SPBPP Bil.02/2006 Pekeliling Kontrak Bermasa Bagi Membekal, Menghantar, Memasang Dan Menguji (Di Mana Berkenaan) Peralatan Kemahiran Hidup Bersepadu Ke Institusi-Institusi Di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia

Tujuan Pekeliling Kontrak Bermasa Bagi Membekal, Menghantar, Memasang Dan Menguji (Di Mana Berkenaan) Peralatan Kemahiran Hidup Bersepadu Ke Institusi-Institusi Di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan kepada semua pihak yang berkaitan tentang Kontrak Bermasa seperti di atas.

Butir-butir Kontrak

Setiap zon telah dipecahkan kepada tujuh (7) pakej seperti berikut:
i. Pakej Teras Rekabentuk dan Lukisan Teknik (RLT)
ii. Pakej Teras Rekacipta (TRC)
iii. Pakej Teras Kerja Paip dan Elektif Kerja Enjin (KPKE)
iv. Pakej Teras Elektrik dan Elektronik (E&E)
v. Pakej Teras Jahitan dan Elektif Jahitan (J&J)
vi. Pakej Teras Masakan dan Elektif Masakan (M&M)
vii. Pakej Teras Perkebunan dan Elektif Pertanian (P&P)

Kesemua pakej ditawarkan kepada dua (2) syarikat kontraktor untuk setiap zon kecuali:
i. Pakej Teras Jahitan dan Elektif Jahitan – Zon 2
ii. Pakej Teras Perkebunan dan Elektif Pertanian – Zon 2 dan Zon 3
iii. Pakej Teras Elektrik dan Elektronik – Zon 3

Senarai syarikat kontraktor Kontrak Bermasa Peralatan Kemahiran Hidup Bersepadu adalah seperti di LAMPIRAN A.

Tempoh Kontrak Bermasa ini adalah selama tiga (3) tahun bermula dari 17 Februari 2006 sehingga 16 Februari 2009.

Harga Dan Spesifikasi

Butiran penuh mengenai senarai harga dan jenama setiap item adalah seperti di LAMPIRAN B. Senarai harga adalah berbeza antara syarikat.

Butiran lengkap mengenai spesifikasi barangan adalah seperti di Jadual Spesifikasi yang akan dibekalkan oleh Bahagian Pembangunan dan Perolehan (BPP) kepada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) mengikut zon.

Harga Kontrak Bermasa ini adalah harga bersih (net delivered price) iaitu termasuk kos penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan dan segala cukai kerajaan (jika berkenaan).

 

Prosedur Yang Perlu Dipatuhi

JPN perlu mengikuti prosedur berikut sebelum membuat pesanan daripada Kontraktor:
i. Pembekalan peralatan KHB bagi Sekolah Menengah baru adalah menggunakan Peruntukan Pembangunan. Definisi Sekolah Menengah baru bagi tujuan Kontrak Bermasa ini adalah sekolah yang dibuka sejak tahun 2000 sehingga kini dan belum pernah dibekalkan peralatan Kemahiran Hidup Bersepadu.
ii. JPN perlu memohon Surat Kuasa pembelian daripada Unit Menengah (M), Bahagian Pembangunan dan Perolehan. Permohonan perlu disertakan dengan senarai sekolah dan anggaran kos.
iii. Setelah Surat Kuasa dikeluarkan, Pesanan Tempatan (L/O) boleh dikeluarkan oleh JPN kepada kontraktor terlibat di dalam zon masing-masing. Pesanan selain daripada kontraktor yang ditetapkan adalah dilarang.
iv. Pihak penerima barangan (sekolah) perlu menyemak setiap item yang dihantar sama ada menepati spesifikasi teknikal yang telah diterima oleh Kementerian. Semakan boleh dibuat melalui Jadual Harga dan Jadual Spesifikasi yang dibekalkan oleh BPP kepada JPN mengikut zon.
v. JPN perlu memohon Waran Peruntukan daripada BPP untuk menjelaskan bayaran kepada Kontraktor.

Sekolah-sekolah yang memerlukan peralatan gantian dibenarkan untuk memesan daripada kontraktor ini juga. Pesanan adalah menggunakan peruntukan Belanja Mengurus yang telah sedia ada. Peruntukan tersebut perlu disediakan oleh pihak JPN atau pihak sekolah.

Sebarang urusan perolehan yang dibuat di luar kontrak adalah tidak dibenarkan tanpa kebenaran BPP.

Pesanan Tempatan

Semua JPN hendaklah membuat pesanan terus kepada kontraktor dengan menyatakan nombor kontrak, kod item, nama item, kuantiti keperluan, jumlah harga dan senarai sekolah yang berkaitan.

Semua pesanan hendaklah dibuat terus kepada kontraktor mengikut negeri-negeri yang telah ditetapkan.

Pihak JPN dibenarkan membuat pesanan daripada kontraktor lain sekiranya item tersebut tidak ditawarkan oleh pembekal asal negeri terbabit. Pesanan sebegini hanya dibenarkan daripada kontraktor dalam zon yang sama.

Bagi tujuan seperti di para 5.3 di atas, pihak JPN perlu merujuk Jadual Perbandingan Item yang ditawarkan seperti di LAMPIRAN C.

Pesanan boleh dibuat sehingga tarikh akhir kontrak.

Sebarang pesanan yang melebihi nilai anggaran kontrak perlu mendapat kelulusan BPP.

