PP Bil.08/2016 Pekeliling Kemajuan Kerjaya Laluan Secara Pantas (Fast Track) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan

Tujuan Pekeliling Kemajuan Kerjaya Laluan Secara Pantas (Fast Track) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan dikeluarkan

Pekeliling perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan kaedah pelaksanaan laluan kerjaya secara pantas (selepas ini disebut sebagai laluan fast track) bagi mengiktiraf pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berpotensi tinggi iaitu memiliki daya kepimpinan, pemikiran dan komunikasi aras tinggi serta merupakan pencetus inovasi nilai (inovasi berimpak tinggi dengan kos yang rendah). Pegawai juga membudayakan akauntabiliti dan bertindak atas prinsip, membuat keputusan strategik, berani mengambil risiko dan bijak mengurus kepelbagaian pemegang taruh (stakeholder) kearah memastikan kelestarian kepimpinan perkhidmatan awam yang berkaliber dan berpersonaliti unggul. Pegawai fast track ini merupakan calon yang berpotensi untuk mengisi jawatan strategik semasa dan akan datang.

Dasar Fast Track

Pegawai awam yang dikenalpasti berpotensi tinggi boleh diberi keutamaan mengisi kekosongan jawatan di gred yang lebih tinggi mendahului pegawai lain di gred yang sama atau gred yang lebih kanan dalam skim perkhidmatan yang sama oleh Lembaga Kenaikan Pangkat, setelah ia memenuhi semua syarat kenaikan pangkat yang
berkuatkuasa dan melepasi tapisan fast track.

Pegawai Yang layak Dipertimbangkan

Pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional yang dikenalpasti untuk dipertimbangkan di bawah laluan fast track hendaklah memenuhi semua syarat kenaikan pangkat yang berkuatkuasa dan melalui proses tapisan yang ketat seperti berikut:

a) mencapai markah Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) sekurangkurangnya 90% dan ke atas bagi tiga (3) tahun terkini;
b) mencapai sekurang-kurangnya skor A dalam penilaian tahap potensi;
c) memperoleh sekurang-kurangnya Band 4 English Language Proficiency Assessment (ELPA). Keperluan penguasaan Bahasa Malaysia/ bahasa lain ditetapkan berdasarkan keperluan skim perkhidmatan berkaitan;
d) memperoleh sekurang-kurangnya aras cemerlang dalam program penilaian pihak ketiga;
e) melepasi penilaian khas yang ditetapkan;
f) diperakukan oleh Search Committee kepada Lembaga Kenaikan Pangkat; dan
g) memenuhi apa-apa kriteria lain yang ditentukan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa.

Tanggungjawab Ketua Perkhidmatan

Ketua Perkhidmatan bertanggungjawab melaksanakan perkara-perkara berikut:
a) membangunkan kriteria penilaian mengikut kesesuaian skim perkhidmatan;
b) melaksanakan program penilaian kepimpinan ke atas calon pegawai berpotensi tinggi;
c) mengenalpasti calon pegawai berpotensi tinggi yang layak diperaku kepada Search Committee untuk ke laluan fast track; dan
d) mendapatkan kelulusan Lembaga Kenaikan Pangkat untuk melaksanakan program penilaian kepimpinan.

Ketua Perkhidmatan boleh menyediakan program pembangunan yang bersesuaian bagi memastikan pegawai yang melepasi tapisan fast track di bawah tanggungjawabnya dipersiapkan dengan kompetensi yang sesuai dengan jawatan strategik yang dikenal pasti.

Tanggungjawab Search Committee

Search Committee akan memperakukan pegawai ke program penilaian kepimpinan dan pemangkuan/ kenaikan pangkat di bawah laluan fast track. Keanggotaan Search Committee adalah sepertimana yang ditetapkan di dalam
Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 3 Tahun 2006. Walau bagaimanapun, keanggotaan Search Committee tersebut boleh ditambah mengikut keperluan dari semasa ke semasa.

Kaedah Pelaksanaan

Garis panduan pelaksanaan laluan fast track adalah seperti di lampiran.

Pengecualian

Sebarang pengecualian dala pelaksanaan laluan fast track selain daripada ketetapan yang terkandung di dalam pekeliling perkhidatan ini tertakluk kepada kelulusan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaanya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

PP Bil.08/2016 Pekeliling Kemajuan Kerjaya Laluan Secara Pantas (Fast Track) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan

Secara ringkasnya, pekeliling ini

bertujuan menjelaskan kaedah pelaksanaan laluan kerjaya secara pantas (selepas ini disebut sebagai laluan fast track) bagi mengiktiraf pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan yang berpotensi tinggi iaitu memiliki daya kepimpinan, pemikiran dan komunikasi aras tinggi serta merupakan pencetus inovasi nilai (inovasi berimpak tinggi dengan kos yang rendah). Pegawai juga membudayakan akauntabiliti dan bertindak atas prinsip, membuat keputusan strategik, berani mengambil risiko dan bijak mengurus kepelbagaian pemegang taruh (stakeholder) kearah memastikan kelestarian kepimpinan perkhidmatan awam yang berkaliber dan berpersonaliti unggul. Pegawai fast track ini merupakan calon yang berpotensi untuk mengisi jawatan strategik semasa dan akan datang.

Nama Pekeliling : Kemajuan Kerjaya Laluan Secara Pantas (Fast Track) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.08/2016 Pekeliling Kemajuan Kerjaya Laluan Secara Pantas (Fast Track) Bagi Pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam

Add Comment