PP Bil.06/2010 Pekeliling Penetapan Ketua Perkhidmatan Bagi Skim Perkhidmatan Yang Sedang Berkuat Kuasa Dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan

Tujuan Penetapan Ketua Perkhidmatan Bagi Skim Perkhidmatan Yang Sedang Berkuat Kuasa Dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan dikeluarkan

Pekeliling perkhidmatan ini bertujuan untuk memaklumkan keputusan kerajaan mengenai penetapan Ketua Perkhidmatan bagi 243 skim perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Latar Belakang

Pada masa ini terdapat 243 skim perkhidmatan diwujudkan perjawatannya dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan (PAP). Daripada jumlah tersebut, sebanyak 26 skim perkhidmatan telah ditetapkan Ketua Perkhidmatan melalui Pekeliling Perkhidmatan, Surat Pekeliling Perkhidmatan atau Surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam manakala baki 217 skim perkhidmatan tidak ditetapkan Ketua Perkhidmatannya. Peranan sebagai Ketua Perkhidmatan bagi skim perkhidmatan yang telah ditetapkan Ketua Perkhidmatan dilaksanakan oleh Ketua Perkhidmatan masing-masing manakala peranan Ketua Perkhidmatan bagi skim perkhidmatan yang tidak ditetapkan Ketua Perkhidmatan dilaksana berdasarkan skop fungsi agensi ataupun Ketua Jabatan masing-masing.

Penetapan Ketua Perkhidmatan ini merupakan salah satu langkah kerajaan untuk menambah baik peluang kemajuan kerjaya dan mobiliti pegawai di samping melengkapkan pengetahuan serta kemahiran yang relevan dengan kepelbagaian persekitaran dan keperluan perkhidmatan. Selain itu, penetapan Ketua Perkhidmatan yang khusus akan membolehkan Ketua Perkhidmatan memainkan peranan dengan lebih efektif dan perkhidmatan pegawai dapat diuruskan secara holistik.

Ketua Perkhidmatan Yang Baharu

Dengan berkuatkuasanya pekeliling perkhidmatan ini, kuat kuasa penetapan Ketua Perkhidmatan bagi 26 skim perkhidmatan seperti di Lampiran A adalah kekal mengikut Ketua Perkhidmatan melalui Pekeliling Perkhidmatan, Surat Pekeliling Perkhidmatan atau Surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam yang telah dikeluarkan sebelum ini kecuali skim perkhidmatan Pembantu Pengurusan Murid, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Pegawai Khidmat Pelanggan dan Pembantu Tadbir (Kewangan) di Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah ditetapkan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia sebagai Ketua Perkhidmatan baharu. Ketua Perkhidmatan bagi 217 skim perkhidmatan lain yang sedang berkuat kuasa dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan adalah seperti di Lampiran B.

 

Peranan Ketua Perkhidmatan

Ketua Perkhidmatan adalah dipertanggungjawabkan untuk melaksana empat (4) fungsi utama seperti berikut:

(a) perancangan keperluan sumber manusia, pengurusan perjawatan dan penambahbaikan skim perkhidmatan;
(b) pengendalian urusan personel dan perkhidmatan;
(c) perancangan dan pelaksanaan pelan latihan; dan
(d) perancangan dan pelaksanaan program kemajuan kerjaya.

 

Kaedah Pelaksanaan

Dengan pelaksanaan penetapan Ketua Perkhidmatan ini, pegawai dalam 26 skim perkhidmatan di Lampiran A tidak layak diberi opsyen pertukaran perkhidmatan kecuali pegawai di dalam skim perkhidmatan Pembantu Pengurusan Murid, Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi), Pegawai Khidmat Pelanggan dan Pembantu Tadbir (Kewangan) yang terdapat di Kementerian Pelajaran Malaysia sebagaimana dinyatakan di Perenggan 4.

Semua pegawai yang berada dalam 217 skim perkhidmatan di Lampiran B layak diberi opsyen pertukaran perkhidmatan untuk memilih Ketua Perkhidmatan baharu kecuali pegawai yang berada di bawah Ketua Perkhidmatan yang sama dengan Ketua Perkhidmatan baharu.

Pegawai yang menolak opsyen tidak boleh bertukar ke jabatan lain dan akan terus kekal di bawah Ketua Jabatan masing-masing secara Khas Untuk Penyandang (KUP) sehingga meninggalkan perkhidmatan. Semua jawatan pegawai yang terlibat dengan opsyen pertukaran perkhidmatan dan jawatan kenaikan pangkat akan dijadikan jawatan kader Ketua Perkhidmatan yang baharu termasuk pewujudan jawatan baharu. Jawatan tersebut tidak boleh digunakan bagi tujuan kenaikan pangkat pegawai yang telah menolak opsyen.

Opsyen pertukaran perkhidmatan ini tidak akan melibatkan sebarang perubahan ke atas skim perkhidmatan, gred dan kekananan pegawai. Pegawai akan menerima gaji yang sama dengan gaji akhir yang diterima sebelum pertukaran perkhidmatan.

Mulai tarikh kuat kuasa pekeliling perkhidmatan ini, semua urusan pengisian jawatan hendaklah dilaksanakan oleh Ketua Perkhidmatan baharu.

Pemberian Opsyen

Tawaran opsyen ini hanya diberi kepada pegawai yang bertaraf tetap, termasuk mereka yang masih dalam tempoh percubaan serta telah menerima opsyen Sistem Saraan Malaysia.

