SPP Bil.01/2011 Pekeliling Penurunan Kuasa Melulus Kelonggaran Syarat Had Umur Maksimum Bagi Pelantikan Secara Kontrak Di Institusi Pengajian Tinggi Awam

Tujuan PekelilingPenurunan Kuasa Melulus Kelonggaran Syarat Had Umur Maksimum Bagi Pelantikan Secara Kontrak Di Institusi Pengajian Tinggi Awam dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan memaklumkan keputusan Kerajaan mengenai penurunan kuasa melulus kelonggaran syarat had umur maksimum kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bagi pelantikan secara kontrak di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Latar Belakang

Pada masa ini, dasar dan prosedur pelantikan secara kontrak adalah berpandukan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008 (PP 2/2008) – Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service). Bagi
IPTA, kuasa menimbang pelantikan secara kontrak telah diturunkan kepada Pihak Berkuasa Melantik (PBM) IPTA melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 6 Tahun 2007 (SPP 6/2007) – Penurunan Kuasa Pelantikan Secara
Kontrak Pesara Kerajaan Sebagai Pensyarah di IPTA dan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008 (SPP 3/2008) – Penurunan Kuasa Menimbang Pelantikan Secara Kontrak oleh IPTA. Walau bagaimanapun,
kelonggaran syarat had umur maksimum pelantikan secara kontrak masih perlu mendapat pertimbangan dan kelulusan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Penurunan Kuasa Melulus Kelonggaran Syarat Had Umur Maksimum Pelantikan Secara Kontrak

Kerajaan telah bersetuju supaya kuasa melulus kelonggaran syarat had umur maksimum bagi pelantikan secara kontrak diturunkan kepada LPU bagi setiap IPTA selaras dengan matlamat mempertingkatkan sistem penyampaian
perkhidmatan.

Dengan keputusan Kerajaan ini, LPU boleh menimbang dan meluluskan pelantikan secara kontrak calon yang melebihi had umur maksimum seperti berikut:

(i) 58 tahun bagi bukan pesara (warganegara dan bukan warganegara);
(ii) 60 tahun bagi pesara; dan
(iii) 65 tahun bagi skim perkhidmatan Pensyarah Universiti, Pensyarah UiTM, Pensyarah Perubatan, Pensyarah Pergigian, Pegawai Perubatan, Pegawai Pergigian dan Penolong Pegawai Perubatan.

Pelaksanaan

Bagi melaksanakan keputusan Kerajaan ini, LPU hendaklah mematuhi semua dasar, prinsip dan syarat-syarat pelantikan kontrak yang ditetapkan dalam PP 2/2008, SPP 6/2007, SPP 3/2008 dan peraturan-peraturan lain yang
dikeluarkan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa. LPU juga dalam menimbang kelonggaran syarat had umur maksimum bagi pelantikan secara kontrak di IPTA hendaklah mengambil kira asas-asas berikut:

(i) keperluan perkhidmatan yang mendesak bagi bidang-bidang kritikal yang ditentukan oleh IPTA;
(ii) kepakaran dan kemahiran calon yang sukar diperoleh walaupun pelan penggantian telah dilaksanakan;
(iii) calon mempunyai prestasi kerja di tahap baik dan disahkan sihat oleh pengamal perubatan berdaftar; dan
(iv) pelantikan kontrak tidak menjejaskan peluang kenaikan pangkat pegawai yang sedang berkhidmat secara tetap.

Pertimbangan dan kelulusan kelonggaran syarat had umur maksimum hendaklah dilaksanakan oleh LPU sahaja dan tidak boleh diwakilkan kuasa kepada mana-mana pihak atau pegawai.

Penurunan kuasa ini boleh ditarik balik pada bila-bila masa sekiranya terdapat ketidakpatuhan kepada peraturan yang ditetapkan atau apa-apa sebab lain yang diputuskan oleh Kerajaan.

Pemantauan

Setiap IPTA hendaklah mengemukakan maklumat pegawai yang telah dilantik secara kontrak dengan kelonggaran syarat had umur maksimum kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)
dua (2) kali setahun pada akhir bulan Jun dan Disember seperti format di Lampiran A.

KPT dan JPA akan memantau urusan kelonggaran syarat had umur maksimum bagi pelantikan secara kontrak yang diluluskan oleh setiap IPTA bagi memastikan pelaksanaannya mengikut peraturan yang ditetapkan.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

 

SPP Bil.01/2011 Pekeliling Penurunan Kuasa Melulus Kelonggaran Syarat Had Umur Maksimum Bagi Pelantikan Secara Kontrak Di Institusi Pengajian Tinggi Awam

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan memaklumkan keputusan Kerajaan mengenai penurunan kuasa melulus kelonggaran syarat had umur maksimum kepada Lembaga Pengarah Universiti (LPU) bagi pelantikan secara kontrak di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Nama Pekeliling : Penurunan Kuasa Melulus Kelonggaran Syarat Had Umur Maksimum Bagi Pelantikan Secara Kontrak Di Institusi Pengajian Tinggi Awam

Format Fail : PDF

Download : SPP Bil.01/2011 Pekeliling Penurunan Kuasa Melulus Kelonggaran Syarat Had Umur Maksimum Bagi Pelantikan Secara Kontrak Di Institusi Pengajian Tinggi Awam

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!