SPI Bil.06/1995 Pekeliling Menangani Masalah Ponteng di Sekolah

MENANGANI MASALAH PONTENG DI SEKOLAH

Tujuan Pekeliling Menangani Masalah Ponteng di Sekolah dikeluarkan

Surat Pekeliling ini adalah bertujuan mengingatkan semua Pegawai Pendidikan Bahagian/Daerah, Pengetua, Guru Besar dan guru-guru mengenai tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi membanteras salahlaku ponteng di sekolah terutamanya ponteng sekolah dan ponteng kelas. Kementerian Pendidikan telah pun menerbit dan mengedarkan ke sekolah-sekolah Buku Panduan Mengatasi Masalah Ponteng Di Sekolah. Saranan dan cadangan yang dikemukakan dalam buku tersebut diyakini boleh membantu pihak sekolah mencegah berlakunya masalah ponteng.

Latar Belakang

Laporan salahlaku pelajar sekolah menunjukkan bahawa ponteng sekolah dan ponteng kelas merupakan salahlaku yang tertinggi peratus penglibatan di kalangan pelajar. Hasrat Kementerian Pendidikan ke arah ’Zero Defect’ dalam masalah ponteng sekolah dan ponteng kelas akan terjejas jika kedua-dua masalah ini tidak diatasi dengan segera.

Ponteng sekolah dan ponteng kelas merupakan perlakuan yang menyalahi peraturan sekolah dan jika pelajar dibiarkan ponteng sekolah dan ponteng kelas sehingga menjadi amalan dan tabiat, ianya boleh membawa kesan negatif terhadap diri pelajar sendiri, keluarganya dan juga sekolah. Seterusnya, perlakuan tersebut memungkinkan seseorang pelajar hilang sifat bertanggungjawab, akan ketinggalan dalam pelajaran dan yang paling dikhuatiri mereka akan melibatkan diri dengan kegiatan-kegiatan negatif.

Faktor

Ada dua faktor utama yang menyebabkan para pelajar melakukan ponteng iaitu faktor sekolah dan faktor luar sekolah. Faktor luar sekolah pada kebiasaannya di luar kawalan sekolah untuk menanganinya. Sungguhpun begitu, disamping tugas kita memberi tumpuan kepada faktor di dalam sekolah usaha yang lebih berkesan kepada kedua-dua faktor tersebut perlu dilakukan.

Langkah-langkah

  1. Pihak Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Bahagian/Daerah hendaklah mengesan kadar ponteng sekolah dan ponteng kelas setiap bulan dan memastikan sekolah melakukan usaha mengatasi masalah tersebut.
  2. Pihak sekolah hendaklah memastikan tindakan mengatasi masalah ponteng dilakukan secara bersungguh-sungguh dan berterusan. Segala panduan yang terdapat di dalam Buku Panduan Mengatasi Masalah Ponteng dilaksanakan sepenuhnya.
  3. Pihak sekolah hendaklah merealisasikan Sekolah Penyayang, Pelajar-pelajar berhak disayangi, dikasihi, dikasihani dan dibimbing. Dengan ini pelajar akan terpikat, terpanggil dan tergerak untuk ke sekolah.
  4. Memastikan Briged Komuniti dilaksanakan dengan berkesan dan mencapai matlamatnya sama ada di peringkat Negeri, Bahagian/Daerah dan sekolah.
  5. Memastikan bahawa Jawatankuasa Disiplin Sekolah atau Lembaga Tatatertib sentiasa proaktif dengan menggariskan program dan aktiviti yang berupaya mencegah salahlaku ponteng sejak awal-awal lagi terutamanya sebelum sesi persekolahan bermula.

Pelaksanaan

Kandungan surat pekeliling ini hendaklah dimaklumkan kepada semua Pegawai Pendidikan Bahagian/Daerah, Pengetua/Guru Besar dan guru-guru di negeri Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan.

SPI Bil.06/1995 Pekeliling Menangani Masalah Ponteng di Sekolah

Secara ringkasnya, pekeliling ini mengingatkan semua Pegawai Pendidikan Bahagian/Daerah, Pengetua, Guru Besar dan guru-guru mengenai tindakan-tindakan yang perlu diambil bagi membanteras salahlaku ponteng di sekolah terutamanya ponteng sekolah dan ponteng kelas.

Nama Pekeliling : Menangani Masalah Ponteng di Sekolah

Format Fail : PDF

Download : SPI Bil.06/1995 Pekeliling Menangani Masalah Ponteng di Sekolah

Oleh : Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

Add Comment

error: Content is protected !!