PP Bil.05/2011 Pekeliling Dasar Dan Prosedur Penempatan Pegawai Di Bawah Program Penempatan Silang (Cross Fertilization Program)

Tujuan Pekeliling Dasar Dan Prosedur Penempatan Pegawai Di Bawah Program Penempatan Silang (Cross Fertilization Program) dikeluarkan

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan dasar dan prosedur penempatan pegawai di bawah Program Penempatan Silang (Cross Fertilization Program) supaya pelaksanaannya teratur dan seragam.

Latar Belakang

Program Penempatan Silang atau Cross Fertilization Program (PCF) telah dilaksanakan dalam sektor awam bagi memberi peluang kepada pegawai yang dilantik dan berkhidmat dalam suatu agensi awam ditempatkan secara silang dalam tempoh sementara ke organisasi lain. Pada peringkat permulaan, program ini hanya melibatkan
penempatan silang di kalangan pegawai awam Persekutuan dan antara pegawai awam Persekutuan dengan pegawai di agensi awam yang lain. Namun, kerajaan bersetuju untuk memperluaskan program tersebut melibatkan penempatan silang pegawai antara agensi awam dengan agensi swasta.

Penempatan silang pegawai di bawah PCF merupakan salah satu inisiatif strategik kerajaan untuk mentransformasikan sektor awam kepada suatu perkhidmatan yang mengutamakan aspek keberhasilan dan budaya prestasi tinggi. Memandangkan pelaksanaannya akan diperluaskan ke pelbagai peringkat dalam sektor awam dan swasta, dasar mengenai penempatan silang ini dikeluarkan sebagai panduan kepada semua agensi
awam.

Objektif

Penempatan di bawah PCF bertujuan:
(a) mendedahkan pegawai kepada pengetahuan dan kemahiran baru melalui pengalaman penempatan di organisasi lain;
(b) meningkatkan keupayaan kepimpinan dan pengurusan pegawai dalam persekitaran dan tadbir urus organisasi yang berbeza; dan
(c) mendedahkan pegawai dengan budaya prestasi tinggi supaya budaya tersebut boleh diadaptasi dan diamalkan apabila pegawai kembali berkhidmat dengan agensi asal.

Definisi

Dalam Pekeliling Perkhidmatan ini:
“agensi asal” bermaksud agensi awam dan/ atau agensi swasta di mana pegawainya ditempatkan secara silang di bawah PCF ke agensi penerima;

“agensi awam” bermaksud kementerian atau jabatan kerajaan (Persekutuan dan Negeri), Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri, tetapi tidak termasuk Pihak Berkuasa Berkanun yang diasingkan saraannya) atau Pihak Berkuasa Tempatan;

“agensi penerima” bermaksud agensi awam dan/ atau agensi swasta yang menerima pegawai yang ditempatkan secara silang di bawah PCF;

“agensi swasta” bermaksud agensi selain daripada agensi awam dan termasuklah syarikat berkaitan kerajaan. Dalam konteks ini, pihak berkuasa berkanun yang diasingkan saraannya dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga dikategorikan sebagai agensi swasta;

“elaun” bermaksud elaun-elaun selain elaun bulanan lain yang termasuk dalam definisi emolumen;

“emolumen” bermaksud segala saraan dalam bentuk wang yang kena dibayar kepada seseorang pegawai dan termasuklah gaji pokok, imbuhan tetap, bayaran insentif dan elaun bulanan lain;

“gred jawatan hakiki” bermaksud gred jawatan yang disandang oleh pegawai sebelum ditempatkan secara silang ke agensi penerima;

“Ketua Jabatan” bermaksud seseorang pegawai yang mengetuai sesuatu jabatan atau Ketua Perkhidmatan bagi sesuatu perkhidmatan, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan

“penempatan silang” bermaksud penempatan pegawai di bawah PCF yang dibuat –
(a) secara dua hala antara agensi awam dengan agensi awam atau antara agensi awam dengan agensi swasta; atau
(b) secara sehala daripada agensi awam ke agensi awam atau agensi awam ke agensi swasta atau agensi swasta ke agensi awam.

Dasar Penempatan Silang

Dasar penempatan pegawai di bawah PCF adalah seperti berikut:

(a) penempatan silang adalah tertakluk kepada persetujuan antara agensi asal dan agensi penerima untuk menempatkan pegawai secara silang. Penempatan silang ke agensi penerima dibuat atas arahan Ketua Jabatan dan persetujuan pegawai tidak diperlukan. Sekiranya pegawai mengingkari arahan penempatan tersebut, pegawai akan dianggap sebagai telah ingkar perintah dan boleh diambil tindakan tatatertib mengikut peraturan tatatertib yang
berkuat kuasa;
(b) agensi penerima akan menanggung emolumen, elaun dan kemudahan yang layak diterima oleh pegawai mengikut gred jawatan yang disandang di agensi penerima tertakluk kepada perenggan 10 hingga 15;
(c) bagi penempatan secara dua hala yang dibuat antara agensi awam dengan agensi awam, jawatan sedia ada yang dikenal pasti di agensi penerima hendaklah dimansuhkan sementara dan juga diwujudkan secara sementara
mengikut skim perkhidmatan dan gred jawatan bakal penyandang dari agensi asal;
(d) bagi penempatan silang antara agensi awam dengan agensi swasta, agensi awam yang menerima pegawai dari agensi swasta tidak perlu mewujudkan perjawatan baru bagi tujuan penempatan ini. Penyandang dari agensi awam
yang ditempatkan secara silang di agensi swasta, jawatan sedia ada yang ditinggalkannya hendaklah direkodkan sebagai jawatan tambahsentara penempatan silang. Jawatan ini tidak boleh diisi secara penempatan hakiki,
penanggungan kerja, pemangkuan, kenaikan pangkat atau lantikan lain;
(e) bagi penempatan secara sehala yang dibuat dari agensi awam dengan agensi awam lain, agensi penerima hendaklah mewujudkan jawatan secara sementara mengikut skim perkhidmatan dan gred jawatan bakal penyandang dari agensi asal. Jawatan yang ditinggalkan oleh pegawai di agensi asal hendaklah direkodkan sebagai jawatan tambahsentara penempatan silang dan tidak boleh diisi secara penempatan hakiki, penanggungan kerja,
pemangkuan, kenaikan pangkat atau lantikan lain;
(f) tempoh minimum penempatan adalah enam (6) bulan dan tidak melebihi dua (2) tahun;
(g) semasa penempatan silang, pegawai boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat oleh agensi asal. Sekiranya pegawai dinaikkan pangkat, agensi asal dan agensi penerima boleh bersetuju untuk meneruskan penempatan silang
pegawai berkenaan;
(h) dalam tempoh penempatan silang, pegawai boleh menduduki kursus atau apaapa bentuk penilaian yang disyaratkan di perkhidmatan hakiki apabila dikehendaki oleh agensi asal atau melalui permohonan pegawai;
(i) penilaian prestasi tahunan pegawai dibuat oleh agensi penerima berdasarkan kaedah penilaian prestasi yang berkuat kuasa di agensi asal;
(j) tempoh penempatan silang boleh dipendekkan tertakluk kepada rundingan antara agensi asal dan agensi penerima. Pegawai yang terlibat hendaklah diberi notis secara bertulis sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tempoh
penempatan silang tamat;
(k) pegawai adalah tertakluk kepada peraturan tatatertib serta etika kerja di agensi asal. Walau bagaimanapun, pegawai perlu menghormati peraturan tatatertib dan etika kerja di agensi penerima di sepanjang tempoh penempatan silang;                                                                                                                                                                                                     (l) pegawai yang kembali ke agensi asal tidak berhak menuntut apa-apa faedah tambahan yang diterima semasa penempatan silang di agensi penerima;
(m) hubungan pegawai dengan agensi dan perkhidmatan asal tidak terputus dalam tempoh penempatan silang. Bagi pegawai awam, tempoh penempatan silang diambil kira bagi tujuan faedah persaraan; dan
(n) pelaksanaan fungsi dan tugas pegawai yang terlibat adalah berdasarkan had kuasa dan skop tugasan yang ditentukan oleh agensi penerima tertakluk kepada peruntukan undang-undang dan peraturan yang berkaitan.

Kelayakan Pegawai

Pegawai yang layak diperakukan untuk penempatan silang adalah pegawai yang –
(a) telah disahkan dalam perkhidmatan;
(b) mempunyai kelayakan dan kompetensi yang sesuai dengan skop tugasan di agensi penerima; dan
(c) bukan dari kalangan pegawai yang sedang dalam prosiding tatatertib. Pegawai yang mempunyai rekod tatatertib oleh dipertimbangkan untuk ditempatkan secara silang sekiranya difikirkan sesuai.

Prosedur

Prosedur bagi penempatan silang antara agensi awam dengan agensi awam adalah seperti berikut:
(a) agensi asal dan agensi penerima mengenal pasti serta memperakukan pegawai untuk penempatan silang. Dalam memperakukan pegawai, agensi berkenaan boleh menimbang permohonan yang dibuat oleh mana-mana pegawai untuk ditempatkan secara silang. Dalam keadaan tertentu, cadangan penempatan silang ini hendaklah dimaklumkan kepada Bahagian Perkhidmatan, Jabatan Perkhidmatan Awam (BK, JPA) sekiranya melibatkan pegawai perkhidmatan gunasama di bawah Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA). Bagi perkhidmatan lain, pemakluman hendaklah dikemukakan kepada Ketua Perkhidmatan masing-masing;

agensi yang terlibat hendaklah memohon kepada Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam (BPO, JPA) sekurangkurangnya satu (1) bulan lebih awal daripada tarikh pelaksanaan penempatan silang untuk membolehkan BPO, JPA membuat perakuan perubahan senarai perjawatan kepada Kementerian Kewangan mengikut kaedah di perenggan 6 (c), (d) dan (e). Maklumat yang perlu dikemukakan adalah:
(i) Nama agensi yang membekalkan pegawai;
(ii) Nama, skim perkhidmatan dan gred jawatan pegawai yang ditempatkan di agensi penerima;
(iii) Butiran lengkap perjawatan yang akan dimansuhkan;
(iv) Tempoh penempatan silang; dan
(v) Tarikh kuat kuasa penempatan silang.

Salinan permohonan hendaklah dikemukakan kepada Bahagian Pengurusan Belanjawan, Kementerian Kewangan. Sekiranya melibatkan jawatan pegawai perkhidmatan gunasama di bawah KPPA, salinan permohonan juga perlu dikemukakan kepada BK, JPA. Bagi perkhidmatan lain, salinan permohonan perlu dikemukakan kepada Ketua Perkhidmatan masing-masing;

(c) Kementerian Kewangan mengeluarkan waran perjawatan atau surat kelulusan perjawatan, mengikut mana-mana yang berkenaan kepada agensi asal dan agensi penerima;

(d) agensi asal mengeluarkan arahan penempatan silang berserta syarat penempatan kepada pegawai seperti Lampiran I mengikut tarikh kuat kuasa waran perjawatan, dengan satu salinan dikemukakan kepada agensi
penerima. Sekiranya melibatkan pegawai perkhidmatan gunasama di bawah KPPA, salinan surat arahan penempatan perlu dikemukakan kepada BK, JPA. Bagi perkhidmatan lain, salinan surat arahan penempatan
perlu dikemukakan kepada Ketua Perkhidmatan masing-masing;

(e) pegawai hendaklah melapor diri mulai tarikh kuat kuasa ditetapkan;

(f) agensi penerima hendaklah menentukan had kuasa dan skop tugasan serta memaklumkannya kepada pegawai; dan

(g) sekiranya pegawai yang terlibat dinaikkan pangkat dan penempatan silang perlu diteruskan, agensi penerima hendaklah membuat permohonan kepada BPO, JPA bagi meminda butiran perjawatan mengikut gred
kenaikan pangkat pegawai.

Prosedur bagi penempatan silang antara agensi awam dengan agensi swasta adalah seperti berikut:
(a) agensi asal dan agensi penerima hendaklah berbincang dan bersetuju mengenai syarat penempatan silang serta skop tugasan pegawai;
(b) agensi asal dan agensi penerima mengenal pasti dan memperakukan pegawai untuk penempatan silang. Dalam memperakukan pegawai, agensi berkenaan boleh menimbang permohonan yang dibuat oleh mana-mana
pegawai untuk ditempatkan secara silang. Dalam keadaan tertentu, cadangan penempatan silang pegawai awam ke agensi swasta hendaklah dimaklumkan kepada BK, JPA sekiranya melibatkan pegawai perkhidmatan gunasama di bawah KPPA. Bagi perkhidmatan lain, pemakluman hendaklah dikemukakan kepada Ketua Perkhidmatan
masing-masing;

(c) agensi yang terlibat hendaklah memohon kepada BPO, JPA sekurangkurangnya satu (1) bulan lebih awal daripada tarikh pelaksanaan penempatan silang untuk membolehkan jawatan yang ditinggalkan oleh
pegawai direkodkan sebagai jawatan tambahsentara penempatan silang;

(d) bagi penempatan:
(i) ke agensi swasta, agensi awam hendaklah mengeluarkan arahan penempatan silang berserta dengan syarat penempatan silang seperti Lampiran II kepada pegawai dan satu salinan hendaklah dikemukakan kepada agensi penerima. Sekiranya melibatkan pegawai perkhidmatan gunasama di bawah KPPA, salinan surat arahan penempatan perlu dikemukakan kepada BK, JPA. Bagi perkhidmatan lain, salinan surat arahan penempatan perlu
dikemukakan kepada Ketua Perkhidmatan masing-masing; dan

(ii) ke agensi awam, agensi swasta mengeluarkan arahan penempatan silang berserta dengan syarat penempatan seperti Lampiran III kepada pegawai dan satu salinan surat arahan penempatan hendaklah dikemukakan kepada agensi awam yang berkenaan.

(e) pegawai hendaklah melapor diri mulai tarikh kuat kuasa ditetapkan; dan

(f) agensi penerima hendaklah menentukan had kuasa dan skop tugasan serta memaklumkannya kepada pegawai.

Emolumen

Penempatan silang antara agensi awam dengan agensi awam, emolumen akan dibayar oleh agensi penerima mengikut gred jawatan yang disandang oleh pegawai. Maklumat terkini mengenai emolumen pegawai hendaklah disediakan oleh agensi asal dan seterusnya dimaklumkan kepada agensi penerima. Langkah ini perlu dilaksanakan
bagi memastikan urusan pembayaran emolumen kepada pegawai dapat dilaksanakan secara teratur oleh agensi penerima.

Penempatan silang antara agensi awam dengan agensi swasta, emolumen akan dibayar  oleh agensi asal masing masing mengikut gred jawatan yang disandang oleh pegawai di agensi asal.

Elaun dan Kemudahan

Bagi penempatan silang:
(a) antara agensi awam dengan agensi awam, pegawai layak diberi elaun dan kemudahan oleh agensi penerima mengikut gred jawatan yang disandang oleh pegawai tertakluk kepada prinsip dan kriteria pemberian
serta peraturan yang berkuat kuasa; dan
(b) antara agensi awam dengan agensi swasta, pegawai awam layak diberi elaun dan kemudahan oleh agensi asal masing-masing mengikut gred jawatan yang disandang oleh pegawai di agensi asal tertakluk kepada
prinsip dan kriteria pemberian serta peraturan yang berkuat kuasa. Pemberian elaun dan kemudahan kepada pegawai dari agensi swasta yang ditempatkan di agensi awam adalah ditanggung oleh agensi swasta yang
berkenaan. Walau bagaimanapun, pegawai yang diarah untuk melaksanakan suatu tugas rasmi layak untuk menuntut elaun, kemudahan dan bayaran kerana menjalankan tugas rasmi yang akan ditanggung oleh
agensi penerima.

Bagi mendapatkan kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan komputer serta apa-apa kemudahan lain yang ditentukan dari semasa ke semasa, pegawai hendaklah mengemukakan permohonan kepada agensi asal.

Pegawai yang mendapat kemudahan rumah kediaman atau kuarters dan kemudahan rawatan perubatan di klinik dan hospital panel semasa di agensi asal, kemudahan tersebut dikekalkan dan ditanggung oleh agensi asal di sepanjang tempoh penempatan silang.

Tertakluk kepada persetujuan agensi penerima, pegawai boleh diberi elaun dan kemudahan tambahan lain seperti alat komunikasi mudah alih, kemudahan rawatan perubatan di klinik dan hospital panel, kenderaan dan kemudahan rumah kediaman atau kuarters berdasarkan kelayakan yang ditetapkan oleh agensi penerima.

