Latihan (POL) bagi melaksanakan program latihan kepada anggota-anggota di bawah tanggungjawab masing-masing selaras dengan struktur latihan yang digubal. Contoh format POL adalah sebagaimana di Lampiran B.

Mekanisme Pelaksanaan

Panel Pembangunan Sumber Manusia dan Lembaga Kompetensi yang telah ditubuhkan di peringkat Kementerian / Jabatan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bil. 4 Tahun 2002 merupakan badan yang bertanggungjawab di dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan penggubalan struktur, program dan kurikulum latihan di peringkat Kementerian / Jabatan berdasarkan pelan latihan ini.

Institusi Latihan Awam

Semua institusi latihan awam yang dikenal pasti oleh Ketua Setiausaha Kementerian / Ketua Jabatan hendaklah memberikan keutamaan di dalam merancang, melaksana dan menilai program-program latihan untuk dilaksanakan bersesuaian dengan Pelan Operasi Latihan Kementerian / Jabatan.

Audit Pengurusan Latihan

Bagi memantapkan urusan latihan di peringkat Kementerian / Jabatan, Jabatan Perkhidmatan Awam akan melakukan naziran terhadap program-program latihan yang dijalankan oleh Kementerian / Jabatan pada setiap dua tahun sekali.

Pasukan naziran akan dianggotai oleh wakil Jabatan Perkhidmatan Awam, wakil Kementerian Kewangan dan wakil daripada lain-lain agensi yang terlibat. Bahagian Latihan, Jabatan Perkhidmatan Awam akan mengurus setia pasukan naziran ini.

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini, hendaklah dirujuk kepada:

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Latihan
Aras 6, Blok C1, Parcel C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62510 PUTRAJAYA
Tel : 03-88853000/4000
Faks : 03-88892179
E-mail : plsa@jpa.gov.my

 

Pemakaian

Pemakaian Surat Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan dan Pihak Berkuasa Berkanun, tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.

Tarikh Kuatkuasa

Tarikh kuatkuasa Surat Pekeliling ini adalah mulai 1 Januari 2005.

SPP Bil.02/2005 Pekeliling Pelaksanaan Pelan Latihan Sumber Manusia Sektor Awam

Secara ringkasnya, pekeliling ini memberi penjelasan mengenai struktur pelaksanaan Pelan Latihan Sumber Manusia Sektor Awam seperti dinyatakan di dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2005.

Nama Pekeliling : Pelaksanaan Pelan Latihan Sumber Manusia Sektor Awam

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.02/2005 Pekeliling Pelaksanaan Pelan Latihan Sumber Manusia Sektor Awam

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment

error: Content is protected !!