Apabila membuat pesanan, JPN dikehendaki memberi maklumat-maklumat di bawah kepada kontraktor supaya urusan pembekalan peralatan dapat dilaksanakan dengan teratur dan cekap dalam tempoh masa dan lokasi yang ditentukan:
1. Alamat Jabatan/Sekolah yang lengkap
2. Nama Pengetua/Guru Besar/Guru Penolong Kanan sekolah
3. Nombor telefon dan faks untuk dihubungi.

Tempoh Penghantaran

Tempoh penghantaran adalah mengikut tempoh penghantaran yang ditetapkan oleh pihak Kementerian kepada kontraktor seperti di dalam Surat Setuju Terima. Ianya bermula dari tarikh Pesanan Tempatan dikeluarkan.

Kegagalan kontraktor membekalkan barangan mengikut tempoh penyerahan yang disetuju di dalam kontrak hendaklah dilaporkan dengan segera kepada BPP dengan menyatakan.
i. Nombor kontrak
ii. Kod item/barang
iii. Nama item/barang
iv. Nombor dan tarikh Pesanan Tempatan (sertakan salinannya)
v. Kuantiti dan nilai pesanan

JPN hendaklah memastikan semua peralatan yang dipesan dihantar terus ke lokasi yang dinyatakan di dalam Pesanan Tempatan oleh kontraktor.

Denda Lewat Penghantaran

Bagi barang-barang yang lewat diserah, dipasang dan diujilari (mana yang berkenaan) oleh Kontraktor, Kerajaan boleh sama ada:
i) Menolak barang-barang itu, menamatkan Perjanjian ini dan merampas Bon Pelaksanaan;
atau
ii) Membeli barang-barang yang dikehendaki itu daripada punca-punca lain dan menolak barang-barang yang dibekal oleh pembekal. Bagi hal yang sedemikian, jika kos memperolehi barang-barang itu daripada punca-punca lain melebihi harga dalam kontrak, pembekal dikehendaki membayar amaun yang lebih itu sebagai pampasan kepada Kerajaan;
atau
iii) Setuju terima barang-barang itu dan mengenakan denda lewat bekal seperti berikut:

Denda hendaklah ditolak daripada bayaran yang sepatutnya dibuat kepada kontraktor.

Pemeriksaan Semasa Menerima Bekalan

Sekolah mestilah memeriksa barangan yang diterima untuk memastikan butir-butir barangan yang dibekalkan itu adalah sama seperti spesifikasi yang dinyatakan di dalam kontrak. Sijil Akuan Penerimaan (SAP) hendaklah ditandatangani setelah pihak sekolah/pengguna berpuas hati dengan spesifikasi peralatan yang dihantar. Sebanyak enam (6) salinan SAP yang ditandatangani hendaklah dikembalikan semula kepada kontraktor dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh penerimaan barangan. Bagi barang-barang yang perlu dipasang dan diujilari, Sijil Pemasangan dan Pengujian (SPP) hendaklah ditandatangani setelah alat berkenaan diuji dapat berfungsi dengan memuaskan. Pihak sekolah/pengguna perlu mendapatkan format SAP dan SPP daripada syarikat kontraktor.

Sebarang kerosakan/kekurangan kepada barangan, hendaklah diminta ganti daripada kontraktor mengikut jumlah yang rosak/kurang itu dalam tempoh empat belas (14) hari dari tarikh aduan dibuat tanpa sebarang tambahan kos.

Pembayaran

Pembayaran hendaklah dilakukan oleh JPN yang membuat pesanan. Setelah berpuas hati bahawa semua peralatan dibekalkan dengan sempurna sebagaimana dikehendaki di dalam kontrak, bayaran hendaklah dibuat mengikut prosedur kewangan yang berkuatkuasa pada masa itu.

Jabatan tidak boleh membuat bayaran jika didapati peralatan yang dibekalkan tidak menepati spesifikasi atau jika peralatan yang dibekalkan tidak berfungsi dengan sempurna. Bayaran hanya boleh dibuat setelah syarikat kontraktor membuat penggantian atau pembaikan terhadap masalah yang dilaporkan.

Penggunaan Kontrak

Semua JPN/Sekolah/Pengguna hendaklah menggunakan Kontrak Bermasa ini dengan sepenuhnya dan tidak dibenarkan membeli dari punca lain tanpa kebenaran bertulis daripada BPP.

Kuatkuasa dan Pembatalan

Surat pekeliling ini berkuatkuasa pada tarikh surat ini dikeluarkan sehingga tarikh tamat tempoh.

SPBPP Bil.02/2006 Pekeliling Kontrak Bermasa Bagi Membekal, Menghantar, Memasang Dan Menguji (Di Mana Berkenaan) Peralatan Kemahiran Hidup Bersepadu Ke Institusi-Institusi Di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan kepada semua pihak yang berkaitan tentang Kontrak Bermasa seperti di atas.

Nama Pekeliling : Kontrak Bermasa Bagi Membekal, Menghantar, Memasang Dan Menguji (Di Mana Berkenaan) Peralatan Kemahiran Hidup Bersepadu Ke Institusi-Institusi Di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia

Format Fail : PDF

Download : SPBPP Bil.02/2006 Pekeliling Kontrak Bermasa Bagi Membekal, Menghantar, Memasang Dan Menguji (Di Mana Berkenaan) Peralatan Kemahiran Hidup Bersepadu Ke Institusi-Institusi Di Bawah Kementerian Pelajaran Malaysia

Oleh : Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia

Add Comment