SPI Bil.11/2000 Pekeliling Membanteras Jenayah Di Kalangan Murid Sekolah

Membanteras Jenayah Di Kalangan Murid Sekolah

 

Tujuan Pekeliling Membanteras Jenayah Di Kalangan Murid Sekolah dikeluarkan

Surat Pekeliling Ikhtisas ini dikeluarkan dengan tujuan untuk memperingatkan supaya semua kes salah laku murid tidak dirahsiakan atas apa jua alasan sekalipun, termasuk untuk menjaga kredibiliti Pengetua, Guru Besar atau imej dan reputasi sekolah. Saluran dan tatacara pemakluman yang sedia ada hendaklah dipatuhi.

Latar Belakang

Masalah jenayah yang melibatkan murid sekolah, sama ada sebagai pelaku jenayah atau mangsa perlakuan jenayah telah menjadi suatu perkara yang sering dihebahkan dan dilaporkan secara meluas dalam akhbar-akhbar dan media massa. Kenyataan dan laporan yang dibuat sejak akhir-akhir ini memberi gambaran bahawa kes-kes jenayah yang melibat murid sekolah adalah sangat serius dan di luar kawalan pihak sekolah.

Laporan lbu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman menunjukkan bahawa jumlah kesalahan jenayah yang melibatkan juvana berumur antara 10 hingga 18 tahun meningkat setiap tahun dan keadaan ini perlu dibanteras sebelum ia menular secara meluas di peringkat sekolah.

Sebelum ini Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengemukakan pelbagai saranan dan syor untuk diambil perhatian dan dilaksanakan di sekolah-sekolah bagi tujuan mencegah murid daripada terlibat dengan jenayah. Kementerian Pendidikan Malaysia percaya sekolah telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk menangani masalah disiplin, terutamanya perlakuan berunsur jenayah di kalangan pelajar. Namun demikian, keadaan yang digambarkan oleh media massa seakan menunjukkan bahawa segala usaha yang dilakukan seolah-olah tidak mendatangkan hasil. Permasalahan ini semakin kerap berlaku dan sering diperkatakan oleh masyarakat. Kesan daripada itu, masyarakat mempunyai tanggapan bahawa sistem pendidikan kita gagal melahirkan warganegara sebagaimana yang dihasratkan dalam Falsafah Pendidikan Negara.

Bertentangan dengan tanggapan umum, Kementerian Pendidikan Malaysia sering mengeluarkan kenyataan bahawa masalah disiplin murid masih terkawal dan tidak membimbangkan. Pendirian Kementerian adalah berasas, memandangkan maklumat tentang kes-kes salah laku yang diterima dari sekolah tidak menunjukkan peningkatan. Namun begitu, sikap menunggu sehingga keadaan menjadi serius hendaklah dielakkan. Membanteras salah laku disiplin di peringkat awal adalah jauh lebih baik daripada mengambil sikap tunggu dan lihat. Sebarang masalah disiplin dan perlakuan negatif hendaklah dikenal pasti dan tindakan mengatasinya wajar dilakukan dengan kadar segera.

Pelaksanaan

Kementerian Pendidikan Malaysia memandang berat tentang adanya segelintir sekolah yang cuba memaparkan imej yang bersih, walaupun pada realitinya tidak sedemikian. Sehubungan dengan itu, adalah diingatkan supaya semua kes salah laku murid tidak dirahsiakan atas apa jua alasan sekalipun, termasuk untuk menjaga kredibiliti Pengetua, Guru Besar atau imej dan reputasi sekolah. Saluran dan tatacara pemakluman yang sedia ada hendaklah dipatuhi.

SPI Bil.11/2000 Pekeliling Membanteras Jenayah Di Kalangan Murid Sekolah

Secara ringkasnya, pekeliling ini memperingatkan supaya semua kes salah laku murid tidak dirahsiakan.

Nama Pekeliling : Membanteras Jenayah Di Kalangan Murid Sekolah

Format Fail : PDF

Download : SPI Bil.11/2000 Pekeliling Membanteras Jenayah Di Kalangan Murid Sekolah

Oleh : Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

Add Comment