PKPA Bil.02/2002 Pekeliling Garis Panduan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Awam

Tujuan Pekeliling Garis Panduan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Awam dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan menyediakan dasar dan kaedah bagi pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota Perkhidmatan Awam.

Latar Belakang

Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) merupakan penghargaan Kerajaan kepada anggota Perkhidmatan Awam yang telah memberi perkhidmatan yang cemerlang. Perkhidmatan cemerlang adalah perkhidmatan yang diberikan oleh seseorang anggota Perkhidmatan Awam yang mutu atau penghasilannya melebihi daripada keperluan tanggungjawab biasa bagi jawatannya. Perkhidmatan yang diberikan itu boleh dijadikan contoh dan ikutan, serta memberi pengaruh yang menggerakkan kecergasan bekerja dan daya usaha anggota Perkhidmatan Awam yang
lain.

Kerajaan telah melaksanakan Sistem Saraan Malaysia berkuatkuasa mulai 1 November 2002. Berikutan dengan pelaksanaan sistem ini, Kerajaan telah menetapkan supaya dasar dan kaedah pemberian APC diubahsuai sewajarnya. Dengan itu, mulai daripada tarikh keluarnya Pekeliling ini semua peraturan dan rujukan mengenai pemberian APC hendaklah menggunakan Pekeliling ini.

Dasar Dan Kaedah Baru Pemberian APC

Dasar dan kaedah baru pemberian APC adalah seperti berikut:

Kelayakan

Anggota yang layak dipertimbangkan untuk dipilih dan diberi APC adalah seperti berikut:
(a) anggota Perkhidmatan Awam dalam semua kumpulan, gred dan kategori yang dilantik oleh mana-mana pihak berkuasa melantik, termasuk pihak yang diwakilkan kuasa oleh pihak berkuasa melantik berkenaan, untuk berkhidmat dengan agensi awam sama ada secara tetap, sementara atau kontrak. Ini termasuk anggota yang berada di atas tangga gaji dan syarat-syarat perkhidmatan di bawah Laporan Jawatankuasa Kabinet 1976, Sistem Saraan Baru (SSB) dan Sistem Saraan Malaysia; dan
(b) telah berkhidmat bagi tempoh genap setahun penuh pada hari terakhir tahun penilaian.

Asas Penilaian

Pemilihan anggota yang layak adalah berpandukan kepada markah yang diperolehi dalam penilaian prestasi tahunan dengan menggunakan Borang Laporan Penilaian Prestasi Tahunan yang ditetapkan oleh Kerajaan. Anggota yang mendapat markah 85 peratus dan lebih adalah layak dipertimbangkan untuk menerima APC.

Anggota yang memenuhi syarat-syarat seperti di perenggan 5 dan 6 seterusnya layak dipertimbangkan untuk diberi APC oleh Panel Pembangunan Sumber Manusia (PPSM). Pemilihan di peringkat ini adalah berasaskan kepada penilaian PPSM ke atas sumbangan anggota berkenaan kepada organisasi, Perkhidmatan Awam, komuniti,
daerah, negeri, negara dan peringkat antarabangsa.

Bilangan Penerima

Bilangan penerima APC bagi setiap agensi tidak boleh melebihi 8 peratus daripada jumlah anggota yang sedang berkhidmat pada 31 Disember tahun penilaian berkenaan. Walau bagaimanapun had maksimum ini tidak semestinya dipenuhi jika jumlah anggota yang layak tidak mencukupi. Sekiranya pada tahun berkenaan tidak
ada yang layak menerima APC, maka agensi tidak perlu melaksanakan APC bagi tahun berkenaan.

Insentif dan Hadiah

Insentif dan hadiah APC adalah seperti berikut:
(a) Sijil Perkhidmatan Cemerlang;
(b) hadiah prestasi sebanyak RM1,000;
(c) peluang dan keutamaan untuk memajukan kerjaya seperti menghadiri kursus, seminar atau persidangan yang boleh menyumbang kepada peningkatan prestasi kerja;
(d) peluang dan keutamaan bagi pencalonan untuk menerima pingat, bintang dan darjah kebesaran Persekutuan dan negeri; dan
(e) nama dan gambar penerima dipamerkan di pejabat di lokasi yang strategik atau yang biasa dikunjungi orang ramai.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, peruntukan Pekeliling ini dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2003. Bagaimanapun oleh kerana borang laporan penilaian prestasi yang baru hanya akan digunapakai mulai tahun 2003, maka bagi tahun penilaian 2002, pemberian APC mengikut dasar dan kaedah baru di bawah Pekeliling ini hendaklah menggunakan asas penilaian prestasi anggota
berdasarkan borang laporan penilaian prestasi tahunan yang digunapakai untuk tahun 2002.

Pembatalan

Dengan berkuatkuasanya Pekeliling ini, Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bilangan 2 Tahun 1993 bertajuk “Garis Panduan Mengenai Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Perkhidmatan Awam” serta pindaan-pindaan yang berkaitan, iaitu Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2 Tahun 1993                                            (Pindaan No. 1/1993); Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2 Tahun 1993
(Pindaan No. 2/1993); Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2 Tahun 1993
(Pindaan No. 1/1995); Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2 Tahun 1993                                                             (Pindaan No. 1/1996) dan Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam Bil. 2 Tahun 1993
(Pindaan No. 1/2000) adalah dibatalkan.

 

PKPA Bil.02/2002 Pekeliling Garis Panduan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Awam

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan menyediakan dasar dan kaedah bagi pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada anggota Perkhidmatan Awam.

Nama Pekeliling : Garis Panduan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Awam

Format Fail : PDF

Download :PKPA Bil.02/2002 Pekeliling Garis Panduan Pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Anggota Perkhidmatan Awam

Oleh : Ketua Setiausaha Negara

Add Comment