PP Bil.01/2011 Pekeliling Kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia Bagi Maksud Pelantikan Ke Perkhidmatan Awam

Tujuan Pekeliling Kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia Bagi Maksud Pelantikan Ke Perkhidmatan Awam dikeluarkan

Pekeliling Perkhidmatan ini bertujuan untuk memaklumkan kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia bagi maksud pelantikan ke perkhidmatan awam.

Latar Belakang

Kerajaan melalui Bajet 2010 dan Rancangan Malaysia KeSepuluh (RMK-10) memberi penekanan terhadap usaha melahirkan modal insan berkemahiran tinggi. Sehubungan itu, Kementerian Pelajaran Malaysia di bawah transformasi pendidikan vokasional dan teknik serta Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber
Manusia di bawah Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 dipertanggungjawab untuk melahirkan lulusan aliran kemahiran bagi keperluan industri khususnya. Namun begitu, sebagai mendokong inisiatif melahirkan lulusan aliran kemahiran tersebut, perkhidmatan awam turut bertanggungjawab untuk memastikan nilai pasaran mereka diiktiraf dengan membolehkan pelantikan ke jawatan-jawatan bersesuaian dalam perkhidmatan awam.

Dasar Baru

Kerajaan mengambil maklum akan kepelbagaian kelayakan serta bidang SKM yang ditawarkan oleh institusi latihan awam dan swasta yang mana objektif utama adalah bagi keperluan pasaran industri. Bagi tujuan pelantikan ke perkhidmatan awam pula, peruntukan kelayakan SKM ini adalah berdasarkan kepada bidang-bidang yang dipersetujui pihak ketua-ketua perkhidmatan yang berkenaan mengambil kira kesesuaian kelayakan tersebut dalam melaksanakan skop fungsi bidang tugas yang diperlukan oleh perkhidmatan berkaitan.

Pada masa ini kelayakan SKM Tahap 2 telah diperuntukkan sebagai salah satu syarat lantikan bagi skim perkhidmatan Pengajar Kraf, Pembantu Pegawai Latihan Vokasional, Tukang Masak, Penyelia Jurupakaian, Tukang K1, Tukang K2 dan Tukang K3. Sebagai memperluaskan pasaran lulusan aliran kemahiran dalam perkhidmatan awam, Kerajaan bersetuju supaya kelayakan SKM Tahap 3 turut diperuntukkan sebagai salah satu syarat lantikan ke skim-skim perkhidmatan yang telah dikenal pasti bersesuaian. Senarai skim perkhidmatan tersebut adalah seperti
berikut:
(a) Pemeriksa Kereta Motor Gred A17;
(b) Ahli Muzik Gred B17;
(c) Ahli Fotografi Gred B17;
(d) Jurusolek Gred B17;
(e) Pengajar Kraf Gred E17;
(f) Pembantu Pegawai Latihan Gred E17;
(g) Juruteknik Komputer Gred FT17;
(h) Pembantu Perikanan Gred G17;
(i) Penyelia Rancangan Tanah Gred G17;
(j) Pelukis Pelan Gred J17;
(k) Pembantu Pegawai Latihan Vokasional Gred J17;
(l) Penyelia Jurupakaian Ged N17; dan
(m) Juruaudio Visual Gred N17.

Butir terperinci mengenai syarat lantikan serta bidang pengkhususan SKM bagi 13 skim perkhidmatan tersebut adalah seperti di Lampiran A dan A1. Lain-lain perbekalan serta syarat yang terdapat dalam skim-skim perkhidmatan ini adalah kekal sebagaimana berkuat kuasa.

Peruntukan kelayakan SKM dalam skim-skim perkhidmatan di atas adalah bagi maksud lantikan di kalangan calon baru atau pelantikan pegawai sedang berkhidmat secara Kenaikan Pangkat Secara Lantikan.

Pelaksanaan

Pelantikan

Semua pelantikan ke skim perkhidmatan yang di nyatakan di perenggan 4 hendaklah menggunapakai syarat lantikan baru yang ditetapkan dalam pekeliling perkhidmatan ini.

Pelarasan Gaji Bagi Pegawai Sedang Berkhidmat

Bagi pegawai sedang berkhidmat yang memiliki kelayakan SKM di dalam bidang khusus yang dinyatakan sebagai syarat lantikan baru dalam skim perkhidmatannya dan gajinya belum mencapai matagaji permulaan baru pada 1 Januari 2011, maka pelarasan gaji hendaklah diberi ke matagaji permulaan baru pada tarikh kuat kuasa berkenaan. Pelarasan gaji ini hanya diberi kepada pegawai yang belum mencapai matagaji permulaan baru pada 1 Januari 2011.

Walaubagaimanapun, bagi pegawai yang Tarikh Pergerakan Gaji Tahunannya pada 1 Januari 2011, mereka hendaklah diberi pelarasan gaji terlebih dahulu ke matagaji permulaan baru mengikut pekeliling perkhidmatan ini. Seterusnya pegawai akan diberi Pergerakan Gaji Tahunannya mengikut keputusan Panel Pembangunan
Sumber Manusia. Contoh kaedah pelarasan gaji ke matagaji permulaan baru bagi pegawai sedang berkhidmat dalam skim perkhidmatan berkaitan adalah seperti lambiran B.

Tarikh Pergerakan Gaji

Tarikh Pergerakan Gaji (TPG) bagi pegawai yang terlibat dalam urusan ini kekal mengikut TPG asal.

 

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Perkhidmatan ini berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaanya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling Perkhidmatan ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun dan Pihak Berkuasa Tempatan.

PP Bil.01/2011 Pekeliling Kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia Bagi Maksud Pelantikan Ke Perkhidmatan Awam

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia bagi maksud pelantikan ke perkhidmatan awam.

Nama Pekeliling : Kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia Bagi Maksud Pelantikan Ke Perkhidmatan Awam

Format Fail : PDF

Download : PP Bil.01/2011 Pekeliling Kelayakan Sijil Kemahiran Malaysia Bagi Maksud Pelantikan Ke Perkhidmatan Awam

Oleh : Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia

Add Comment