PP Bil.02/2010 Pekeliling Pindaan Dasar Penangguhan Balik Pelajar-pelajar Tajaan Kerajaan Di Luar Negara

Tujuan Pindaan Dasar Penangguhan Balik Pelajar-pelajar Tajaan Kerajaan Di Luar Negara

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk memaklumkan pindaan dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan bagi penangguhan balik pelajar tajaan Kerajaan di luar negara.

Definisi

Bagi tujuan Pekeliling Perkhidmatan ini:
Agensi penajaan Kerajaan bermaksud agensi atau jabatan Kerajaan Persekutuan yang telah diberi kuasa untuk menaja pelajar-pelajar mengikuti pengajian di luar negara.

Penangguhan balik pelajar tajaan Kerajaan di luar negara bermaksud kelulusan yang diberi kepada pelajar-pelajar tajaan Kerajaan yang telah menamatkan pengajian di luar negara untuk menangguhkan kepulangan ke Malaysia atas sebab yang dibenarkan.

Latar Belakang

Dasar penangguhan balik pelajar tajaan Kerajaan di luar negara telah dijelaskan dalam Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2007 bertajuk Dasar Penangguhan Balik Pelajar-pelajar Tajaan Kerajaan Di Luar
Negara. Surat Pekeliling Perkhidmatan tersebut menetapkan bahawa pelajarpelajar perubatan, pergigian dan farmasi yang ditaja oleh agensi penajaan Kerajaan sama ada secara Biasiswa atau Pinjaman Pelajaran hendaklah kembali ke Malaysia untuk menjalani housemanship sebaik sahaja menamatkan pengajian.

Selain itu, pelajar-pelajar perubatan, pergigian dan farmasi yang ditaja dengan biasiswa hanya dibenarkan untuk memohon penangguhan kepulangan atas sebab-sebab berikut :

i) melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran; atau
ii) menunggu pasangan (suami/isteri) yang ditaja oleh agensi
Kerajaan untuk menamatkan pengajian.

Namun, permohonan tersebut perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan termasuk mendapat perakuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia terlebih dahulu dan permohonan tersebut tertakluk kepada kelulusan Kerajaan.

Walau bagaimanapun, Kerajaan berpandangan bahawa dengan mengambil kira bidang-bidang tertentu yang amat diperlukan oleh negara, pelajar-pelajar di dalam bidang tersebut perlu kembali ke tanah air untuk menyumbang khidmat bakti mereka kepada masyarakat dan negara bagi memastikan penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat tidak terjejas.

Pelbagai pihak tidak bersetuju dengan dasar penangguhan balik sedia ada yang memberi kebenaran kepada pelajar-pelajar tajaan Kerajaan untuk menangguhkan kepulangan mereka selepas tamat pengajian. Walaupun Kerajaan telah mengambil beberapa tindakan antaranya menghantar peringatan kepada pelajar-pelajar tajaan serta penjamin-penjamin masing-masing agar pulang ke Malaysia untuk berkhidmat dengan Kerajaan dan mengemukakan notis amaran mengenai tindakan undang-undang berdasarkan perjanjian sekiranya pelajar gagal balik ke Malaysia, namun masyarakat masih mempunyai persepsi yang negatif terhadap ketegasan pihak Kerajaan di dalam menguat kuasakan perjanjian bagi menangani isu pelajar-pelajar yang tidak balik ke Malaysia.

Sehubungan itu, Kerajaan telah memutuskan supaya dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan bagi penangguhan balik pelajar tajaan Kerajaan di luar negara di bawah Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun
2007 dikaji semula.

Pelaksanaan

Selaras dengan keputusan seperti di perenggan 7, mulai kuat kuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini pelajar-pelajar di dalam kesemua bidang pengajian yang ditaja dengan biasiswa adalah tidak dibenarkan untuk membuat sebarang
penangguhan balik di atas apa jua alasan sekalipun.

Pelajar-pelajar perubatan, pergigian dan farmasi yang ditaja oleh agensi penajaan Kerajaan sama ada secara Biasiswa atau Pinjaman Pelajaran hendaklah kembali ke Malaysia untuk menjalani housemanship setelah tamat pengajian.

Pelajar-pelajar di dalam bidang kritikal akan mempunyai peluang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat kepakaran dan sub-kepakaran semasa mereka berkhidmat kelak.

Di samping itu, pihak Kerajaan sendiri sememangnya tidak membenarkan pelajar untuk berkahwin semasa di dalam tempoh pengajian kecuali dengan kebenaran Kerajaan dan sebarang risiko yang dihadapi berhubung ketetapan yang disyaratkan oleh pihak penaja hendaklah dipatuhi sepenuhnya termasuklah mematuhi arahan balik ke Malaysia serta-merta. Makluman awal diberikan oleh agensi penajaan Kerajaan kepada semua pelajar yang telah berkahwin dan mempunyai pasangan yang masih di dalam pengajian bahawa tiada lagi kebenaran penangguhan balik untuk menunggu pasangan diberikan.

Pelajar-pelajar yang ditaja secara pinjaman pelajaran, sama ada bagi bidang kritikal ataupun bukan kritikal dibenarkan untuk membuat penangguhan balik bergantung kepada pertimbangan oleh pihak Kerajaan. Di samping itu, penguatkuasaan dari segi arahan lapor diri dan memastikan pelajar membuat pembayaran balik pinjaman perlu diberi penekanan dan usaha ke atas penguatkuasaan itu dipertingkatkan.

 

Pembatalan

Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, dasar penangguhan balik pelajar tajaan Kerajaan di luar negara seperti di Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 4 Tahun 2007 adalah dibatalkan.

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan berkaitan dengan Pekeliling Perkhidmatan ini hendaklah dirujuk kepada:

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam
Jabatan Perkhidmatan Awam
Bahagian Pembangunan Modal Insan
Aras 6, Blok C1, Kompleks C
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
62510 PUTRAJAYA.

No Telefon : 03-88853000/03-88854000
Faks : 03-88810743
Email : dasarlatihan@jpa.gov.my

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai daripada tarikh ianya dikeluarkan.

Pemakaian

Peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan tertakluk kepada penerimaan oleh pihak berkuasa masing-masing.

PP Bil.02/2010 Pekeliling Pindaan Dasar Penangguhan Balik Pelajar-pelajar Tajaan Kerajaan Di Luar Negara

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan pindaan dasar yang telah ditetapkan oleh Kerajaan bagi penangguhan balik pelajar tajaan Kerajaan di luar negara.

Nama Pekeliling : Pindaan Dasar Penangguhan Balik Pelajar-pelajar Tajaan Kerajaan Di Luar Negara

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.02/2010 Pekeliling Pindaan Dasar Penangguhan Balik Pelajar-pelajar Tajaan Kerajaan Di Luar Negara

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment