PP Bil.40/2013 Pekeliling Penggabungan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma

Tujuan Pekeliling Penggabungan Skim PPPS dan PPPLD dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan untuk memaklum dan melaksanakan keputusan kerajaan mengenai penggabungan skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) kepada skim perkhidmatan bersepadu iaitu skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP).

Latar Belakang

Selaras dengan hasrat kerajaan yang menyasarkan peningkatan kelayakan guru ke peringkat ijazah sarjana muda melalui Program Pensiswazahan Guru, kesinambungan perkhidmatan dan penambahbaikan laluan kemajuan kerjaya profesion keguruan, kerajaan telah bersetuju untuk menggabungkan skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD menjadi skim perkhidmatan bersepadu PPP yang merangkumi Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.

Skim Perkhidmatan PPP

Skim perkhidmatan bersepadu PPP melibatkan pindaan-pindaan kepada perbekalan skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD sedia ada seperti berikut :

  • gred jawatan/gred gaji skim perkhidmatan ini ialah Gred DG29, DG32, DG34, DG38, DG41/42, DG44, DG48, DG52, DG54 ;
  • pemansuhan Kelayakan Masuk Pelbagai (KMP) bidang di peringkat ijazah dan diploma dalam syarat lantikan skim perkhidmatan sedia ada ;
  • penambahan syarat kelayakan masuk di peringkat ijazah sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD); dan
  • peningkatan pegawai di Kumpulan Pelaksana Gred DG29, DG32, DG34 dan DG38 ke Kumpulan Pengurusan dan Profesional melalui kaedah kenaikan pangkat ke Gred DG42 tertakluk memenuhi syarat kenaikan pangkat yang ditetapkan.

Berdasarkan pindaan seperti di atas, syarat lantikan skim perkhidmatan PPP adalah seperti berikut:

1. Kelayakan Untuk Lantikan ke Gred DG29

  • diploma dalam bidang perguruan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi perguruan tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG29: RM1,589.00); atau
  • diploma dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Sijil Kursus Perguruan Lepas Diploma atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG29: RM1,735.44).

2. Kelayakan Untuk Lantikan ke Gred DG41

  • ijazah sarjana muda dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM2,018.52); atau
  •  ijazah sarjana muda kepujian dalam bidang pendidikan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM2,222.94); atau
  • ijazah sarjana muda kepujian dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM2,222.94); atau
  • ijazah sarjana dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM2,733.98).
  • ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang berkaitan yang diiktiraf oleh kerajaan daripada institusi pengajian tinggi tempatan serta Diploma Pendidikan atau kelayakan yang diiktiraf setaraf dengannya. (Gaji permulaan ialah pada Gred DG41: RM3,040.60).

Selain itu, melalui skim perkhidmatan bersepadu ini, kenaikan pangkat pegawai ke Gred DG38 tidak lagi dikhususkan kepada jawatan Guru Besar Cemerlang Sekolah Rendah dan Guru Besar Sekolah Kluster (Sekolah Rendah) sahaja.

Keputusan ini adalah selaras dengan keputusan kerajaan berhubung kaedah kenaikan pangkat secara time-based berasaskan kecemerlangan kepada PPPS dan PPPLD yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012 melalui Surat JPA rujukan JPA.BK(S)255/4/5 Jld.5 (56) bertarikh 13 April 2012 – Penetapan Kaedah Pelaksanaan Kenaikan Pangkat
Secara Time-Based Berasaskan Kecemerlangan bagi PPPS dan PPPLD di KPM.

Skim perkhidmatan bersepadu PPP adalah seperti di Lampiran A. Format iklan jawatan adalah seperti di Lampiran B. Jadual Gaji Minimum-Maksimum (JGMM) bagi skim perkhidmatan ini adalah seperti di Lampiran C.

Pelaksanaan

Semua PPPS dan PPPLD dilantik secara tetap termasuk mereka yang dalam tempoh percubaan serta memilih opsyen Sistem Saraan Malaysia akan dipindahkan secara gred ke gred ke skim perkhidmatan PPP seperti berikut :

Skim Perkhidmatan
Sedia Ada

Skim Perkhidmatan
Baru

PPPS

Gred

PPP

Gred

DG54

DG54

DG52

DG52

DG48

DG48

DG44

DG44

DG42

DG41

DG41

PPPLD

DGA38

DG38

DGA34

DG34

DGA32

DG32

DGA29

DG29

PPPS Gred Utama/Khas masing-masing akan dipindahkan ke gred yang sama dalam skim perkhidmatan PPP.

Jabatan ini (Bahagian Pembangunan Organisasi [BPO]) akan melaksanakan perubahan jawatan dalam Senarai Perjawatan sedia ada. Mulai tarikh kuat kuasa skim perkhidmatan ini, semua lantikan sebagai PPP hendaklah menggunakan skim perkhidmatan yang baharu dan syarat lantikan yang ditetapkan hendaklah dipatuhi.

Kaedah Penetapan Gaji Permulaan

Pegawai akan ditawarkan penetapan gaji permulaan di jawatan baharu seperti berikut :

  • pada gaji minimum di gred jawatan baharu sekiranya gaji akhir di gred jawatan asal adalah sama atau lebih rendah daripada gaji minimum di gred jawatan baharu; atau
  • pada amaun gaji yang sama dengan amaun gaji akhir di gred jawatan asal jika gaji akhir di gred jawatan asal lebih tinggi daripada gaji minimum di gred jawatan baharu; atau
  • pada gaji permulaan kelayakan ijazah sarjana atau PhD bagi pegawai yang memiliki kelayakan berkenaan jika amaun gaji di gred jawatan asal adalah lebih rendah daripada gaji permulaan kelayakan ijazah sarjana atau PhD.

Pegawai yang gaji akhirnya tidak dapat ditampung oleh amaun gaji dalam JGMM mengikut kaedah di atas, maka jadual gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) hendaklah dipohon daripada jabatan ini (Bahagian Saraan) dengan mengemukakan salinan Kenyataan Perkhidmatan pegawai terlibat yang telah dikemas kini dan disahkan.

Elaun dan Kemudahan

Urusan ini tidak melibatkan sebarang perubahan elaun dan kemudahan yang sedang diterima oleh pegawai mengikut pekeliling perkhidmatan/surat pekeliling perkhidmatan/surat edaran yang berkuat kuasa, termasuk Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal. Walau bagaimanapun, penetapan kadar elaun dan kemudahan tersebut adalah tertakluk kepada penetapan gred jawatan pegawai.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2014.

Pembatalan

Dengan berkuat kuasanya pekeliling perkhidmatan ini, maka skim perkhidmatan PPPS dan PPPLD sedia ada dibatalkan seperti berikut:

  • skim perkhidmatan PPPS di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2002; dan
  • skim perkhidmatan PPPLD di bawah Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 11 Tahun 2007.

Pemakaian

Tertakluk kepada penenmaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan pekeliling perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri dan Pihak Berkuasa Berkanun.

Lampiran A : Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan

Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan 1 Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan 2 Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan 3 Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan 4 Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan 5 Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan 6 Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan 7

Lampiran B : Format Iklan Jawatan

Lampiran B Format Iklan Jawatan

Lampiran C : Jadual Gaji Minimun-Maksimum Bagi Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Pengurusan dan Profesional Mulai 1 Januari 2014

Lampiran C : Jadual Gaji Minimun-Maksimum Bagi Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Pengurusan dan Profesional Mulai 1 Januari 2014

Lampiran C 2

PP Bil.40/2013 Pekeliling Penggabungan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma

Secara ringkasnya, pekeliling ini mengenai pengumuman pihak kerajaan tentang penggabungan Skim Perkhidmatan bagi PPPS dan PPPLD menjadi PPP.

Nama Pekeliling : Penggabungan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma 

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.40/2013 Pekeliling Penggabungan Skim Perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment