PKSKPDKT Bil.01/2009 Pekeliling Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Dan Penjaja Makanan Di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Tujuan Pekeliling Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Dan Penjaja Makanan Di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan dan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang pelaksanaan Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Makanan Di Kawasan PBT.

Latar Belakang

Pada masa ini, Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Dan Penjaja Makanan diwajibkan kepada semua pengendali dan penjaja makanan sebelum lesen premis perniagaan restoran, kedai makan atau penjaja dikeluarkan atau diperbaharui oleh PBT. Kad perakuan menghadiri kursus dikeluarkan kepada pengusaha dan pengendali premis makanan dan sah laku adalah untuk tempoh 3 tahun sahaja. Selepas tempoh ini, pemegang kad diwajibkan menghadiri semula kursus ulangan sebagai syarat memperbaharui lesen. Walau bagaimanapun, peraturan sedia ada telah dikaji semula selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan dan menggalakkan sistem ‘self-regulation’.

Sehubungan dengan itu, mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan Tempatan Ke-61 (MNKT Ke-61) pada 2 Disember 2008 telah bersetuju supaya memansuhkan syarat Kursus Ulangan Latihan Asas Kebersihan Pengendali dan Penjaja Makanan bagi setiap tiga tahun untuk tujuan memperbaharui lesen perniagaan.

Tindakan Oleh PBT

Bagi melaksanakan keputusan MNKT Ke-61 ini, setiap PBT dikehendaki melaksanakan tindakan-tindakan seperti berikut:

(i) memastikan semua pengusaha dan pengendali makanan, iaitu setiap orang yang bekerja dalam aktiviti penjualan dan penyediaan makanan wajib menghadiri Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Makanan dan Penjaja Makanan sekali sahaja sama ada bagi tujuan memohon lesen perniagaan, memperbaharui lesen perniagaan atau bekerja di premis makanan. Sijil dikeluarkan bagi mereka yang mengikuti kursus tersebut dengan jayanya;

(ii) semua pengusaha dan pengendali makanan boleh menjalani Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali dan Penjaja Makanan oleh tenaga pengajar yang diiktiraf oleh Akademi Latihan Kebersihan dan Keselamatan Makanan (ALKEM) di Sekolah-Sekolah Latihan Pengendali Makanan (SLPM) di seluruh negara. Pada masa ini terdapat 93 buah SLPM yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia di seluruh negara;

(iii) para pengusaha dan pengendali makanan yang premis makanan mereka ditutup sementara kerana didapati kotor, perlu mengikuti kursus ulangan tersebut sebelum premis mereka dibenarkan beroperasi semula; dan

(iv) mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pengusaha dan pengendali makanan menjaga kebersihan premis makanan mereka.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling ini berkuat kuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan. Dengan berkuat kuasanya pekeliling ini, maka surat arahan pentadbiran dengan rujukan KPKT(02)697/3 Klt.3(1) bertarikh 10 Jun 1997 adalah terbatal.

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan dan penjelasan lanjut berhubung pekeliling ini boleh dikemukakan kepada:

Ketua Pengarah
Jabatan Kerajaan Tempatan
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
Aras 4, Blok K
Pusat Bandar Damansara
50782 Kuala Lumpur
(u.p.: Bahagian Kesihatan Persekitaran)
No. Telefon : 03-20947033 / 20874552
No. Fax : 03-20955180 / 20937320

Penutup

Pemakaian peruntukan pekeliling ini dipanjangkan kepada semua PBN dan PBT.

PKSKPDKT Bil.01/2009 Pekeliling Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Dan Penjaja Makanan Di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan memberi penjelasan dan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tentang pelaksanaan Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Makanan Di Kawasan PBT.

Nama Pekeliling : Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Dan Penjaja Makanan Di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Format Fail : PDF

Download :PKSKPDKT Bil.01/2009 Pekeliling Kursus Latihan Asas Kebersihan Pengendali Dan Penjaja Makanan Di Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Oleh : Ketua Setiausaha Kementerian dan Kerajaan Tempatan

Add Comment