SPI Bil.05/1995 Pekeliling Keracunan Makanan di Sekolah-Sekolah

KERACUNAN MAKANAN DI SEKOLAH-SEKOLAH

Tujuan Pekeliling Keracunan Makanan di Sekolah-sekolah dikeluarkan

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk meminta semua pihak terutama sekolah, mengambil beberapa langkah tegas pengawalan dan pencegahan, supaya keracunan makanan tidak lagi berulang di sekolah.

Latar Belakang

Kejadian keracunan makanan di sekolah pada waktu-waktu kebelakangan ini sering dilaporkan di media tempatan dan melibatkan ramai murid. Di antara punca keracunan tersebut adalah daripada makanan yang dijual di kantin-kantin sekolah, asrama dan daripada program-program pemakanan seperti Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dan Program Susu Sekolah.

Langkah-langkah

  1. Pastikan pekerja atau pengendali makanan sentiasa mengamalkan kebersihan diri setiap masa sama ada semasa menyedia, memasak ataupun menghidang makanan.
  2. Pastikan alat-alat ataupun perkakas-perkakas yang digunakan, seperti pinggan mangkuk sentiasa dalam keadaan bersih.
  3. Pastikan bangunan dan semua kemudahan seperti tempat menyedia dan menghidang makanan di dalam keadaan bersih dan kemas.
  4. Pastikan pekerja atau pengendali makanan mengamalkan amalan-amalan yang baik seperti menjaga tubuh badan dan pakaian sentiasa dalam keadaan bersih dan kemas. (Sila lihat Bab V – “Kawalan Kebersihan” m.s. 22-27 dalam Buku ”Garis Panduan Kantin Sekolah”, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan, 1989 – untuk keterangan lanjut).

Peranan Sekolah

  1. Menggalakkan seboleh-bolehnya pengusaha/pengendali makanan, memasak makanan di dalam kawasan sekolah.
  2. Mempastikan makanan yang disediakan tidak dimasak terlalu awal sehingga semalaman, terutama makanan-makanan yang bersantan.
  3. Menubuhkan jawatankuasa-jawatankuasa khas di peringkat sekolah bagi menyelia dan mengadakan pemeriksaan harian.
  4. Mengadakan kempen kesedaran mengenai kebersihan makanan dan kebersihan premis makanan.
  5. Bekerjasasama dengan Jabatan Kesihatan bagi usaha-usaha peningkatan dan penggalakkan kebersihan dan kesihatan.

Simptom Keracunan Makanan

Rasa loya, muntah, sakit perut dan cirit-birit, rasa letih, kejang otot, sakit kepala dan pening.

Tindakan Apabila Mengesyaki Pelajar-Pelajar/Murid-Murid Mengalami Masalah Keracunan Makanan

  1. Laporkan dan bawa murid-murid/pelajar-pelajar yang disyaki ke klinik/hospital yang paling hampir.
  2. Laporkan ke PPD/JPN.
  3. Maklumkan dan hubungi ibu bapa murid-murid/pelajar-pelajar yang terlibat.
  4. Sediakan laporan awal tentang kejadian tersebut dan hantarkan satu salinan ke JPN dn Kementerian Pendidikan.
  5. Elakkan daripada membuat sebarang kenyataan akhbar.
  6. Dapatkan laporan lengkap kejadian dan sebab kejadian daripada Jabatan Kesihatan, dan hantarkan satu salinan laporan tersebut ke Jabatan Pendidikan Negeri (u.p. KPP HEM) dan satu lagi salinan ke Kementerian Pendidikan (u.p. Pengarah Bahagian Sekolah).

Perhatian

Dengan surat pekeliling ini semua Pengetua dan Guru Besar Sekolah adalah diminta untuk memberi perhatian serius dan mengambil langkah-langkah tegas pengawalan dan pencegahan kejadian keracunan makanan di sekolah-sekolah. Surat pekeliling ikhtisas terdahulu Bil. 2/1983 dan Bil. 5/1988 dan Surat Pendidikan KP(BS/UKS)8614/2B/1a/Jld.II(32) bertarikh 12 Januari 1989, juga berkaitan dan perlu juga dirujuk.

Pelaksanaan

Kerjasama Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan adalah dipohon bagi memanjangkan surat ini kepada semua sekolah rendah dan menengah di negeri Y.Bhg. Dato’/Datuk/Tuan.

SPI Bil.05/1995 Pekeliling Keracunan Makanan di Sekolah-Sekolah

Secara ringkasnya, pekeliling ini meminta semua pihak terutama sekolah, mengambil beberapa langkah tegas pengawalan dan pencegahan, supaya keracunan makanan tidak lagi berulang di sekolah.

Nama Pekeliling : Keracunan Makanan di Sekolah-Sekolah

Format Fail : PDF

Download : SPI Bil.05/1995 Pekeliling Keracunan Makanan di Sekolah-Sekolah

Oleh : Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia

Add Comment