PKSKPDKT Bil.05/2008 Pekeliling Pelaksanaan Program Bumi Hijau Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT))

Tujuan Pekeliling Pelaksanaan Program Bumi Hijau Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)) dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan dan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang pelaksanaan Program Bumi Hijau.

Latar Belakang

Mesyuarat Majlis Menangani Inflasi Bil.4/2008 pada 28 Julai 2008 yang dipengerusikan oleh Y.A.B. Perdana Menteri telah mencadangkan supaya Program Bumi Hijau diaktifkan semula bagi mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah akibat kesan daripada kenaikan harga minyak dan barangan.

Selain daripada menjadi sumber untuk bekalan hasil-hasil pertanian bagi kegunaan sendiri ataupun dijual, Program Bumi Hijau merupakan langkah yang boleh dilaksanakan bagi menghijau dan mengindahkan lagi kawasan persekitaran.

Tindakan Oleh PBT

Bagi melaksanakan arahan ini, PBT adalah diminta untuk melaksanakan tindakan-tindakan seperti berikut:

Kawasan Tanaman

(i) mengenal pasti tanah-tanah kosong seperti tanah rezab dan kawasan lapang atau kawasan rentis Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk diusahakan sebagai edible garden dengan syarat mendapat kebenaran tuan punya tanah atau pihak berkuasa tertentu seperti Pejabat Tanah dan lain-lain;
(ii) mengenal pasti tanah-tanah kosong di sekitar pejabat PBT yang boleh diusahakan sebagai edible garden;
(iii) menggalakkan penduduk setempat melalui jawatankuasa penduduk untuk mengusahakan edible garden khususnya di sudut kawasan kediaman masing-masing termasuklah kawasan di luar rumah berhadapan kediaman penduduk;
(iv) mengenal pasti kawasan-kawasan yang terkawal dan tidak boleh digunakan untuk aktiviti bercucuk tanam bagi mengelak masalah kacau ganggu seperti rezab jalan raya yang boleh menyukarkan pemotongan rumput;
(v) penguatkuasaan hendaklah dilakukan untuk memastikan kepatuhan kepada undang-undang dan kawasan PBT berada dalam keadaan sempurna;

Pemasaran

(vi) mewujudkan pusat jualan seperti pasar tani, pasar pagi, pasar malam, atau kiosk sementara sempena Hari Bertemu Pelanggan bagi memasarkan lebihan hasil pertanian secara kecil-kecilan;
(vii) menggalakkan pemasaran dan penjualan hasil pertanian dengan memberi kelonggaran kepada penjual, terutamanya semasa musim buah-buahan untuk menjual hasil pertanian mereka yang berlebihan. Kawasan-kawasan seperti di halaman masjid dan taman awam juga boleh dijadikan sebagai tapak berniaga selagi kebersihan dapat dipelihara;
(viii) mengurangkan kadar sewa tapak dan menambah petak serta masa perniagaan bagi perniagaan hasil-hasil pertanian;

Aktiviti-aktiviti Sokongan dan Publisiti

(ix) menyelaras penglibatan agensi sokongan khususnya Jabatan Pertanian Negeri dan Daerah, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Persatuan Peladang dari segi khidmat nasihat, bekalan benih, racun serangga dan baja;
(x) mengadakan program gotong-royong dari semasa ke semasa bersama Ahli Majlis, jawatankuasa penduduk dan juga pihak swasta bagi mengusahakan edible garden di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti ;
(xi) menggalakkan penglibatan sektor swasta khususnya bagi membekalkan bahan-bahan sokongan pertanian seperti polybag, kotak hidroponik, pasu, racun serangga dan baja;                                                                                          (xii) mengadakan pertandingan edible garden antara kawasan atau zon sebagai galakan dan promosi;dan
(xiii) program dan aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan edible garden dimasukkan dalam laman web PBT sebagai publisiti dan untuk dicontohi oleh penduduk di kawasan lain.

Pelaksanaan garis panduan di atas adalah untuk memastikan PBT dapat memainkan peranan dan sumbangan bagi mengaktifkan semula pelaksanaan Program Bumi Hijau sebagai usaha untuk mengurangkan kos perbelanjaan isi rumah akibat kesan daripada kenaikan harga minyak dan barangan.

Pembatalan

Dengan berkuatkuasanya Pekeliling Perkhidmatan ini, maka Surat Pekeliling Perkhidmatan dan perenggan dalam Pekeliling Perkhidmatan seperti yang berikut adalah dibatalkan:

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

Penutup

Pemakaian peruntukan pekeliling ini dipanjangkan kepada semua PBT.

PKSKPDKT Bil.05/2008 Pekeliling Pelaksanaan Program Bumi Hijau Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan dan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang pelaksanaan Program Bumi Hijau.

Nama Pekeliling : Pelaksanaan Program Bumi Hijau Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Format Fail : PDF

Download : Pelaksanaan Program Bumi Hijau Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT))

Oleh : Ketua Setiausaha Kementerian dan Kerajaan Tempatan

Add Comment