PP Bil.16/2010 Pekeliling Pencapaian Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam Kepada Orang Kurang Upaya

Tujuan Pekeliling Pencapaian Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam Kepada Orang Kurang Upaya dikeluarkan

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya dan langkah-langkah affirmative yang perlu diambil oleh suruhanjaya, kementerian serta agensi di bawah kementerian bagi mempercepat pencapaian dasar tersebut.

Latar Belakang

Dasar yang memperuntukkan satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya (OKU) dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2008 (PP 3/2008). Dasar ini dilaksanakan selaras dengan usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi keupayaan modal insan di kalangan rakyat Malaysia, khususnya bagi OKU dan merealisasikan hasrat menjadikan rakyat Malaysia sebagai masyarakat penyayang. Melalui dasar ini, OKU yang memiliki kelayakan akademik dan kemahiran yang sesuai dengan bidang tugas suatu jawatan akan dipertimbangkan peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam.

Selaras dengan usaha kerajaan untuk mempercepat pencapaian dasar ini, pelaksanaannya diperkemas melalui langkah-langkah affirmative dan pemantauan berterusan oleh suruhanjaya selaku pihak berkuasa melantik serta kementerian dan agensi di bawah kementerian sebagai agensi yang akan menerima OKU bekerja.

Definisi

Bagi tujuan Pekeliling Perkhidmatan ini:
“Orang Kurang Upaya (OKU)” berdasarkan Akta Orang Kurang Upaya 2007 adalah termasuk mereka yang mempunyai kekurangan jangka panjang dari segi fizikal, mental, intelektual atau deria yang apabila berinteraksi
dengan pelbagai halangan boleh menyekat penyertaan penuh dan berkesan mereka dalam masyarakat;

“Ketua Jabatan” bermaksud seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu jabatan atau Ketua Perkhidmatan, mengikut mana-mana yang berkenaan; “penyesuaian munasabah” bermaksud pengubahsuaian dan pelarasan yang perlu dan sesuai tanpa mengenakan bebanan yang tidak seimbang atau tidak wajar, sekiranya diperlukan dalam hal tertentu, untuk memastikan OKU menikmati atau menjalani kehidupan yang berkualiti dan sejahtera atas asas kesetaraan dengan orang upaya; dan

“Suruhanjaya” bermaksud suatu suruhanjaya perkhidmatan yang berkuasa untuk melantik seseorang pegawai berkhidmat dengan agensi awam, termasuklah Ketua Jabatan yang diwakilkan kuasa melantik oleh suruhanjaya atau diberi kebenaran untuk melantik mengikut peraturan yang berkuat kuasa.

Dasar Pengambilan

Dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU menetapkan bahawa setiap agensi hendaklah memastikan pengambilan OKU dibuat sekurang-kurangnya satu peratus daripada jumlah pegawai dalam
agensi tersebut. Dasar ini diperluas meliputi pelantikan secara tetap, sementara, kontrak atau apa-apa kaedah pelantikan yang berkuat kuasa.

Walau bagaimanapun, pencapaian dasar ini bergantung kepada permohonan yang dikemukakan kepada suruhanjaya atau melalui pengenalpastian oleh kementerian atau agensi di bawah kementerian. Pelantikan OKU dibuat berdasarkan calon memenuhi syarat lantikan yang ditetapkan dalam suatu skim perkhidmatan, kesesuaian calon dengan bidang tugas jawatan serta kemudahan yang disediakan oleh agensi yang berkenaan.

Permohonan Pekerjaan

Bagi tujuan memohon pekerjaan dalam perkhidmatan awam:

(i) OKU perlu terlebih dahulu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pendaftaran ini penting bagi suruhanjaya mengesahkan status seseorang calon sebagai OKU dalam urusan pengambilan. Selain itu, maklumat tersebut juga berguna dalam pemantauan pencapaian dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada OKU;

(ii) OKU disaran supaya memohon terus kepada suruhanjaya menerusi sistem pengambilan secara online, borang permohonan atau kaedahkaedah lain yang ditetapkan oleh suruhanjaya. Dalam hal ini, OKU perlu memenuhi syarat lantikan yang ditetapkan serta memaklumkan status OKU dalam permohonannya; dan

(iii) OKU boleh mendapatkan khidmat nasihat daripada JKM mengenai cara membuat permohonan pekerjaan kepada suruhanjaya.

Prosedur Pengambilan

Suruhanjaya hendaklah menimbang pelaksanaan langkah-langkah berikut:
(i) menyediakan ruangan bagi OKU menyatakan status dan kategori ketidakupayaannya dalam sistem pengambilan secara online, borang permohonan atau apa-apa kaedah lain yang diguna pakai oleh suruhanjaya;

(ii) hanya mengenakan syarat minimum kepada OKU dalam tapisan pengambilan berdasarkan syarat lantikan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan;

(iii) melantik panel penemu duga yang salah seorang ahli terdiri daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat atau mana-mana pegawai yang berpengalaman dalam pengurusan OKU bagi urusan pengambilan yang melibatkan calon OKU; dan

(iv) melaksanakan penyesuaian munasabah dalam urusan pengambilan terutamanya tapisan temu duga supaya calon OKU mudah menjalani proses pengambilan yang ditetapkan.

 

Peranan Kementerian

Kementerian hendaklah:
(i) memaklumkan suruhanjaya mengenai kekosongan jawatan di kementerian dan jabatan serta status, kategori dan ciri-ciri OKU yang sesuai bagi sesuatu jawatan mengikut garis panduan mengenai pemadanan jawatan dengan status keupayaan OKU (job match) yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Selain itu, Ketua Jabatan berdasarkan pewakilan kuasa atau kuasa yang diperuntukkan mengikut peraturan yang berkenaan boleh mengenal pasti calon OKU yang sesuai dan berdaftar dengan JKM untuk dipertimbangkan pelantikan;

(ii) melaksanakan aktiviti suai kenal di tempat kerja meliputi penerapan sikap saling menghormati dan saling memahami di antara OKU, Ketua Jabatan dan rakan sekerja supaya OKU dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran kerja dan organisasi;

(iii) menyediakan kemudahan dan persekitaran yang sesuai melalui penyesuaian yang munasabah supaya OKU dapat bekerja dan menyumbang secara produktif kepada organisasinya; dan

(iv) memastikan maklumat pencapaian pekerjaan OKU dalam perkhidmatan awam dikemukakan kepada Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam pada 1 Januari dan 1 Julai pada setiap tahun mengikut format di Lampiran A.

Pemantauan

Semua kementerian bertanggungjawab memantau pencapaian pelaksanaan dasar satu peratus peluang pekerjaan kepada OKU dalam organisasinya dan agensi di bawah kementerian bagi memastikan matlamat dasar ini dicapai.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh Pihak Berkuasa masingmasing, Pekeliling Perkhidmatan ini terpakai kepada Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. Walau bagaimanapun, Pihak Berkuasa berkenaan disarankan untuk sama-sama menjayakan dasar ini supaya pelaksanaan keputusan kerajaan ini dapat dikuat kuasakan dengan seragam dan mencapai matlamat yang ditetapkan.

Pembatalan

Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, PP 3/2008 adalah dibatalkan.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan..

PP Bil.16/2010 Pekeliling Pencapaian Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam Kepada Orang Kurang Upaya

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan menjelaskan dasar satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada Orang Kurang Upaya dan langkah-langkah affirmative yang perlu diambil oleh suruhanjaya, kementerian serta agensi di bawah kementerian bagi mempercepat pencapaian dasar tersebut.

Nama Pekeliling : Pencapaian Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam Kepada Orang Kurang Upaya

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.16/2010 Pekeliling Pencapaian Dasar Satu Peratus Peluang Pekerjaan Dalam Perkhidmatan Awam Kepada Orang Kurang Upaya

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment