SPA Bil.01/2009 Pekeliling Garis Panduan Mengenai Tatacara Memohon Kelulusan Teknikal Projek ICT Agensi Kerajaan

Pekeliling Garis Panduan Mengenai Tatacara Memohon Kelulusan Teknikal Projek ICT Agensi Kerajaan

Tujuan Pekeliling Garis Panduan Mengenai Tatacara Memohon Kelulusan Teknikal Projek ICT Agensi Kerajaan dikeluarkan

Surat Pekeliling Am ini bertujuan untuk menggantikan garis panduan kepada agensi-agensi Kerajaan bagi merujuk dan mendapatkan kelulusan dari segi teknikal bagi perolehan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) daripada Jawatankuasa Teknikal ICT (JTICT) yang berurus setia di MAMPU.

Latar Belakang

Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2006 Bertajuk ”Pengukuhan Tadbir Urus Jawatankuasa IT Dan Internet Kerajaan” telah menetapkan agensi di semua peringkat pentadbiran merujuk dan mendapatkan kelulusan teknikal bagi perolehan ICT daripada JTICT. JTICT sebagai jawatankuasa di bawah JITIK akan menyelaras dan melaporkan perolehan ICT kepada JITIK.

Kandungan Garis Panduan

Garis Panduan Mengenai Tatacara Memohon Kelulusan Teknikal Projek ICT Agensi Kerajaan menyediakan panduan dalam perkara-perkara berikut:

(a) Keahlian JTICT;
(b) Penubuhan dan Peranan Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT);
(c) Skop Projek ICT Yang Memerlukan Kelulusan Teknikal JTICT;
(d) Tatacara Permohonan Kelulusan Teknikal Projek ICT;
(e) Pelaporan Kemajuan Projek Yang Diluluskan Oleh JTICT;
(f) Pelaporan Projek ICT Yang Diluluskan/Diselaraskan Di Peringkat Kementerian/Negeri; dan
(g) Tempoh Sah Laku Kelulusan Teknikal JTICT.

 

Tanggungjawab Agensi

 

Semua agensi Kerajaan adalah dikehendaki mematuhi Garis Panduan Mengenai Tatacara Memohon Kelulusan Teknikal Projek ICT Agensi Kerajaan. Sehubungan itu, setiap agensi adalah bertanggungjawab mengambil tindakan-tindakan berikut:

(a) Memastikan penubuhan Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) di semua peringkat pentadbiran iaitu Kementerian, Jabatan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan, Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Jabatan Negeri, Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan;

(b) Mematuhi tatacara memohon kelulusan teknikal perolehan ICT seperti yang ditetapkan di dalam garis panduan;

(c) Bagi agensi Kerajaan Persekutuan iaitu Kementerian, Jabatan Persekutuan dan Badan Berkanun Persekutuan, hendaklah mendapatkan kelulusan perolehan ICT daripada JPICT di peringkat Kementerian. JPICT Kementerian berfungsi menyelaras dan mengemukakan permohonan perolehan ICT bagi agensi-agensi di bawahnya kepada JTICT untuk kelulusan teknikal. JPICT Kementerian perlu melaporkan kemajuan projek-projek yang diluluskan oleh JTICT setiap enam (6) bulan dari tarikh kelulusan sehingga projek selesai. JPICT Kementerian perlu melaporkan kepada JTICT empat (4) kali setahun, untuk perolehan ICT yang diluluskan di peringkat JPICT Kementerian di mana had nilainya tidak memerlukan kelulusan JTICT;

(d) Permohonan kelulusan teknikal perolehan ICT bagi agensi-agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) hendaklah diselaraskan oleh JPICT di peringkat agensi dan dikemukakan terus kepada JTICT. JPICT setiap agensi perlu melaporkan kemajuan projek-projek yang diluluskan oleh JTICT setiap enam (6) bulan dari tarikh kelulusan sehingga projek selesai. JPICT agensi perlu melaporkan kepada JTICT empat (4) kali setahun, untuk perolehan ICT yang diluluskan di peringkat JPICT agensi di mana had nilainya tidak memerlukan kelulusan JTICT;

(e) Bagi SUK dan Jabatan Negeri, hendaklah mendapatkan kelulusan perolehan ICT daripada JPICT Negeri. JPICT Negeri perlu melaporkan kepada JTICT empat (4) kali setahun, untuk perolehan ICT yang diluluskan di peringkat JPICT Negeri; dan

(f) Bagi Badan Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan, hendaklah mengemukakan laporan perolehan ICT kepada JPICT Negeri. JPICT Negeri perlu menyelaras dan mengemukakan laporan perolehan ICT ini kepada JTICT untuk tujuan pemantauan sebanyak empat (4) kali setahun.

Pembatalan

Dengan berkuat kuasanya Surat Pekeliling Am ini, maka Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2008 – Garis Panduan Mengenai Tatacara Memohon Kelulusan Teknikal Projek ICT Agensi Kerajaan dan Surat Pekeliling Am Bilangan 11 Tahun 2008 – Pindaan Kepada Surat Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2008 Mengenai Had Nilai Projek ICT Yang Memerlukan Kelulusan Teknikal JTICT/JPICT Bagi Permohonan Yang Tidak Melibatkan Pembangunan Sistem Aplikasi adalah dibatalkan.

Tarikh Kuat Kuasa

Peraturan baru ini berkuat kuasa mulai tarikh Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2009 ini dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Surat Pekeliling Am ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

SPA Bil.01/2009 Pekeliling Garis Panduan Mengenai Tatacara Memohon Kelulusan Teknikal Projek ICT Agensi Kerajaan

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk menggantikan garis panduan kepada agensi-agensi Kerajaan bagi merujuk dan mendapatkan kelulusan dari segi teknikal bagi perolehan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) daripada Jawatankuasa Teknikal ICT (JTICT) yang berurus setia di MAMPU.

Nama Pekeliling : Garis Panduan Mengenai Tatacara Memohon Kelulusan Teknikal Projek ICT Agensi Kerajaan

Format Fail : PDF

Download : SPA Bil.01/2009 Pekeliling Garis Panduan Mengenai Tatacara Memohon Kelulusan Teknikal Projek ICT Agensi Kerajaan

Oleh : Ketua Setiausaha Negara

Add Comment

error: Content is protected !!