PM Bil.03/2017 Pekeliling Tatacara Pendaftaran dan Caruman Bagi Sistem Insurans Pekerjaan

PM Bil.03/2017 Pekeliling Tatacara Pendaftaran dan Caruman Bagi Sistem Insurans PekerjaanTujuan Pekeliling Tatacara Pendaftaran dan Caruman Bagi Sistem Insurans Pekerjaan dikeluarkan

Pekeliling Majikan ini bertujuan menjelaskan kepada majikan berkenaan Sistem Insurans Pekerjaan termasuk liputan, kadar caruman dan tatacara pendaftaran serta caruman menerusi Portal ASSIST PERKESO yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2018.

Latar Belakang

Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) telah dipersetujui oleh Kerajaan pada 17 Mac 2017. Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) juga telah diluluskan oleh Parlimen pada 18 Disember 2017 dan akan dikuatkuasakan mulai  1 Januari 2018.

SIP merupakan satu jaringan keselamatan sosial bertujuan membantu golongan pekerja yang kehilangan pekerjaan. Selain bantuan kewangan, dasar pasaran buruh yang aktif (ALMP) akan dijadikan komponen penting di dalam SIP seperti program latihan, insentif pekerjaan, bantuan carian pekerjaan dan sebagainya bertujuan membantu Orang Berinsurans (0B) yang kehilangan pekerjaan kembali semula bekerja dengan kadar segera. Program ALMP juga
akan meningkatkan aktiviti ekonomi negara melalui mekanisme pasaran buruh yang lebih efisien.

Liputan

Akta SIP 2017 terpakai kepada semua perusahaan yang mempunyai satu atau lebih pekerja. Kategori yang akan dikecualikan daripada liputan SIP ialah pekerja asing serta mereka yang disenaraikan di bawah subseksyen
2(2), Jadual Pertama Akta SIP 2017.

Kadar Caruman

Kadar caruman bagi SIP adalah tertakluk kepada seksyen 18, Jadual Kedua Akta SIP 2017 seperti di Lampiran 1.

Definisi Gaji

Definisi `Gaji’ adalah sama seperti Akta Keselamatan Sosial Pekerja (AKSP) 1969, iaitu termasuk apa-apa bayaran berkenaan dengan cuti, hari kelepasan, lebih masa dan kerja tambahan pada hari kelepasan tetapi tidak
termasuk:

  1. apa-apa caruman yang kena dibayar oleh majikan itu kepada mana- mana kumpulan wang pencen, kumpulan wang keselamatan sosial atau kumpulan wang simpanan;
  2. apa-apa elaun perjalanan atau nilai apa-apa konsesi perjalanan;
  3. apa-apa jumlah wang yang dibayar kepada pekerja itu bagi membayar belanja khas yang dilakukan hasil daripada pekerjaannya;
  4. apa-apa ganjaran yang kena dibayar apabila berhenti bekerja atau bersara;
  5. apa-apa bonus tahunan; dan
  6. apa-apa faedah di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang ditadbir oleh Pertubuhan.

Tatacara Pendaftaran ajikan dan Pekerja (Januari 2018 hingga Februari 2018)

Majikan yang berhasrat membuat pendaftaran baru SIP majikan atau pekerja (seksyen 14 dan 16, Akta SIP 2017) atau pemberitahuan pendaftaran majikan atau pekerja (seksyen 15 dan 17, Akta SIP 2017) sebelum Februari 2018, adalah dikehendaki melakukannya di kaunter Pejabat PERKESO secara manual dengan menggunakan Borang SIP1 dan Borang SIP2. Manakala bagi majikan yang telah berdaftar di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan hendaklah membuat pengesahan pendaftaran menggunakan Borang SIP1A dan Borang SIP2A. Borang-borang ini boleh dimuaturun di www.perkeso.gov.my/sip

Tatacara pendaftaran selepas Februari 2018 adalah secara dalam talian (online), sama seperti yang dilaksanakan bagi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969.

Majikan hendaklah terlebih dahulu mendaftar ID Portal ASSIST PERKESO, sebelum dibenarkan menggunakan Portal ASSIST PERKESO.

Pendaftaran ID boleh dibuat di mana-mana Pejabat PERKESO atau menghantar borang permohonan menerusi emel ke alamat idportal@perkeso.gov.my atau pos atau faks ke Pejabat PERKESO berkaitan. Borang permohonan ini boleh dimuat turun daripada laman sesawang PERKESO di www.perkeso.gov.my

Tatacara Pembayaran Caruman (Mulai Februaru 2018)

Mulai Febuari 2018, majikan boleh menggunakan ID yang dibekalkan untuk login ke Portal ASSIST PERKESO untuk melengkapkan jadual caruman menggunakan format yang disediakan dalam portal tersebut.

Setelah melengkapkan pengisian jadual caruman, ECR (Employment Insurance System Contribution Received) dijana secara automatik sebagai rujukan untuk membayar caruman sama ada melalui Portal ASSIST PERKESO, bank pemungut atau Pejabat PERKESO.

Majikan juga boleh muatnaik maklumat caruman secara texffile mengikut format yang ditetapkan oleh PERKESO.

Tanpa ECR, majikan tidak boleh membuat bayaran caruman kerana ianya merupakan penghubung antara maklumat jadual caruman dengan bayaran caruman.

Majikan juga boleh membuat bayaran caruman dan melengkapkan jadual caruman melalui perbankan Internet (online banking menerusi bank-bank yang telah dilantik.

Bagi majikan yang ingin membuat bayaran mengunakan cek, wang pos atau kiriman wang, maklumat seperti di bawah perlu dipatuhi:

  1. Bertarikh semasa atau dalam tempoh sah laku;
  2. Dibayar atas nama Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial atau Pertubuhan Keselamatan Sosial atau PERKESO;
  3. Jumlah bayaran dalam angka hendaklah sama dengan jumlah dalam perkataan;
  4. Telah ditandatangani dengan sempurna;
  5. Tiada sebarang pindaan pada medium bayaran.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Majikan ini adalah berkuatkuasa mulai 1 Januari 2018, dan tertakluk kepada pindaan yang akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pemakaian

Pengemukaan (submission) jadual caruman melalui Portal ASSIST PERKESO dan bayaran caruman SIP menggunakan ECR adalah berkuatkuasa mulai bulan Februari 2018.

Selaras dengan itu, majikan tidak lagi dibenarkan mengemukakan jadual caruman secara fizikal di bank pemungut ataupun Pejabat PERKESO.

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan berhubung dengan pekeliling ini hendaklah dikemukakan kepada Pusat Khidmat Pelanggan PERKESO di talian 1300 22 8000 atau hadir ke Pejabat PERKESO yang berdekatan.

PM Bil.03/2017 Pekeliling Tatacara Pendaftaran dan Caruman Bagi Sistem Insurans Pekerjaan

Secara ringkasnya, pekeliling ini mengisahkan tentang Sistem Insurans Pekerjaan termasuk liputan, kadar caruman dan tatacara pendaftaran serta caruman menerusi Portal ASSIST PERKESO yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari 2018.

Nama Pekeliling : PM Bil.03/2017 Pekeliling Tatacara Pendaftaran dan Caruman Bagi Sistem Insurans Pekerjaan

Format Fail : PDF

Download : 

Oleh :Ketua Eksekutif Pertubuhan Keselamatan Sosial

Add Comment

error: Content is protected !!