PP Bil.10/2016 Pekeliling Bayaran Khas Tahun 2016

Tujuan Pekeliling Bayaran Khas Tahun 2016 dikeluarkan

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan memberi Bayaran Khas Tahun 2016 kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Latar Belakang

Kerajaan telah membuat keputusan supaya Bayaran Khas Tahun 2016 dibayar sebagai penghargaan kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan. Kadar Bayaran Khas Tahun 2016 yang ditetapkan adalah sebanyak RM500.00.

Kerajaan juga bersetuju memberi Bayaran Khas Tahun 2016 sebanyak RM250.00 kepada pesara Kerajaan yang menerima pencen.

 

Pelaksanaan

Bayaran Khas Tahun 2016 ini diberi kepada semua pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berkhidmat pada tahun 2016 tertakluk kepada syarat bahawa pegawai telah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut termasuk semua jenis cuti bergaji penuh, Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari
Kelepasan Am dalam tempoh 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016.

Pegawai Yang Layak

Tertakluk kepada perenggan 4 di atas, pegawai yang layak dibayar Bayaran Khas Tahun 2016 adalah seperti berikut:

5.1 pegawai lantikan tetap, sementara, contract of service1 dan guru interim;
5.2 pegawai yang bercuti separuh gaji tetapi tidak sepanjang tahun 2016;
5.3 pegawai yang bercuti tanpa gaji tetapi tidak sepanjang tahun 2016;
5.4 pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya atau badan antarabangsa atau syarikat swasta tetapi tidak sepanjang tahun 2016;
5.5 pemandu yang dilantik oleh pegawai Gred Jawatan Utama B dan ke atas, serta Gred Khas A dan ke atas yang layak pemandu tetapi tidak disediakan pemandu oleh jabatannya; dan                                                                                    5.6 pemandu yang dilantik sendiri oleh Anggota Pentadbiran dan Hakim serta Pesuruhjaya Kehakiman berdasarkan Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan Akta Saraan Hakim 1971.

Pegawai Yang Tidak Layak

Pegawai yang tidak layak dibayar Bayaran Khas Tahun 2016 adalah seperti berikut:

6.1 pegawai yang berkhidmat kurang daripada 30 hari berturut-turut dalam tahun 2016;
6.2 pegawai yang bercuti separuh gaji sepanjang tahun 2016;
6.3 pegawai yang bercuti tanpa gaji sepanjang tahun 2016;
6.4 pegawai yang dipinjamkan ke agensi yang diasingkan pengurusan saraannya atau badan antarabangsa atau syarikat swasta sepanjang tahun 2016;
6.5 pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib dalam tahun 2016; dan
6.6 pegawai yang ditamatkan perkhidmatan demi kepentingan awam dalam tahun 2016.

Pegawai Yang Ditangguh Bayaran Khas

Pegawai yang ditahan kerja, digantung kerja atau surat pertuduhan telah dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tatatertib ditangguhkan Bayaran Khas Tahun 2016 ini. Pegawai hanya layak dibayar Bayaran Khas Tahun 2016 sekiranya Pihak Berkuasa Tatatertib mendapati pegawai tersebut tidak bersalah.

Pekerja Sambilan Harian (PSH)

Bayaran Khas Tahun 2016 sebanyak RM500.00 dipanjangkan kepada Pekerja Sambilan Harian (PSH) yang tempoh kontraknya telah berkuat kuasa sekurangkurangnya 30 hari berturut-turut pada tahun 2016.

Bagi PSH yang berkhidmat melebihi satu kontrak dalam tahun 2016, Bayaran Khas Tahun 2016 akan dibayar oleh Jabatan terakhir PSH berkhidmat tertakluk kepada PSH tersebut memenuhi syarat berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut dalam perenggan ini. Sekiranya syarat tersebut tidak dipenuhi, Jabatan terdahulu yang
mana PSH memenuhi syarat berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut akan membayar Bayaran Khas Tahun 2016 tersebut.

Pesara

Pemberian Bayaran Khas Tahun 2016 kepada pesara Kerajaan yang menerima pencen akan dibayar oleh Jabatan Perkhidmatan Awam sebanyak RM250.00.

Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang bersara dalam tempoh 1 Januari 2016 hingga 30 Januari 2016 hanya layak dibayar Bayaran Khas Tahun 2016 sebanyak RM250.00.

Bagi pegawai Perkhidmatan Awam yang bersara dalam tempoh 31 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016 layak dibayar Bayaran Khas Tahun 2016 sebanyak RM500.00, tertakluk kepada syarat pegawai telah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut termasuk semua jenis cuti bergaji penuh, Hari Rehat Mingguan, Hari
Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am dalam tempoh 31 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016. Pembayaran sebanyak RM250.00 akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan bakinya sebanyak RM250.00 akan dibayar oleh jabatan terakhir pegawai berkhidmat.

Pesara Perkhidmatan Awam yang dilantik semula secara contract of service dalam tahun 2016 layak dibayar Bayaran Khas Tahun 2016 sebanyak RM500.00 sahaja tertakluk kepada pegawai telah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut termasuk semua jenis cuti bergaji penuh, Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan
Mingguan dan Hari Kelepasan Am dalam tempoh 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016. Pembayaran sebanyak RM250.00 akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam dan bakinya sebanyak RM250.00 akan dibayar oleh jabatan pegawai berkhidmat pada bulan pembayaran.

Pegawai Meninggal Dunia Dalam Perkhidmatan

Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang meninggal dunia dalam tempoh 1 Januari 2016 hingga 29 Januari 2016 hanya layak dibayar Bayaran Khas Tahun 2016 sebanyak RM250.00. Pembayaran kepada mana-mana penerima pencen terbitan yang layak di bawah undang-undang pencen sebanyak RM250.00 tersebut akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam.

Bagi pegawai yang meninggal dunia dalam tempoh 30 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016 layak dibayar Bayaran Khas Tahun 2016 sebanyak RM500.00 tertakluk kepada pegawai telah berkhidmat sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut termasuk semua jenis cuti bergaji penuh, Hari Rehat Mingguan, Hari Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am dalam tempoh 30 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016. Pembayaran kepada mana-mana penerima pencen terbitan yang layak di bawah undang-undang pencen sebanyak RM250.00 akan dibuat oleh Jabatan Perkhidmatan Awam, manakala baki sebanyak RM250.00 akan dibuat oleh jabatan
terakhir pegawai berkhidmat.

Tarikh Pembayaran

Bayaran Khas Tahun 2016 sebanyak RM500.00 ini dibayar pada 3 Januari 2017.

Tanggungjawab Pembayaran

Pembayaran Khas Tahun 2016 ini adalah menjadi tanggungan jabatan di mana pegawai berkhidmat pada bulan pembayaran.

 

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaanya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

PP Bil.10/2016 Pekeliling Bayaran Khas Tahun 2016

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan memberi Bayaran Khas Tahun 2016 kepada pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Nama Pekeliling : Bayaran Khas Tahun 2016

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.10/2016 Pekeliling Bayaran Khas Tahun 2016

Oleh : Ketua Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment

error: Content is protected !!