SPP Bil.02/2010 Pekeliling Pelaksanaan Modul Pengurusan Saraan, Faedah Dan Ganjaran – Submodul Pengurusan Cuti

Tujuan Pekeliling Pelaksanaan Modul Pengurusan Saraan, Faedah Dan Ganjaran – Submodul Pengurusan Cuti dikeluarkan

Surat Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan menjelaskan tindakan yang perlu diambil dalam melaksanakan Modul Pengurusan Saraan, Faedah dan Ganjaran – Submodul Pengurusan Cuti dalam Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2005.

Latar Belakang

Dasar pengurusan cuti Perkhidmatan Awam pada masa ini adalah berdasarkan Perintah Am Bab C, pekeliling perkhidmatan, surat pekeliling perkhidmatan dan surat edaran yang berkuat kuasa atau pindaannya dari semasa ke semasa. Permohonan dikemukakan secara manual sama ada menggunakan borang khas atau surat permohonan cuti oleh pegawai; atau menggunakan sistem cuti agensi masing-masing. Selaras dengan usaha untuk mewujudkan pengurusan sumber manusia yang lebih efisien, semua proses permohonan cuti kini boleh dilakukan secara dalam talian sepenuhnya menggunakan HRMIS.

Submodul Pengurusan Cuti adalah satu daripada lapan submodul di bawah Modul Pengurusan Saraan, Faedah dan Ganjaran aplikasi HRMIS. Submodul ini menyediakan fungsi pengurusan cuti secara dalam talian bagi semua jenis cuti yang diperuntukkan dalam peraturan-peraturan perkhidmatan awam semasa.

Penerangan mengenai fungsi-fungsi yang terdapat dalam Submodul Pengurusan Cuti adalah seperti di Lampiran A.

Dasar Umum Pelaksanaan Submodul Pengurusan Cuti

Submodul Pengurusan Cuti dibangunkan berasaskan dasar dan peraturan perkhidmatan awam yang sedang berkuat kuasa. Oleh itu kelayakan cuti pegawai adalah seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan-peraturan perkhidmatan awam semasa.

Aliran proses yang dibina dalam submodul ini adalah menjadi prosedur standard untuk diterima pakai oleh semua agensi sektor awam. Pelaksanaan submodul ini melibatkan peralihan dari amalan semasa kepada sistem pengurusan cuti secara elektronik melalui HRMIS.

Maklumat yang dijana melalui pelaksanaan submodul ini akan digunakan sebagai maklumat rasmi dalam semua urusan sumber manusia termasuk pengiraan faedah persaraan seperti pemberian wang tunai Gantian Cuti Rehat.

Pelaksanaan

Persediaan Pelaksanaan

Agensi hendaklah mengambil tindakan awal seperti berikut sebelum Submodul Pengurusan Cuti dilaksanakan :

(a) melaksanakan Modul Data Perjawatan dan Modul Pengurusan Rekod Peribadi HRMIS;
(b) melengkapkan maklumat terkini Profil Perkhidmatan Pemilik Kompetensi; dan                                                              (c) mengemas kini rekod cuti yang berkaitan bagi tujuan penentuan kelayakan cuti pegawai.

Agensi juga perlu mengambil tindakan berikut:

(a) menubuhkan Pasukan Petugas Pelaksanaan Submodul Pengurusan Cuti bagi menyelaraskan pelaksanaan submodul tersebut. Keahlian perlu terdiri daripada pegawai-pegawai yang terlibat secara langsung dalam pengurusan cuti. Pasukan ini akan berperanan sebagai jurulatih, agen perubahan dan penyelaras pelaksanaan seperti penetapan peranan dan penetapan aliran kerja bagi proses cuti;
(b) menyediakan pelan dan pendekatan pelaksanaan di peringkat agensi;
(c) mengenal pasti pegawai bertanggungjawab bagi setiap peranan mengikut fungsi yang telah ditetapkan seperti di Lampiran A; dan
(d) membuat penyesuaian tugas dan mengemas kini senarai tugas serta fail meja pegawai mengikut peranan dan tanggungjawab pelaksanaan HRMIS.

Panduan Pelaksanaan

Pelaksanaan Submodul Pengurusan Cuti secara dalam talian hendaklah dibuat mengikut Panduan Pelaksanaan Modul Pengurusan Saraan, Faedah dan Ganjaran – Submodul Pengurusan Cuti dan Panduan Pengguna Modul Pengurusan Saraan, Faedah dan Ganjaran – Submodul Pengurusan Cuti yang boleh di muat turun dari laman web JPA di alamat www.jpa.gov.my. Panduan ini mengandungi langkah-langkah pelaksanaan serta tatacara menguruskan cuti secara dalam talian melalui HRMIS.

 

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Surat Pekeliling Perkhidmatan ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

SPP Bil.02/2010 Pekeliling Pelaksanaan Modul Pengurusan Saraan, Faedah Dan Ganjaran – Submodul Pengurusan Cuti

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan menjelaskan tindakan yang perlu diambil dalam melaksanakan Modul Pengurusan Saraan, Faedah dan Ganjaran – Submodul Pengurusan Cuti dalam Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) mengikut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2005.

Nama Pekeliling : Pelaksanaan Modul Pengurusan Saraan, Faedah Dan Ganjaran – Submodul Pengurusan Cuti

Format Fail : PDF

Download :SPP Bil.02/2010 Pekeliling Pelaksanaan Modul Pengurusan Saraan, Faedah Dan Ganjaran – Submodul Pengurusan Cuti

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment