Isi Kandungan Pekeliling
- Tujuan Pekeliling Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam dikeluarkan
- Definisi Inovasi
- Kategori Pemenang Anugerah Inovasi
- Bentuk Anugerah
- Kriteria-Kriteria Penilaian Untuk Mengiktiraf Sesuatu Perubahan Sebagai Inovasi
- Cara Pelaksanaan
- Tarikh Kuat Kuasa
- PKPA Bil.03/1991 Pekeliling Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam
Tujuan Pekeliling Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam dikeluarkan
Pekeliling ini adalah bertujuan untuk memaklumkan kepada agensi-agensi Kerajaan mengenai sistem pemberian Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam kepada agensi-agensi dan anggota-anggota Perkhidmatan Awam yang telah berjaya memperkenalkan sesuatu inovasi dalam sistem Perkhidmatan Awam.
Definisi Inovasi
Agensi-agensi Kerajaan adalah perlu memperkenalkan inovasi atau idea-idea baru dalam semua aspek kerja untuk menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti. Perubahan-perubahan ini boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti pengenalan teknologi yang baru, perubahan-perubahan prosedur yang boleh menjimatkan tenaga, masa dan kos, dan dengan itu meningkatkan penghasilan kerja
Kategori Pemenang Anugerah Inovasi
Kerajaan telah memutuskan untuk memberi pengiktirafan kepada hasil inovasi dalam Perkhidmatan Awam. Anugerah akan diberi kepada salah satu dari tiga kategori berikut:
a. Sesebuah agensi; atau,
b. Bahagian atau unit di bawah sesebuah agensi; atau,
c. Seseorang anggota sesebuah agensi, mengikut mana yang benar-benar terlibat dalam merancang dan melaksanakan sesuatu inovasi itu.
Bentuk Anugerah
Pemenang-pemenang Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam akan menerima:
a. Hadiah wang tunai sebanyak RM5,000.00 sekiranya pemenang tersebut adalah sesebuah agensi, bahagian atau unit; dan RM1,000.00 kepada seseorang individu; beserta
b. Sebuah cenderamata yang sesuai dengan cogankata “Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam Tahun……………….. “.
Maklumat mengenai sifat-sifat inovasi yang telah dihasilkan itu serta faedah-faedah yang diperolehi akan disiarkan dalam majalah KHIDMAT.
Kriteria-Kriteria Penilaian Untuk Mengiktiraf Sesuatu Perubahan Sebagai Inovasi
Kriteria-kriteria yang akan digunakan dalam penilaian faedah-faedah hasil sesuatu perubahan atau inovasi itu adalah seperti berikut:
a. Pengurangan kos operasi
Aspek yang akan dinilai di bawah kriteria ini ialah setakat mana pelaksanaan sesuatu perubahan atau inovasi itu telah mengurangkan kos operasi agensi berkenaan. Sebagai contoh, dengan mengemaskinikan banyak borang-borang yang digunakan kepada satu atau dua borang sahaja, sesebuah agensi itu akan dapat mengurangkan kos operasinya.
b. Penjimatan masa
Di bawah kriteria ini akan dinilai setakat mana sesuatu perubahan telah menjimatkan masa menjalankan sesuatu urusan. Sebagai contoh, penubuhan Pusat Pelaburan Setempat di Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia telah
mengurangkan masa pemprosesan permohonan-permohonan untuk lesen perkilangan. Pengenalan komputer mikro di Pejabat-pejabat Pos telah mengurangkan masa menunggu purata bagi mereka yang ingin menjelaskan bil.
c. Peningkatan hasil kerja
Di bawah kriteria ini akan dinilai setakat mana pelaksanaan sesuatu perubahan telah meningkatkan hasil kerja. Sebagai contoh, dengan membuat perubahan kepada prosedur-prosedur memeriksa kenderaan komersial, Jabatan
Pengangkutan Jalan telah berjaya, memeriksa lebih banyak kenderaan komersial setiap hari.
d. Peningkatan dalam tahap kepuasan hati pelanggan
Aspek yang akan dinilai di bawah kriteria ini ialah setakat mana sesuatu perubahan itu telah meningkatkan kepuasan hati pelanggan.
Cara Pelaksanaan
Unit Pemodenan Tadbiran Malaysia (MAMPU) akan bertindak sebagai Urusetia bagi Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam. Kementerian-kementerian dan Jabatan-jabatan adalah diminta untuk mengemukakan sebarang laporan tentang inovasi kepada urusetia untuk tindakan selanjutnya. Laporan yang dikemukakan
hendaklah mengandungi tiga perkara berikut:
a. Kedudukan sebelum inovasi dilaksanakan; b. Inovasi yang telah dilaksanakan; dan
c. Faedah-faedah dari inovasi yang telah dilaksanakan.
Satu Pasukan Pelawat yang dianggotai oleh wakil-wakil daripada agensi-agensi pusat akan melawat agensi berkenaan dan mengesahkan bahawa inovasi telah dilaksanakan dan faedah-faedah diperolehi. Panel Memajukan Pentadbiran Awam akan meneliti laporan yang dikemukakan oleh Panel Pelawat dan memutuskan kelayakan sesuatu inovasi yang dilaksanakan oleh agensi berkenaan untuk diberi Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam.
Tarikh Kuat Kuasa
Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam ini adalah dilaksanakan mulai daripada tahun ini.
PKPA Bil.03/1991 Pekeliling Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam
Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan kepada agensi-agensi Kerajaan mengenai sistem pemberian Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam kepada agensi-agensi dan anggota-anggota Perkhidmatan Awam yang telah berjaya memperkenalkan sesuatu inovasi dalam sistem Perkhidmatan Awam.
Nama Pekeliling : Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam
Format Fail : PDF
Download :PKPA Bil.03/1991 Pekeliling Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam
Oleh : Ketua Setiausaha Negara