Pengurusan Rekod Perkhidmatan

Agensi asal bertanggungjawab mengemas kini rekod perkhidmatan pegawai yang terlibat dengan penempatan silang. Walau bagaimanapun, agensi penerima diberi tanggungjawab sementara untuk menguruskan hal-hal perkhidmatan tertentu seperti melulus dan merekod cuti rehat, cuti sakit dan cuti tanpa rekod, kursus serta pemberian elaun dan kemudahan. Salinan rekod urusan tersebut perlu dikemukakan kepada agensi
asal pada setiap tiga (3) bulan bagi tujuan direkodkan dalam rekod perkhidmatan pegawai. Apa-apa urusan yang memerlukan kelulusan Ketua Jabatan hendaklah dikemukakan kepada agensi asal melalui agensi penerima.

Tempoh Penempatan Silang

Tempoh minimum penempatan adalah enam (6) bulan dan tidak melebihi dua (2) tahun. Penentuan tempoh tersebut hendaklah dipersetujui secara bersama oleh agensi asal dan agensi penerima.

Pembangunan Dalam Perkhidmatan

Dalam tempoh penempatan silang, pegawai boleh dikehendaki oleh agensi asal atau memohon kepada agensi asal melalui agensi penerima untuk menduduki apa-apa bentuk penilaian atau kursus yang disyaratkan di perkhidmatan hakiki. Dalam hubungan ini, agensi penerima hendaklah memberi pertimbangan sewajarnya bagi membenarkan
pegawai menduduki penilaian atau kursus berkenaan. Bagi penempatan secara silang antara agensi awam dengan agensi awam, tanggungan perbelanjaan berkaitan dengan penilaian atau kursus termasuk tuntutan perjalanan akan ditanggung oleh agensi penerima. Bagi penempatan secara silang antara agensi awam dengan agensi swasta,
perbelanjaan tersebut akan ditanggung oleh agensi asal.

Pegawai tidak dibenarkan untuk memohon kursus yang tidak disyaratkan sebagai kursus pembangunan dalam skim perkhidmatannya bagi memastikan pegawai mendapat manfaat sepenuhnya di bawah program ini.

Kenaikan Pangkat Dalam Tempoh Penempatan Silang

Dalam tempoh penempatan silang ke agensi awam atau agensi swasta, pegawai dari agensi awam boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat oleh agensi asal. Sekiranya pegawai dinaikkan pangkat dan penempatan secara silang dipersetujui untuk diteruskan, perakuan semula hendaklah dibuat oleh agensi penerima berdasarkan gred kenaikan pangkat yang diluluskan. Dalam hal ini, skop tugasan pegawai di agensi penerima perlu ditentukan semula setaraf dengan jawatan kenaikan pangkat tersebut. Bagi pegawai dari agensi swasta yang dinaikkan pangkat, penempatan pegawai boleh diteruskan dan skop tugasan juga hendaklah ditentukan semula.

Penyediaan Laporan Pencapaian

Sebaik sahaja tamat tempoh penempatan silang, pegawai dikehendaki menyediakan laporan mengenai pelaksanaan dan pencapaian tugasan di sepanjang tempoh penempatan silang di agensi penerima dan mengemukakannya kepada Ketua Jabatan di agensi asal. Selain itu, pegawai juga dikehendaki berkongsi pengalaman mengenai amalan-amalan terbaik yang boleh diadaptasi ke dalam agensi asal.

Tatatertib

Dalam tempoh penempatan silang, pegawai dari agensi awam masih tertakluk kepada peraturan tatatertib dan etika kerja sebagai pegawai awam. Pihak Berkuasa Tatatertib bagi pegawai ialah Pihak Berkuasa Tatatertib di agensi atau perkhidmatan asal. Pegawai juga perlu menghormati peraturan disiplin dan etika kerja yang diguna pakai
di agensi penerima.

Pegawai dari agensi swasta adalah tertakluk kepada peraturan tatatertib di agensi asal. Pegawai juga perlu menghormati peraturan disiplin dan etika kerja yang diguna pakai di agensi penerima. Walau bagaimanapun, pegawai dikehendaki menandatangani borang akuan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972, mematuhi peraturan yang dinyatakan dalam Arahan Keselamatan dan boleh diminta untuk mengisytiharkan harta kepada agensi
penerima sekiranya diperlukan.

Pemendekan Tempoh Perkhidmatan

Tempoh penempatan silang boleh dipendekkan tertakluk kepada rundingan dibuat antara agensi asal dengan agensi penerima. Pegawai yang terlibat hendaklah diberi notis secara bertulis sekurang-kurangnya 30 hari sebelum tempoh penempatan silang tamat. Dalam keadaan tertentu, agensi asal atau agensi penerima boleh memendekkan tempoh
notis tersebut atau menamatkan penempatan pegawai dengan serta merta.

Agensi penerima hendaklah memohon kepada BPO, JPA sekurang-kurangnya satu (1) bulan lebih awal sebelum penempatan silang pegawai tamat bagi mewujudkan semula butiran perjawatan asal.

Kembali Ke Agensi Asal

Setelah tempoh penempatan tamat, pegawai dikehendaki kembali ke agensi asal. Pegawai yang kembali ke agensi asal tidak berhak menuntut apa-apa faedah tambahan yang diterima semasa penempatan silang di agensi penerima.

Persaraan Atau Kematian Dalam Perkhidmatan

Sekiranya pegawai awam yang bersara atau dibersarakan atau meninggal dunia dalam tempoh penempatan silang, faedah persaraan atau faedah terbitan yang layak dipertimbangkan adalah berdasarkan undang-undang pencen yang berkuat kuasa kepada pegawai. Pegawai yang memilih Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja akan
memperoleh faedah di bawah Akta Kumpulan Wang Simpanan Pekerja 1991.

Bagi pegawai dari Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan, caruman pegawai yang diberi taraf berpencen kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) hendaklah diambil alih sementara oleh agensi penerima di sepanjang tempoh penempatan silang.

Bagi pegawai dari agensi swasta, faedah penamatan perkhidmatan atau kematian adalah mengikut peraturan yang ditetapkan di agensi asal.

Hubungan Dengan Perkhidmatan Hakiki

Penempatan silang ini tidak akan menjejaskan perkhidmatan hakiki dan tempoh perkhidmatan pegawai tidak terputus.

Pelaksanaan

Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, penempatan pegawai di bawah PCF yang sedang dilaksanakan menerusi kaedah peminjaman, penempatan khas atau secara pentadbiran boleh diteruskan sehingga tamat tempoh penempatan silang tersebut. Pelaksanaan PCF baru selepas tarikh kuat kuasa Pekeliling Perkhidmatan ini atau selepas tempoh penempatan silang yang sedang dilaksanakan tamat, hendaklah
dibuat mengikut dasar dan prosedur yang dijelaskan dalam Pekeliling Perkhidmatan ini. Penempatan secara pentadbiran adalah tidak dibenarkan.

Penyelarasan dan Pemantauan

Dalam keadaan tertentu, JPA akan bertindak sebagai agensi penyelaras bagi penempatan silang dalam Perkhidmatan Awam Persekutuan dan antara Perkhidmatan Awam Persekutuan dengan agensi awam lain di bawah Pihak Berkuasa Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan serta dengan agensi swasta. Dalam hal ini, walaupun JPA bertindak sebagai agensi penyelaras, urusan yang melibatkan perjawatan dan penempatan akan diuruskan oleh agensi yang berkenaan tertakluk kepada prosedur di perenggan 8 dan 9.

Bagi memastikan urusan penempatan silang dilaksanakan dengan teratur dan seragam, pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa oleh JPA. Dalam hubungan ini, agensi awam juga dikehendaki mengemukakan maklumat mengenai urusan penempatan silang di agensi masing-masing  kepada BK. JPA pada Bulan Jun dan Disember setiap tahun.

 

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaanya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan. Walau bagaimanapun, pemakaian pekeliling perkhidmatan  ini amat digalakkan bagi memastikan urusan penempatan secara silang dapat dilaksanakan dengan teratur dan seragam.

PP Bil.05/2011 Pekeliling Dasar Dan Prosedur Penempatan Pegawai Di Bawah Program Penempatan Silang (Cross Fertilization Program)

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan menjelaskan dasar dan prosedur penempatan pegawai di bawah Program Penempatan Silang (Cross Fertilization Program) supaya pelaksanaannya teratur dan seragam.

Nama Pekeliling : Dasar Dan Prosedur Penempatan Pegawai Di Bawah Program Penempatan Silang (Cross Fertilization Program)

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.05/2011 Pekeliling Dasar Dan Prosedur Penempatan Pegawai Di Bawah Program Penempatan Silang (Cross Fertilization Program)

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment