PP Bil.11/2016 Pekeliling Kemudahan Cuti Kuarantin

Tujuan Pekeliling Kemudahan Cuti Kuarantin dikeluarkan

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan berkaitan dengan kemudahan Cuti Kuarantin kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Latar Belakang

Kemudahan Cuti Kuarantin telah diperuntukkan di bawah Perintah Am 24 Bab C (Cuti) kepada pegawai yang dalam perjalanan balik ke Malaysia dari luar negara yang ditahan di mana-mana stesen kuarantin oleh pihak berkuasa kesihatan pelabuhan atau lapangan terbang kerana berlaku wabak penyakit berjangkit atau pegawai dikurung di rumahnya oleh mana-mana kuasa kesihatan kerana wabak penyakit berjangkit.

Pegawai yang diberi perintah kuarantin adalah layak mendapat cuti bergaji penuh sepanjang tempoh kuarantin selaras dengan peraturan dan ketetapan di perenggan 2 di atas.

Selaras dengan keprihatinan kepada institusi kekeluargaan dalam konteks penjagaan kesihatan anak, Kerajaan telah bersetuju supaya kemudahan Cuti Kuarantin diberikan kepada pegawai yang anaknya menghidap penyakit berjangkit dan perlu dikuarantin.

 

Pelaksanaan

Tafsiran

Dalam Pekeliling Perkhidmatan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain:
‘anak kandung’ bermaksud anak sendiri.

‘anak tiri tanggungan’ bermaksud anak kepada suami atau isteri hasil daripada perkahwinannya yang terdahulu yang tinggal bersama dan ditanggung nafkahnya.

‘anak angkat de facto’ bermaksud seseorang kanak-kanak itu berada dalam jagaan, sedang dibesarkan, ditanggung dan dididik oleh pegawai sebagai anaknya di bawah sesuatu pengangkatan de facto, dan bagi suatu tempoh tidak
kurang daripada dua (2) tahun yang berterusan dan sebelum sahaja dari tarikh permohonan tersebut di bawah Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 [Akta 253].

‘anak angkat’ bermaksud seseorang anak yang telah dibenarkan oleh Mahkamah untuk diangkat atau diangkat semula di bawah Akta Pengangkatan 1952 [Akta 257].

‘anak pelihara’ bermaksud seseorang kanak-kanak yang diberi pemeliharaan, jagaan dan kawalan kepada ibu bapa peliharaan di bawah perenggan 30(1)(e) Akta Kanak-kanak 2001 [Akta 611].

‘Ketua Jabatan’ bermaksud seseorang pegawai yang bertanggungjawab bagi sesuatu kementerian, jabatan, institusi atau agensi dan termasuklah mana-mana pegawai yang diberi kuasa untuk meluluskan Cuti Rehat bagi
kementerian, jabatan, institusi atau agensi.

‘kuarantin’ bermaksud sekatan kebebasan pergerakan seorang pegawai yang anaknya menghidap penyakit berjangkit dan telah dikeluarkan perakuan keatasnya.

‘perakuan’ bermaksud perakuan secara bertulis atau sijil sakit yang dikeluarkan oleh pegawai perubatan Kerajaan atau swasta.

Kelayakan

Sekiranya mana-mana anak pegawai telah diberi perakuan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta yang menyatakan anak tersebut perlu dikuarantin kerana penyakit berjangkit, pegawai boleh diberi kemudahan Cuti Kuarantin untuk menjaga anak yang sakit.

Pegawai yang layak kemudahan Cuti Kuarantin adalah ibu dan bapa yang sah.

Anak adalah termasuk:
(a) anak kandung;
(b) anak tiri tanggungan;
(c) anak angkat de facto;
(d) anak angkat; dan                                                                                                                                                                           (e) anak pelihara.

Pemberian kemudahan Cuti Kuarantin kepada pegawai adalah seperti berikut:

(a) tempoh yang boleh diluluskan adalah terhad kepada maksimum lima (5) hari bagi setiap kes atau selama tempoh perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta mengikut mana
yang lebih rendah, tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am; dan

(b) dengan syarat anak yang dikuarantin adalah:
(i) berumur di bawah 18 tahun atau jika masih belajar di bawah 21 tahun; dan
(ii) tidak kira apa jua umurnya dan yang cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal dan yang tidak berupaya untuk menanggung dirinya sendiri, dengan syarat anak itu adalah cacat otak atau hilang upaya dari segi jasmani dan secara kekal sebelum anak itu mencapai umur 21 tahun.

Pelaksanaan

Kemudahan Cuti Kuarantin hendaklah dilaksanakan seperti berikut:
(a) pegawai boleh menggunakan kemudahan Cuti Kuarantin pada bila-bila masa dalam tempoh perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta;                                                                              (b) senarai penyakit berjangkit yang boleh dipertimbangkan adalah seperti di Lampiran A, atau pindaannya yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa; dan
(c) permohonan hendaklah dikemukakan kepada Ketua Jabatan berserta perakuan yang dikeluarkan oleh mana-mana pegawai perubatan Kerajaan atau swasta dengan menggunakan Borang Permohonan Cuti Kuarantin seperti di Lampiran B.

Cuti Kuarantin Dibawah Jagaan Sementara

Mana-mana pegawai yang diberikan hak penjagaan selain anak yang dinyatakan di perenggan 8 (a) hingga (e) di atas semasa ketiadaan ibu bapa atas apa-apa jua sebab untuk suatu tempoh berterusan sekurang-kurangnya satu (1) bulan, jika anak itu perlu dikuarantin semasa dalam tempoh penjagaan pegawai itu, pegawai boleh diberikan kemudahan Cuti Kuarantin, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan di atas.

Tanggungjawab Ketua Jabatan

Ketua Jabatan hendaklah memastikan kemudahan ini diberikan mengikut tempoh yang boleh diluluskan terhad kepada maksimum lima (5) hari bagi memenuhi keperluan pegawai itu dalam menguruskan apa-apa perkara yang berhubung peraturan di atas.

Bagi permohonan Cuti Kuarantin di bawah perenggan 11, kemudahan ini adalah tertakluk kepada kepentingan perkhidmatan.

Ketua Jabatan hendaklah merekodkan kelulusan kemudahan Cuti Kuarantin pegawai dalam rekod perkhidmatan Kerajaan.

Pengecualian

Sebarang pengecualian daripada mna-mana peruntukan dalam pekeliling perkhidmatan ini hendaklah mendapat pertimbangan dan kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa pada 1 Januari 2017.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaanya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

PP Bil.11/2016 Pekeliling Kemudahan Cuti Kuarantin

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan melaksanakan keputusan Kerajaan berkaitan dengan kemudahan Cuti Kuarantin kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Nama Pekeliling : Kemudahan Cuti Kuarantin

Format Fail : PDF

Download : Kemudahan Cuti Kuarantin

Oleh : Ketua Pegawai Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment

error: Content is protected !!