PP Bil.02/2011 Pekeliling Dasar Dan Prosedur Pelantikan Bekas Tentera Ke Dalam Perkhidmatan Awam

Tujuan Pekeliling Dasar Dan Prosedur Pelantikan Bekas Tentera Ke Dalam Perkhidmatan Awam dikeluarkan

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk menjelaskan dasar dan prosedur bagi menguruskan pelantikan bekas tentera ke dalam perkhidmatan awam supaya pelaksanaannya lebih teratur dan seragam.

Latar Belakang

Pada masa ini, dasar pelantikan bekas polis dan bekas tentera secara tetap ke dalam perkhidmatan awam adalah berpandukan kepada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2001 – Kaedah Penetapan Gaji Permulaan Untuk Bekas Polis Dan Bekas Tentera Yang Dilantik Secara Tetap Ke Dalam Perkhidmatan Awam (PP 7/2001). PP 7/2001 dikeluarkan selaras dengan hasrat Kerajaan mengiktiraf jasa dan pengorbanan bekas polis dan bekas tentera yang
telah menabur bakti menjaga keamanan dan mempertahankan keselamatan negara.

Bagi tujuan memperjelaskan dasar pelantikan bagi bekas tentera dan pemberian Hadiah Pergerakan Gaji (HPG) maka dasar sedia ada perlu diperkemas dengan mengkaji semula PP 7/2001 bagi memantapkan urusan pelantikan bekas tentera ke dalam perkhidmatan awam.

Walau bagaimanapun, Pekeliling Perkhidmatan ini tidak meliputi anggota polis yang layak menerima faedah persaraan.

Definisi

Untuk maksud Pekeliling Perkhidmatan ini:

“bekas tentera” bermaksud:
(a) anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang telah menamatkan atau ditamatkan perkhidmatan dengan baik dan tidak diberhentikan dari perkhidmatan dengan keji serta tidak layak menerima pencen mengikut peraturan yang terpakai dalam perkhidmatan ATM; dan

(b) Askar Wataniah, Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaysia dan Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Udara Diraja Malaysia yang telah dikerah berkhidmat secara sepenuh masa tidak kurang daripada 12 bulan sama ada secara berterusan atau sebaliknya yang telah menamatkan atau ditamatkan perkhidmatan
dengan baik.

“calon” bermaksud bekas tentera yang hendak dilantik ke dalam perkhidmatan awam;

“pengalaman relevan” bermaksud pengalaman kerja seseorang calon semasa dalam ATM yang sama dengan skop dan fungsi jawatan skim perkhidmatan yang ditawarkan;

“perkhidmatan awam” bermaksud perkhidmatan awam am Persekutuan, perkhidmatan kehakiman dan perundangan, pasukan polis dan perkhidmatan pelajaran; dan

“Suruhanjaya” bermaksud Suruhanjaya Perkhidmatan Awam, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, Suruhanjaya Pasukan Polis dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran atau mana-mana
pihak yang diwakilkan kuasa oleh sesuatu Suruhanjaya untuk menjalankan bidang kuasanya.

Dasar Pelantikan

Dasar pelantikan bekas tentera ke dalam perkhidmatan awam adalah seperti berikut:
(a) calon yang layak dipertimbangkan adalah calon yang telah menamatkan atau ditamatkan perkhidmatan dengan baik dan tidak menerima pencen mengikut peraturan ATM yang berkuat kuasa seperti berikut:

(i) Territorial Army (Term Of Service) Regulations 1958 – Jenis/Syarat Persaraan Dan Pemberhentian Anggota
Lain-Lain Pangkat (Sukarela);
(ii) Army And Air Force (Term Of Service) Regulations 1961 – Jenis/Syarat Persaraan Dan Pemberhentian Anggota
Lain-Lain Pangkat (Tetap);                                                                                                                                                              (iii) The Queen’s Regulations For The Royal Navy, Revised 1967 (QRRN) – Jenis/Syarat Persaraan Dan Pemberhentian Anggota Lain-Lain Pangkat TLDM (Tetap); dan
(iv) Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Pencen, Ganjaran Dan Faedah-Faedah Lain) 1982 – Jenis/Syarat Persaraan Dan Pemberhentian Pegawai Tetap dan Pegawai Tauliah Jangka Pendek (TJP).

Senarai kategori bekas tentera yang ditamatkan perkhidmatan dengan baik mengikut syarat-syarat pemberhentian adalah seperti di Lampiran A.

(b) calon boleh dilantik sama ada secara tetap, sementara atau kontrak berdasarkan keperluan perkhidmatan di kementerian/jabatan;

(c) calon layak dipertimbangkan pelantikan ke mana-mana jawatan sama ada dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional atau Kumpulan Sokongan yang calon berkelayakan;

(d) calon hendaklah memenuhi semua syarat yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan bagi jawatan yang dipohon;

(e) Suruhanjaya hendaklah memanjangkan apa-apa kaedah pengiklanan bagi pengambilan untuk mengisi kekosongan jawatan dalam perkhidmatan awam kepada pihak yang bertanggungjawab terhadap
bekas tentera;

(f) Suruhanjaya hendaklah mempertimbangkan calon yang layak untuk mengisi mana-mana jawatan dalam perkhidmatan awam. Walau bagaimanapun, Suruhanjaya hendaklah memberikan keutamaan kepada calon dalam sesuatu urusan pengambilan jika calon tersebut mempunyai merit yang sama dengan pemohon yang lain;

(g) calon layak dipertimbangkan penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi oleh Suruhanjaya dengan diberi HPG berdasarkan Peraturan 24(b) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 [P.U.(A)176/2005] atau peraturan-peraturan lain yang berkuat kuasa;

(h) di samping pemberian HPG, calon juga layak dipertimbangkan penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi oleh Suruhanjaya selepas diberi HPG berdasarkan Peraturan 23(2) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Pelantikan, Kenaikan Pangkat dan Penamatan Perkhidmatan) 2005 [P.U.(A)176/2005] atau peraturan-peraturan
lain yang berkuat kuasa;
(i) calon dikehendaki membuktikan status sebagai bekas tentera bagi melayakkan dipertimbangkan pemberian HPG yang ditetapkan dalam pekeliling perkhidmatan ini;

(j) pemberian satu HPG adalah bersamaan dengan satu pergerakan gaji biasa dalam Jadual Gaji Matriks yang sedang berkuat kuasa atau ketetapan lain yang diputuskan oleh Kerajaan dari semasa ke semasa; dan

(k) calon layak dipertimbangkan pemberian HPG hanya sekali iaitu semasa pelantikan kali pertama ke dalam perkhidmatan awam sama ada secara tetap, sementara atau kontrak. Walau bagaimanapun, calon yang telah diberi HPG sebelum ini layak dipertimbangkan HPG sekali lagi apabila dilantik secara tetap dengan syarat:
(i) calon belum disahkan dalam perkhidmatan di jawatan terdahulu; atau
(ii) calon merupakan pegawai lantikan sementara atau kontrak di jawatan terdahulu.

Kaedah Penetapan Gaji Permulaan

Penetapan gaji permulaan bagi calon yang dilantik sama ada secara tetap, sementara atau kontrak adalah mengikut mata gaji permulaan yang ditetapkan dalam skim perkhidmatan bagi jawatan yang ditawarkan kepada calon.
Suruhanjaya seterusnya menetapkan gaji permulaan yang lebih tinggi kepada calon dengan memberi HPG berdasarkan tempoh perkhidmatan calon semasa berkhidmat dalam ATM.

Suruhanjaya menentukan pemberian HPG berdasarkan pengalaman calon seperti berikut:
(a) bagi calon yang memiliki pengalaman yang relevan sepenuhnya dengan skop dan fungsi tugas jawatan yang akan disandangnya, pemberian HPG boleh ditetapkan mengikut satu Pergerakan Gaji Biasa bagi setiap genap satu tahun pengalaman yang relevan itu. Contohnya, seorang calon telah berkhidmat selama 8 tahun 10 bulan dengan ATM dan memiliki pengalaman yang relevan layak dipertimbangkan sebanyak 8 HPG;
(b) bagi calon yang memiliki pengalaman yang tidak relevan sepenuhnya, pemberian HPG untuk calon boleh ditetapkan seperti Jadual 1 berikut:

(c) bagi calon yang mempunyai kombinasi pengalaman relevan dan tidak relevan, pemberian HPG hendaklah ditetapkan melalui kombinasi HPG bagi pengalaman relevan dan tidak relevan. Contohnya, seorang calon telah berkhidmat selama 13 tahun dalam perkhidmatan ATM iaitu 4 tahun pengalaman relevan dan 9 tahun
pengalaman tidak relevan, maka layak dipertimbangkan sebanyak 7 HPG.

Gaji permulaan yang lebih tinggi boleh ditentukan dengan menambah jumlah HPG kepada mata gaji permulaan yang ditetapkan mengikut skim perkhidmatan berkenaan. Contoh penetapan gaji permulaan yang lebih tinggi yang
boleh ditawarkan kepada calon adalah seperti jadual berikut:

Prosedur

Prosedur bagi melantik calon dalam perkhidmatan awam adalah seperti berikut:
(a) kementerian/ jabatan yang mempunyai kekosongan jawatan dan memerlukan calon dari kalangan bekas tentera hendaklah memaklumkan kepada Suruhanjaya bagi tujuan pengiklanan;

(b) Suruhanjaya hendaklah memanjangkan iklan pengambilan kepada Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV), Kementerian Pertahanan melalui apa-apa kaedah yang sesuai. Sekiranya pengiklanan dibuat secara online, JHEV, Kementerian Pertahanan hendaklah memaklumkan kepada calon supaya membuat permohonan secara online kepada Suruhanjaya;

(c) Suruhanjaya jika perlu, memasukkan keperluan tambahan dalam iklan pengambilan, antaranya seperti berikut:
(i) dokumen yang mengesahkan status calon sebagai bekas tentera iaitu Kad Bekas Tentera; dan
(ii) dokumen yang mengesahkan tempoh keseluruhan perkhidmatan dan tempoh setiap jenis pengalaman yang
dimiliki oleh calon semasa berkhidmat dengan ATM seperti Folder Pengakuan Perkhidmatan Anggota (BAT D 86 untuk Pegawai dan BAT D 92 untuk Lain-Lain Pangkat);

(d) Suruhanjaya semasa membuat tapisan dan pemilihan, hendaklah memberi keutamaan kepada bekas tentera jika meritnya adalah sama dengan pemohon lain; dan

(e) Suruhanjaya hendaklah menentukan gaji permulaan yang layak ditawarkan kepada calon yang berjaya mengikut kaedah penetapan gaji permulaan yang telah dijelaskan di atas.

 

 

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, pemakaian Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada perkhidmatan awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Pekeliling Perkhidmatan ini tidak terpakai bagi pelantikan pesara tentera yang dilantik secara kontrak untuk berkhidmat ke dalam perkhidmatan awam. Sebaliknya pelantikan pesara tentera hendaklah dibuat secara kontrak mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 2 Tahun 2008 – Dasar dan Prosedur Pelantikan Secara Kontrak (Contract of Service) serta peraturan-peraturan lain yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

Pembatalan

Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2001 adalah dibatalkan.

PP Bil.02/2011 Pekeliling Dasar Dan Prosedur Pelantikan Bekas Tentera Ke Dalam Perkhidmatan Awam

Secara ringkasnya, bertujuan untuk menjelaskan dasar dan prosedur bagi menguruskan pelantikan bekas tentera ke dalam perkhidmatan awam supaya pelaksanaannya lebih teratur dan seragam.

Nama Pekeliling : Dasar Dan Prosedur Pelantikan Bekas Tentera Ke Dalam Perkhidmatan Awam

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.02/2011 Pekeliling Dasar Dan Prosedur Pelantikan Bekas Tentera Ke Dalam Perkhidmatan Awam

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!