PKSKPDKT Bil.02/2008 Pekeliling Garis Panduan Penambahbaikan Pengeluaran Lesen Perniagaan Dan Lesen Komposit Hotel

Tujuan Pekeliling Garis Panduan Penambahbaikan Pengeluaran Lesen Perniagaan Dan Lesen Komposit Hotel dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan dan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang pelaksanaan penambahbaikan proses pengeluaran lesen perniagaan dan lesen komposit hotel. Garis Panduan Penambahbaikan Pengeluaran Lesen Perniagaan Dan Lesen Komposit Hotel adalah seperti di Lampiran kepada pekeliling ini.

Latar Belakang

Berdasarkan amalan semasa, peniaga hanya boleh memulakan perniagaan sebaik sahaja lesen perniagaan dikeluarkan oleh PBT. Tempoh masa kelulusan lesen perniagaan oleh PBT pada masa kini adalah antara 14 hingga 21 hari manakala pembaharuan lesen disiapkan serta merta. Malah dalam sesetengah kes, tempoh masa kelulusan perniagaan ini boleh berlanjutan sehingga 1 bulan ataupun lebih. Amalan ini menimbulkan kesulitan kepada peniaga kerana terpaksa menunggu sehingga lesen perniagaan dikeluarkan oleh PBT sebelum dapat memulakan perniagaan mereka, sedangkan deposit dan sewaan premis telah dibayar.

Mengikut amalan sekarang, setiap lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh PBT hanya sah dalam tempoh setahun sahaja dan akan tamat tempohnya pada 31 Disember setiap tahun. Tempoh sah laku ini agak singkat dan menimbulkan kesulitan kepada peniaga kerana perlu memperbaharui lesen perniagaan mereka sebelum 31 Disember setiap tahun. Di samping itu, ada lesen yang dikeluarkan, umpamanya pada bulan Ogos, September dan seterusnya masih dikenakan dengan kadar penuh, sedangkan mereka baru menjalankan perniagaan.

Lesen komposit hotel pula dikeluarkan mengikut jumlah lesen yang dipohon dan setiap lesen tertakluk kepada kadar bayaran tertentu seperti yang telah ditetapkan oleh PBT. Terdapat lebih kurang 15 jenis lesen yang perlu
dipohon di bawah lesen komposit hotel ini. Amalan ini juga menimbulkan kesulitan kepada pengusaha hotel kerana perlu mengenal pasti terlebih dahulu aktiviti-aktiviti perniagaan yang hendak dijalankan sebelum permohonan lesen komposit hotel dikemukakan kepada PBT. Sekiranya terdapat aktiviti-aktiviti perniagaan yang baru, pengusaha hotel perlu memohon lesen perniagaan yang baru dan akan digabungkan dengan aktiviti-aktiviti perniagaan terdahulu apabila permohonan pembaharuan lesen komposit hotel dikemukakan pada tahun berikutnya.

Cadangan Penambahbaikan

Dengan mengambil kira kelemahan dalam amalan sedia ada, maka 3 penambahbaikan telah dicadangkan seperti berikut:
(i) peniaga boleh terus memulakan perniagaan sebaik sahaja membuat permohonan lesen dan akuan penerimaan permohonan lesen perniagaan dikeluarkan oleh PBT;
(ii) tempoh sah laku lesen perniagaan dipanjangkan sehingga 3 tahun;dan
(iii) lesen komposit hotel dikeluarkan berdasarkan taraf bintang sesebuah hotel.

Ketiga-tiga penambahbaikan di atas telahpun diluluskan oleh mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan Ke-59 (MNKT Ke-59) pada 2 Oktober 2007.

Penggunaan Garis Panduan

Garis Panduan Penambahbaikan Pengeluaran Lesen Perniagaan Dan Lesen Komposit Hotel yang dilampirkan bersama pekeliling ini akan menerangkan tentang kaedah pelaksanaan ketiga-tiga penambahbaikan tersebut
yang antara lainnya meliputi perkara-perkara seperti berikut:
(i) carta alir proses kelulusan lesen perniagaan yang meliputi prosesproses utama yang terlibat serta tempoh masa yang ditetapkan;
(ii) jenis perniagaan yang boleh diberikan kelulusan di bawah penambahbaikan ini;
(iii) aktiviti-aktiviti perniagaan berdasarkan taraf bintang sesebuah hotel;
(iv) contoh borang permohonan lesen perniagaan yang seragam;
(v) contoh cadangan lesen komposit hotel;
(vi) keperluan PBT untuk meminda Undang-Undang Kecil (UUK) Tred, Perniagaan dan Perindustrian masing-masing bagi membolehkan tempoh sah laku lesen perniagaan dilanjutkan sehingga 3 tahun; dan                                      (vii) keperluan PBT untuk menyediakan satu jadual kadar bayaran lesen komposit hotel berdasarkan UUK masing-masing.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling ini berkuatkuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

Penutupan

Pemakaian peruntukan pekeliling ini dipanjangkan kepada semua PBT.

PKSKPDKT Bil.02/2008 Pekeliling Garis Panduan Penambahbaikan Pengeluaran Lesen Perniagaan Dan Lesen Komposit Hotel

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan dan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang pelaksanaan penambahbaikan proses pengeluaran lesen perniagaan dan lesen komposit hotel. Garis Panduan Penambahbaikan Pengeluaran Lesen Perniagaan Dan Lesen Komposit Hotel adalah seperti di Lampiran kepada pekeliling ini.

Nama Pekeliling : Garis Panduan Penambahbaikan Pengeluaran Lesen Perniagaan Dan Lesen Komposit Hotel

Format Fail : PDF

Download : PKSKPDKT Bil.02/2008 Pekeliling Garis Panduan Penambahbaikan Pengeluaran Lesen Perniagaan Dan Lesen Komposit Hotel

Oleh : Ketua Setiausaha Kementerian dan Kerajaan Tempatan

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!