Tawaran opsyen ini juga hendaklah diberi kepada mereka yang berada dalam keadaan berikut:

(a) dipinjamkan atau ditukarkan sementara;
(b) sedang bercuti;
(c) tidak hadir bertugas semasa opsyen dikeluarkan dan berkuat kuasa;
(d) sedang dalam proses tindakan tatatertib; dan
(e) sedang menjalani hukuman tatatertib selain daripada hukuman buang kerja.

Pegawai yang sedang dalam proses tindakan tatatertib, jika sabit kesalahannya dan dijatuhi hukuman buang kerja dalam tempoh opsyen, maka tawaran opsyen tersebut dengan sendirinya terbatal.

Pegawai yang terlibat diberi tempoh 30 hari mulai dari tarikh surat tawaran dikeluarkan untuk membuat pilihan sama ada menerima atau menolak tawaran ini. Pegawai yang menolak opsyen atau tidak membuat pilihan atau membuat pilihan bersyarat atau gagal mengembalikan borang opsyen tanpa sebarang sebab yang munasabah dianggap sebagai tidak bersetuju dengan tawaran pertukaran perkhidmatan ini. Pegawai akan kekal di bawah Ketua Jabatan masingmasing secara KUP. Pilihan yang dibuat adalah muktamad.

Sekiranya surat tawaran opsyen tidak dapat disampaikan, termasuk kepada pegawai yang berada dalam keadaan seperti di Perenggan 12 atas sebab yang munasabah, Pihak Berkuasa Melantik boleh menawarkan surat tawaran opsyen dengan memberi tempoh yang sama (30 hari) untuk membolehkan pegawai membuat pilihan, walaupun tempoh opsyen asal telah tamat.

Kaedah Pelaksanaan Opsyen

Dalam melaksanakan urusan ini, Pihak Berkuasa Melantik, Ketua Jabatan/Perkhidmatan dan pegawai yang terlibat hendaklah mematuhi kaedah pelaksanaan opsyen yang ditetapkan seperti berikut:

(a) Pihak Berkuasa Melantik
Menawarkan opsyen pertukaran perkhidmatan kepada pegawai yang terlibat melalui Ketua Jabatan setelahmendapat butiran nama pegawai yang terlibat daripada Ketua Jabatan/ Perkhidmatan.

(b) Ketua Jabatan

(i) mengemukakan senarai nama pegawai yang terlibat dalam urusan pertukaran perkhidmatan seperti di Perenggan 6 dan 7 kepada Pihak Berkuasa Melantik;
(ii) menyampaikan surat tawaran opsyen kepada pegawai terlibat dan memberi penjelasan yang terperinci mengenai opsyen serta implikasi keputusan yang dibuat;
(iii) mengumpul borang opsyen yang telah lengkap diisi dan menyerahkannya kembali kepada Pihak Berkuasa Melantik serta mengemukakan sesalinan
kepada Ketua Perkhidmatan yang baharu;
(iv) mengemas kini kenyataan perkhidmatan dan kenyataan cuti pegawai yang terlibat;
(v) menghubungi Bahagian Pembangunan Organisasi (BPO), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi urusan perubahan senarai perjawatan mewujudkan jawatan secara KUP bagi pegawai yang menolak opsyen; dan
(vi) melaksanakan pekeliling perkhidmatan ini dalam tempoh enam (6) bulan dari tarikh ianya diedarkan dan melaporkan kepada BPO, JPA mengenai status pelaksanaan pekeliling perkhidmatan ini.

(c) Pegawai Yang Ditawarkan Opsyen

(i) membaca dengan teliti dan memahami opsyen sebelum membuat keputusan. Jika terdapat sebarang keraguan, pegawai hendaklah merujuk kepada Ketua Jabatan/Perkhidmatan untuk mendapatkan penjelasan selanjutnya. Sebarang opsyen yang dibuat adalah muktamad;
(ii) melengkapkan dua (2) salinan borang tawaran opsyen seperti di Lampiran C iaitu satu (1) salinan disimpan oleh Ketua Jabatan manakala satu (1) lagi salinan untuk pegawai berkenaan; dan
(iii) membuat pilihan sama ada menerima atau menolak tawaran opsyen ini dan mengembalikan borang tawaran opsyen dalam tempoh tiga puluh (30) hari mulai tarikh surat tawaran opsyen.

Penilaian Tahap Kecekapan

Keputusan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) terdahulu pegawai yang ditukar perkhidmatan ke Ketua Perkhidmatan baharu boleh dipertimbangkan oleh Lembaga Penilaian Kompetensi yang berkenaan untuk dinilai setara jika kompetensi kedua-dua skim perkhidmatan adalah sama atau tidak jauh berbeza. Sekiranya dipersetujui, kelulusan PTK di dalam skim perkhidmatan asal boleh diguna pakai untuk dipertimbangkan pemberian Anjakan Gaji dan/ atau kenaikan pangkat berdasarkan peraturan yang berkuat kuasa.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Julai 2010.

 

PP Bil.06/2010 Pekeliling Penetapan Ketua Perkhidmatan Bagi Skim Perkhidmatan Yang Sedang Berkuat Kuasa Dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan keputusan kerajaan mengenai penetapan Ketua Perkhidmatan bagi 243 skim perkhidmatan yang sedang berkuat kuasa dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan.

Nama Pekeliling : Penetapan Ketua Perkhidmatan Bagi Skim Perkhidmatan Yang Sedang Berkuat Kuasa Dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan

Format Fail : PDF

Download :Penetapan Ketua Perkhidmatan Bagi Skim Perkhidmatan Yang Sedang Berkuat Kuasa Dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!