PP Bil.05/2017 Pekeliling Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam

Pekeliling Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam

Tujuan Pekeliling Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam dikeluarkan

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan berhubung kemudahan Cuti Bersalin kepada pegawai Perkhidmatan Awam.

Latar Belakang

Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2010 telah menetapkan bahawa seseorang pegawai yang bersalin layak mendapat cuti bersalin bergaji penuh sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatannya. Pegawai juga diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin antara 60 hari hingga 90 hari bagi setiap
kelahiran.

Bagi menjaga kebajikan penjawat awam wanita, Kerajaan telah bersetuju untuk menambah tempoh cuti bersalin bergaji penuh daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

 

Pelaksanaan

Tafsiran

Dalam Pekeliling Perkhidmatan ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain :

  • ‘Cuti Bersalin’ adalah cuti yang diberikan kepada pegawai wanita untuk bersedia dan pulih daripada bersalin;
  • ‘Cuti Bersalin bergaji penuh’ adalah Cuti Bersalin yang dibayar emolumen penuh mengikut kadar kelayakan yang telah ditetapkan;
  • ‘Cuti Bersalin separuh gaji’ adalah Cuti Bersalin yang dibayar separuh emolumen dan hanya diperuntukkan kepada guru selama 14 hari dalam penggal sekolah;
  • ‘Cuti Bersalin tanpa gaji’ adalah Cuti Bersalin yang tidak dibayar sebarang emolumen kepada pegawai yang telah menggunakan kelayakan Cuti Bersalin bergaji penuh dan Cuti Bersalin separuh gaji;
  • ‘guru’ adalah merujuk kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan wanita yang mengajar dan diberi kemudahan cuti penggal/semester di sekolah atau institusi pendidikan; dan
  • ‘pegawai’ adalah merujuk kepada pegawai wanita Perkhidmatan Awam Persekutuan yang dilantik secara tetap, sementara dan kontrak (contract of service).

Kelayakan

Kelayakan dan peraturan kemudahan Cuti Bersalin ditetapkan seperti berikut :

  1. kadar kelayakan Cuti Bersalin bergaji penuh ialah sebanyak 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan seseorang pegawai;
  2. tempoh maksimum Cuti Bersalin bagi setiap kelahiran adalah 90 hari. Walau bagaimanapun, pegawai diberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin antara 60 hari hingga 90 hari1 bagi setiap kelahiran;
    dan
  3. Cuti Bersalin bermula pada tarikh pegawai bersalin. Walau bagaimanapun, pegawai boleh memilih untuk menggunakan Cuti Bersalin lebih awal dari tarikh bersalin iaitu pada bila-bila masa dalam tempoh 14 hari dari tarikh dijangka bersalin.

Bagi pegawai yang mempunyai baki Cuti Bersalin bergaji penuh kurang daripada 60 hari, pegawai hendaklah mengambil Cuti Bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan menggunakan kemudahan berikut

Bagi pegawai selain guru :

  • menggunakan semua baki Cuti Bersalin bergaji penuh; dan
  • jika tidak mencukupi, Cuti Rehat digunakan; dan
  • jika masih tidak mencukupi, Cuti Bersalin tanpa gaji digunakan.

Bagi guru :

a. Semasa penggal sekolah, guru hendaklah:

  • menggunakan semua baki Cuti Bersalin bergaji penuh; dan
  • jika tidak mencukupi, Cuti Bersalin separuh gaji hingga 14 hari digunakan; dan
  • jika masih tidak mencukupi, Cuti Bersalin tanpa gaji digunakan.

b. Semasa cuti penggal sekolah, guru hendaklah:

  • menggunakan semua baki Cuti Bersalin bergaji penuh; dan
  • bagi tempoh yang selebihnya dianggap dalam cuti bergaji penuh.

Bagi pegawai yang telah menggunakan kelayakan maksimum 360 hari kemudahan Cuti Bersalin, pegawai hendaklah mengambil Cuti Bersalin antara 60 hingga 90 hari dengan menggunakan kemudahan berikut:

Bagi pegawai selain guru:

  • menggunakan Cuti Rehat mulai dari tarikh bersalin; dan
  • jika masih tidak mencukupi, Cuti Bersalin tanpa gaji digunakan.

Bagi guru:

a. Semasa penggal sekolah, guru hendaklah:

  • menggunakan Cuti Bersalin separuh gaji hingga 14 hari; dan
  • jika masih tidak mencukupi, Cuti Bersalin tanpa gaji
    digunakan.

b. Semasa cuti penggal sekolah, guru yang bersalin dianggap dalam cuti bergaji penuh.

Panduan pilihan kemudahan Cuti Bersalin antara 60 hingga 90 hari adalah seperti di Lampiran A.

Cuti Bersalin separuh gaji dan Cuti Bersalin tanpa gaji yang diambil oleh pegawai yang bersalin tidak akan menjejaskan kelayakan pegawai untuk menggunakan Cuti Separuh Gaji di bawah Perintah Am 51 Bab C Tahun 1974 dan Cuti Tanpa Gaji di bawah Perintah Am 14 dan 52 Bab C Tahun 1974.

