PP Bil.02/2012 Pekeliling Kenaikan Gaji Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Di Bawah Sistem Saraan Malaysia

Tujuan Pekeliling Kenaikan Gaji Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Di Bawah Sistem Saraan Malaysia dikeluarkan

Pekeliling perkhidmatan ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan sebagaimana diumumkan pada 8 Mac 2012 mengenai kenaikan gaji sebanyak 13% berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) antara RM85.00 hingga RM325.00 kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan
Profesional, serta Kumpulan Pelaksana Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagi pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi PDRM, kenaikan gaji diberi sebanyak 8% hingga 9% dengan KGT berdasarkan pelarasan peratusan yang ditetapkan.

Definisi

Dalam pekeliling perkhidmatan ini:

“gaji baru” bermaksud amaun gaji yang telah diberi kenaikan mengikut peratusan yang ditetapkan berkuat kuasa 1 Januari 2012.

“gaji hakiki” bermaksud gaji yang ditetapkan di gred hakiki pegawai pada 31 Disember 2011.

“Kumpulan Pelaksana” bermaksud Kumpulan Sokongan di bawah SSM.

Pelaksanaan

Pegawai Yang Layak

Pegawai tetap dan kontrak (Contract of Service) layak diberi kenaikan gaji ini.

Kenaikan gaji hendaklah diberi kepada pegawai yang sedang berkhidmat pada atau selepas 1 Januari 2012 termasuk yang berada dalam keadaan seperti berikut:

4.1 pegawai yang dipinjam atau ditukar sementara ke agensi Kerajaan, kenaikan gaji hendaklah dilaksanakan mengikut gred gaji jawatan peminjaman atau pertukaran sementara. Gaji hakiki pegawai berkenaan hendaklah diselaraskan secara isyarat oleh Ketua Jabatan.
4.2 pegawai yang dipinjamkan ke pertubuhan antarabangsa atau sektor swasta, gaji hakiki pegawai berkenaan hendaklah diselaraskan secara isyarat oleh Ketua Jabatan.
4.3 pegawai yang cuti bergaji penuh, kenaikan gaji hendaklah dilaksanakan atas gaji hakiki yang diterima.
4.4 pegawai yang cuti separuh gaji, kenaikan gaji hendaklah dilaksanakan atas gaji hakiki dan pegawai dibayar separuh daripada gaji baru.
4.5 pegawai yang cuti tanpa gaji, kenaikan gaji hendaklah dilaksanakan secara isyarat atas gaji hakiki. Pegawai dibayar gaji setelah mengambil kira gaji baru yang telah diselaraskan apabila kembali bertugas.

Pegawai yang meninggal dunia pada atau selepas 1 Januari 2012 layak menerima gaji baru. Ketua Jabatan terakhir di mana pegawai ditempatkan adalah bertanggungjawab terhadap kenaikan gaji pegawai tersebut.

Peratusan kenaikan gaji sahaja dipanjangkan kepada pegawai Perkhidmatan PDRM yang masih berkhidmat di bawah saraan Laporan Gaji Jawatankuasa Kabinet (JKK) 1976 atau Sistem Saraan Baru (SSB).

Pegawai Yang Tidak Layak

Gaji baru tidak diberi kepada:

7.1 pegawai yang dikenakan hukuman tatatertib buang kerja yang berkuat kuasa pada
atau sebelum 1 Januari 2012.
7.2 pegawai yang bersara pada atau sebelum 1 Januari 2012.

Struktur Gaji Minimum – Maksimum

Jadual Gaji Sebaris bagi Kumpulan Pengurusan Tertinggi dan Jadual Gaji Matriks bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana yang berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2011 adalah digantikan dengan Jadual Gaji Minimum – Maksimum (JGMM). JGMM adalah di Lampiran A.

Prinsip Pemberian Kenaikan Gaji

Prinsip pemberian kenaikan gaji adalah berdasarkan gaji hakiki pegawai pada 31 Disember 2011 dan ditambah dengan kadar peratusan kenaikan gaji mengikut gred.

Kaedah Pemindahan Gaji

Bagi maksud pemindahan gaji sebagai amaun gaji baru dalam JGMM pada 1 Januari 2012, gaji hakiki pegawai pada 31 Disember 2011 ditambah dengan kadar peratusan kenaikan gaji yang ditetapkan mengikut gred seperti di Jadual 1.

Contoh kaedah pemberian gaji baru adalah seperti di Lampiran B.

Pegawai yang telah diluluskan Jadual Gaji Khas Untuk Penyandang (KUP) di bawah SSM oleh Bahagian Saraan, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan diberi gaji baru mengikut prinsip dan kaedah seperti di perenggan 9 dan 10.

Contoh kaedah pemberian gaji baru KUP adalah seperti di Lampiran C. Ketua Jabatan hendaklah mengemukakan senarai pegawai yang diberi gaji baru KUP menggunakan format seperti di Lampiran D kepada JPA.

Pegawai yang Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) adalah pada 1 Januari 2012 hendaklah diberi gaji baru terlebih dahulu, dan seterusnya diberi Pergerakan Gaji Tahunan (PGT) (tertakluk kepada keputusan Panel Pembangunan Sumber Manusia) dalam JGMM. Contoh kaedah pemberian gaji baru adalah seperti di Lampiran E.

Pegawai yang tarikh kenaikan pangkat pada 1 Januari 2012, hendaklah diberi gaji baru atas gred asal terlebih dahulu dan kemudiannya diberi PGT untuk tahun 2012 dalam JGMM gred asal dan diikuti dengan penetapan gaji permulaan di gred kenaikan pangkat menggunakan JGMM. Contoh kaedah pemberian gaji baru adalah seperti di
Lampiran F.

Tarikh Pergerakan Gaji

Kenaikan gaji ini tidak mengubah TPG pegawai. Walau bagaimanapun, bagi pegawai yang berada di matagaji maksimum melebihi satu (1) tahun perkhidmatan pada 31 Disember 2011, di Jadual Gaji Sebaris atau di Peringkat 1 (P1) atau Peringkat 2 (P2) atau Peringkat 3 (P3) dalam Jadual Gaji Matriks di bawah SSM termasuk pegawai yang berada di Jadual Gaji KUP di perenggan 11, TPG diubah kepada 1 Januari. Contoh perubahan TPG
berkaitan adalah seperti di Lampiran G.

Pergerakan Gaji Tahunan

Mulai tahun 2012 dan seterusnya, PGT pegawai adalah terhad kepada gaji maksimum dalam JGMM. Contoh PGT adalah seperti di Lampiran H.

Jadual Gaji Bagi Pegawai Yang Belum Memenuhi Syarat Atau Tidak Menerima Opsyen Pertukaran Pelantikan

Bagi pegawai yang menerima opsyen pertukaran pelantikan tetapi belum memenuhi syarat pertukaran pelantikan mengikut pekeliling perkhidmatan yang berkaitan atau pegawai yang tidak menerima opsyen pertukaran pelantikan, JGMM adalah seperti di Lampiran A. Sekiranya JGMM tersebut tidak terdapat dalam Lampiran A, Ketua Jabatan
hendaklah memohon JGMM daripada Bahagian Saraan, JPA.

Pegawai Kekal Di Bawah Laporan Gaji JKK 1976 Atau SSB

Bagi pegawai yang masih berkhidmat di bawah saraan Laporan Gaji JKK 1976 atau SSB, Ketua Jabatan hendaklah memohon skel gaji Laporan Gaji JKK 1976 atau jadual gaji SSB yang baru daripada Bahagian Saraan, JPA.

Elaun dan Kemudahan

Gaji baru ini tidak mengubah elaun dan kemudahan di bawah SSM kecuali elaun yang kadar atau kelayakannya adalah berdasarkan gaji atau lingkungan gaji. Penetapan kadar dan kelayakan elaun yang dipinda adalah seperti di Lampiran I.

Latar Belakang

Pada masa ini, peraturan dan syarat mengenai tuntutan bayaran berkenaan diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan dan Surat Pekeliling Perkhidmatan seperti yang berikut:

 

 

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling perkhidmatan ini hendaklah disifatkan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2012.

Pembatalan

Dengan berkuatkuasanya pekeliling perkhidmatan ini maka jadual gaji dan peruntukan-peruntukan pekeliling perkhidmatan berikut adalah dibatalkan:

jadual gaji bagi Perkhidmatan PDRM di bawah SSM sebelum 1 Januari 2012.

semua peruntukan dalam Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 14 Tahun 2011 (Pelaksanaan Saraan Baru Perkhidmatan Awam Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia) kecuali perenggan 75 dan lampiran yang berkaitan seperti di Apendiks 1.

 

PP Bil.02/2012 Pekeliling Kenaikan Gaji Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Di Bawah Sistem Saraan Malaysia

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk melaksanakan keputusan Kerajaan sebagaimana diumumkan pada 8 Mac 2012 mengenai kenaikan gaji sebanyak 13% berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) antara RM85.00 hingga RM325.00 kepada pegawai dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional, serta Kumpulan Pelaksana Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Bagi pegawai dalam Kumpulan Pengurusan Tertinggi PDRM, kenaikan gaji diberi sebanyak 8% hingga 9% dengan KGT berdasarkan pelarasan peratusan yang ditetapkan.

Nama Pekeliling : Kenaikan Gaji Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Di Bawah Sistem Saraan Malaysia

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.02/2012 Pekeliling Kenaikan Gaji Bagi Perkhidmatan Polis Diraja Malaysia Di Bawah Sistem Saraan Malaysia

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!