PKPA Bil.02/2005 Pekeliling Garis Panduan Bagi Mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama Atau Key Performance Indicators (KPI) Dan Melaksanakan Pengukuran Prestasi Di Agensi Kerajaan

Tujuan Pekeliling Garis Panduan Bagi Mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama Atau Key Performance Indicators (KPI) Dan Melaksanakan Pengukuran Prestasi Di Agensi Kerajaan dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan untuk memberi penerangan dan panduan kepada Ketua Agensi mengenai strategi, pendekatan dan langkah-langkah bagi mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) dan melaksanakan pengukuran prestasi di agensi masing-masing. Garis Panduan Bagi Mewujudkan Petunjuk- Petunjuk Prestasi atau Key Performance Indicators (KPI) dan Melaksanakan Pengukuran Prestasi di Agensi Kerajaan adalah seperti di Lampiran kepada pekeliling ini.

Latar Belakang

Perkhidmatan Awam Malaysia boleh mencapai taraf dunia melalui pelaksanaan program-program yang memberi fokus kepada lima bidang, iaitu:
(a) minda dan sikap yang mengejar kecemerlangan;
(b) etika yang luhur;
(c) pembangunan tenaga manusia yang berpengetahuan dan mahir;
(d) budaya kerja yang berasaskan prestasi; dan
(e) daya kepimpinan yang kukuh.

Justeru, Kerajaan telah menyarankan supaya budaya kerja berasaskan prestasi diterapkan dalam Perkhidmatan Awam. Pelaksanaan budaya kerja berasaskan prestasi ini bertujuan untuk meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan agensi Kerajaan kepada pelanggan.

Beberapa usaha telah dilaksanakan sebelum ini yang menjurus kepada tujuan yang sama, meliputi inisiatif seperti pengukuran prestasi individu dan organisasi melalui Sasaran Kerja Tahunan (SKT), penilaian kompetensi di bawah Sistem Saraan Malaysia (SSM), pengukuran kecekapan Sistem Pengurusan Kualiti melalui pelaksanaan
MS ISO 9000 dan Pengurusan Kualiti Menyeluruh (TQM), keupayaan menyelesaikan masalah secara inovatif melalui Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) dan menanda aras amalan-amalan terbaik melalui pelaksanaan Anugerah-anugerah Kualiti Perkhidmatan Awam. Piagam Pelanggan juga telah diwujudkan di agensi Kerajaan
dan ia dijadikan standard kualiti perkhidmatan yang boleh diukur untuk menilai pencapaian dan prestasi sesebuah agensi.

Penggunaan Garis Panduan

Garis Panduan Bagi Mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) dan Melaksanakan Pengukuran Prestasi di Agensi Kerajaan yang dilampirkan bersama pekeliling ini bertujuan mewujudkan satu sistem pengukuran prestasi yang lebih teratur, lengkap dan menyeluruh. Garis panduan ini, antara lainnya, menerangkan mengenai perkara-perkara berikut:
(a) Model Pengukuran Prestasi Agensi Kerajaan Berasaskan Proses;
(b) Langkah-langkah mewujudkan KPI dan melaksanakan pengukuran prestasi di agensi Kerajaan; dan
(c) Strategi bagi mewujudkan KPI dan melaksanakan pengukuran prestasi di agensi Kerajaan.

Agensi Kerajaan yang telah melaksanakan MS ISO 9000 mempunyai asas dan pengalaman yang akan memudahkan agensi melaksanakan pekeliling ini. Di samping itu, pelaksanaan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) ini akan memantapkan dan melengkapkan lagi usaha-usaha pengukuran yang menjadi sebahagian keperluan
standard MS ISO 9000. Keperluan untuk mengukur prestasi yang terkandung dalam PKPA ini hendaklah dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali pada setiap suku tahun.

Pasukan Petugas Bagi Mengurangkan Karenah Birokrasi Kementerian adalah bertanggungjawab memantau pelaksanaan pengukuran prestasi di Kementerian dan agensi-agensi di bawah Kementerian. Pengukuran prestasi perlu dilaksanakan secara berterusan untuk meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan agensi
Kerajaan kepada pelanggan

 

Pemakaian

PKPA ini hendaklah dilaksanakan sepenuhnya di agensi barisan hadapan, khususnya agensi yang memberi perkhidmatan kaunter kepada orang ramai dan komuniti perdagangan dan perindustrian. Di samping itu, agensi-agensi selain agensi barisan hadapan juga digalakkan melaksanakan PKPA ini.

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan PKPA ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam ini berkuat kuasa mulai dari tarikh ianya dikeluarkan.

PKPA Bil.02/2005 Pekeliling Garis Panduan Bagi Mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama Atau Key Performance Indicators (KPI) Dan Melaksanakan Pengukuran Prestasi Di Agensi Kerajaan

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk memberi penerangan dan panduan kepada Ketua Agensi mengenai strategi, pendekatan dan langkah-langkah bagi mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama atau Key Performance Indicators (KPI) dan melaksanakan pengukuran prestasi di agensi masing-masing.

Nama Pekeliling : Garis Panduan Bagi Mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama Atau Key Performance Indicators (KPI) Dan Melaksanakan Pengukuran Prestasi Di Agensi Kerajaan

Format Fail : PDF

Download : PKPA Bil.02/2005 Pekeliling Garis Panduan Bagi Mewujudkan Petunjuk-Petunjuk Prestasi Utama Atau Key Performance Indicators (KPI) Dan Melaksanakan Pengukuran Prestasi Di Agensi Kerajaan

Oleh : Ketua Setiausaha Negara

Add Comment