Tempoh Cuti Bersalin adalah termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan, hari kelepasan am dan cuti penggal. Namun begitu, pengiraan Cuti Rehat dalam tempoh Cuti Bersalin adalah tidak termasuk hari rehat mingguan, hari kelepasan mingguan dan hari kelepasan am.

Bagi pegawai lantikan kontrak (contract of service), kelayakan mereka adalah sebagaimana yang ditetapkan dalam perenggan 5, 6 dan 7 di atas. Walau bagaimanapun, mereka tidak layak mengambil Cuti Menjaga Anak bagi menggantikan kelayakan Cuti Bersalin. Kemudahan Cuti Bersalin tanpa gaji yang diambil tidak menjejaskan kemudahan Cuti Tanpa Gaji Untuk Mengerjakan Haji sebagaimana yang diperuntukkan dalam perenggan 4, perkara 3, Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2016 dan peraturan lain yang berkuat kuasa. Kemudahan Cuti Bersalin tanpa gaji ini juga tidak menyebabkan tempoh kontrak yang berkuat kuasa terputus.

Cuti Sakit tidak boleh digunakan bagi maksud menggantikan tempoh Cuti Bersalin kecuali Cuti Tibi, Kusta, Barah atau tempoh pegawai dimasukkan ke wad hospital kerana sakit bukan atas sebab bersalin.

Bagi pegawai yang telah melahirkan anak selepas 22 minggu mengandung, sama ada bayi itu hidup atau pun meninggal dunia adalah layak untuk diberi Cuti Bersalin memandangkan tubuh badan pegawai telah mengalami perubahan fizikal yang memerlukan Cuti Bersalin bagi tujuan pemulihan.

Tempoh perkhidmatan dengan Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun atau Pihak Berkuasa Tempatan bagi seseorang pegawai yang diberi pelepasan untuk berkhidmat dengan perkhidmatan awam Persekutuan hendaklah diambil kira bagi maksud kelayakan kemudahan di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini.

Tempoh perkhidmatan termasuk semasa pelantikan secara sementara atau pelantikan secara kontrak hendaklah diambil kira bagi maksud kelayakan kemudahan di bawah Pekeliling Perkhidmatan ini.

Urusan pentadbiran kemudahan Cuti Bersalin adalah seperti berikut :

  • pegawai hendaklah mengemukakan dokumen sokongan daripada hospital/klinik Kerajaan atau swasta yang mengesahkan tarikh dijangka bersalin bagi membolehkan Ketua Jabatan meluluskan permohonan Cuti Bersalin dengan menggunakan borang seperti di Lampiran B Pekeliling Perkhidmatan ini;
  • bagi memudahkan urusan pentadbiran, pegawai tidak boleh meminda tempoh Cuti Bersalin yang telah diluluskan oleh Ketua Jabatan; dan
  • Ketua Jabatan hendaklah memastikan bilangan hari dan tempoh Cuti Bersalin yang diluluskan direkod di dalam Buku Rekod Perkhidmatan pegawai.

Panduan Bagi Tempoh Peralihan

Bagi pegawai yang sedang dalam tempoh Cuti Bersalin seperti yang diperuntukkan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2010 hingga melepasi tarikh 1 Januari 2018, pegawai boleh menggunakan kadar tambahan baharu ini mulai 1 Januari 2018. Contoh kaedah pelaksanaan kemudahan Cuti Bersalin dalam tempoh peralihan ini adalah seperti di Lampiran C.

Pembatalan

Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2010 adalah dibatalkan.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaanya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Lampiran A : Panduan Pilihan Kemudahan Cuti Bersalin

Lampiran A : Panduan Pilihan Kemudahan Cuti Bersalin Lampiran A : Panduan Pilihan Kemudahan Cuti Bersalin Lampiran A : Panduan Pilihan Kemudahan Cuti Bersalin

Lampiran B : Borang Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam

Lampiran B : Borang Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam Lampiran B : Borang Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam Lampiran B : Borang Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam

Lampiran C : Simulasi Cuti Bersalin dalam Tempoh Peralihan

Lampiran C : Simulasi Cuti Bersalin dalam Tempoh Peralihan Lampiran C : Simulasi Cuti Bersalin dalam Tempoh Peralihan Lampiran C : Simulasi Cuti Bersalin dalam Tempoh Peralihan Lampiran C : Simulasi Cuti Bersalin dalam Tempoh Peralihan

PP Bil.05/2017 Pekeliling Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam

Secara ringkasnya, pekeliling ini mengenai persetujuan kerajaan untuk menambah tempoh cuti bersalin bergaji penuh daripada 300 hari kepada 360 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.

Nama Pekeliling : Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam 

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.05/2017 Pekeliling Kemudahan Cuti Bersalin Pegawai Perkhidmatan Awam

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!