PKSKPDKT Bil.03/2008 Pekeliling Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT))

Tujuan Pekeliling Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan dan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang pengeluaran permit perniagaan kecil.

Latar Belakang

Ekoran daripada kenaikan harga minyak dan barangan, Kerajaan telah mengumumkan beberapa langkah untuk membantu meringankan beban rakyat dan salah satu daripadanya adalah pengeluaran permit perniagaan khusus kepada golongan berpendapatan rendah termasuk penjawat awam untuk menjalankan aktiviti perniagaan kecil seperti perniagaan pasar tani, pasar malam atau lain-lain perniagaan kecil yang bersesuaian dalam sesuatu kawasan PBT yang dibenarkan.

Tindakan Oleh PBT

Bagi melaksanakan arahan ini, PBT selaku pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam proses pengeluaran permit perniagaan di kawasan masing-masing adalah diminta untuk melaksanakan tindakan-tindakan seperti berikut:
(i) mempercepat dan mempermudahkan urusan mengeluarkan permit perniagaan kecil dan jika perlu memberikan kelonggaran kepada syarat-syarat sedia ada. Proses permohonan hendaklah mesra pelanggan seperti secara on-line bagi PBT yang sedia ada sistem tersebut, kaunter bergerak di tempat tumpuan ramai seperti di pusat
membeli-belah dan kaunter di PBT. Oleh kerana aktiviti perniagaan kecil tidak menimbulkan sebarang risiko, maka permit boleh dikeluarkan serta merta;
(ii) permit hendaklah dikeluarkan untuk suatu tempoh masa yang munasabah, iaitu antara 1 hingga 3 tahun sahaja. Tempoh masa ini hendaklah dikaji oleh PBT bagi menentukan sama ada ianya wajar disambung selepas tamat tempoh. Kadar bayaran untuk permit tersebut hendaklah pada kadar yang munasabah serta tidak membebankan
peniaga kecil;
(iii) perniagaan kecil yang dibenarkan adalah di kawasan-kawasan sedia ada sama ada pasar pagi, pasar malam, pasar tani, kiosk peniaga kecil atau pusat penjaja bergerak di kawasan yang dibenarkan sahaja. Bagi menggalakkan lagi perniagaan kecil ini, PBT boleh memanjangkan masa berniaga, memanjangkan tempoh hari berniaga seperti contoh dari 2 kali seminggu kepada 3 kali seminggu dan menambah petak-petak penjaja;
(iv) bayaran fi bagi memproses permohonan permit perniagaan kecil wajar dikecualikan;                                                (v) permit hendaklah dikeluarkan kepada warga negara Malaysia sahaja dan pemilik permit hendaklah berada di tempat berniaga sepanjang masa. Tindakan membatalkan permit tersebut wajar diambil ke atas warga negara Malaysia yang memindah milik permit perniagaan mereka kepada warga asing atau tidak menjalankan sendiri perniagaan tersebut;
(vi) jenis-jenis perniagaan dan penjaja kecil hendaklah yang tidak melibatkan kacau ganggu kepada masyarakat awam dan kawasan sekeliling;
(vii) mengadakan sesi dialog dan perbincangan dari semasa ke semasa bersama para peniaga kecil bagi menyampaikan perkara-perkara yang perlu dipatuhi oleh peniaga kecil serta mendapatkan maklum balas
berhubung pelaksanaan pengeluaran permit tersebut;
(viii) pemantauan dan penguatkuasaan hendaklah diambil dari semasa ke semasa bagi memastikan aktiviti perniagaan kecil ini tidak menimbulkan masalah kacau ganggu kepada orang awam; dan
(ix) oleh kerana pengeluaran permit perniagaan kecil turut melibatkan penjawat awam maka kelulusan Ketua Jabatan masing-masing hendaklah dijadikan sebagai dokumen sokongan bagi permohonan permit perniagaan kecil. Kelulusan Ketua Jabatan bagi melakukan pekerjaan luar adalah selaras dengan Peraturan 5, Peraturan-Peraturan
Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dan Peraturan- Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) Pindaan 2002.

Pelaksanaan garis panduan di atas adalah untuk memastikan PBT dapat memainkan peranan dan sumbangan bagi sama-sama membantu hasrat Kerajaan meringankan beban golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi kesan kenaikan harga minyak dan barangan.

 

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

Penutup

Pemakaian peruntukan pekeliling ini dipanjangkan kepada semua PBT.

PKSKPDKT Bil.03/2008 Pekeliling Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan dan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang pengeluaran permit perniagaan kecil.

Nama Pekeliling : Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Format Fail : PDF

Download : Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil Oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Oleh : Ketua Setiausaha Kementerian dan Kerajaan Tempatan

Add Comment

error: Content is protected !!