SPI Bil.05/2001 Pekeliling Batasan Kuasa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Di Sekolah

Batasan Kuasa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Di Sekolah

 

Tujuan Batasan Kuasa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Di Sekolah dikeluarkan

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk memberitahu tentang batasan kuasa persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di sekolah.

Latar Belakang

Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) yang ditubuhkan di semua sekolah kerajaan adalah bertujuan untuk mewujudkan permuafakatan antara ibu bapa dan guru di sekolah yang berkenaan. Permuafakatan seumpama ini diharapkan dapat membina kesefahaman tentang tugas dan tanggungjawab bersama dalam usaha untuk meningkatkan mutu pengajaran guru-guru dan pembelajaran murid di sekolah, selain mempertingkatkan kerjasama dan perkongsian antara pihak sekolah, ibu bapa, dan komuniti setempat (school home community partnership). Di samping itu, PIBG juga mempunyai peranan ’saling melengkapi’ terhadap fungsi Kementeiran Pendidikan dalam menyediakan prasarana, kemudahan, dan suasana sekolah yang kondusif kepada murid-murid dan guru-guru di sekolah berkenaan.

Batasan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah

Dalam subperaturan (5) dan (6) ada dinyatakan batasan-batasan yang dikenakan kepada Persatuan, iaitu:

Subperaturan (5) – Persatuan tidak boleh memperluaskan bidang kuasa Persatuan kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan pentadbiran sekolah, pekerjaan dan syarat-syarat perkhidmatan guru dan kakitangan yang lain dalam sekolah.

Subperaturan (6) – Persatuan tidak boleh menjadi jentera bagi menyelesaikan pertikaian atau perkara-perkara lain yang berkaitan antara Persatuan dengan Guru Besar atau Pengetua atau kakitangan sekolah di mana Persatuan ditubuhkan atau Pejabat Pendidikan Daerah atau Pejabat Pendidikan Bahagian atau Jabatan Pendidikan Negeri atau Kementerian Pendidikan atau Kerajaan Negeri atau Persekutuan.

Perhatian

Di samping itu, kepimpinan PIBG di sekolah-sekolah juga diingatkan supaya tidak sekali-kali membabitkan Persatuan dan sekolah dengan apa juga kegiatan yang boleh menggugat kestabilan sistem persekolahan dan perpaduan masyarakat setempat. Oleh yang demikian, adalah tidak wajar kepimpinan PIBG terlibat dengan aktiviti-aktiviti anti kerajaan atau menjadikan Persatuan sebagai platform untuk berpolitik atau bagi tujuan memperoleh kepentingan peribadi. Jika keadaan ini berlaku, dikhuatiri Persatuan akan menyeleweng daripada matlamat asal penubuhannya, dan akhirnya akan menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran, sekaligus akan merugikan pendidikan anak-anak murid di sekolah.

Guru Besar dan Pengetua selaku ex-officio dan Penasihat PIBG hendaklah memaklumkan kandungan Peraturan-Peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-Guru) 1998 kepada semua ahli jawatankuasa PIBG yang dilantik dan ibu bapa keseluruhannya agar ia dipatuhi pada setiap masa.

Pelaksanaan

Sila maklumkan kandungan Surat Pekeliling Ikhtisas ini kepada semua sekolah di negeri Y.Bhg. Dato’/Tuan/Puan.

SPI Bil.05/2001 Pekeliling Batasan Kuasa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Di Sekolah

Secara ringkasnya, pekeliling ini memberitahu tentang batasan kuasa persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) di sekolah.

Nama Pekeliling : Batasan Kuasa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Di Sekolah

Format Fail : PDF

Download : SPI Bil.05/2001 Pekeliling Batasan Kuasa Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) Di Sekolah

Oleh : Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

Add Comment