PA Bil.03/2014 Pekeliling Pelaksanaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT

Pekeliling Am Bil 3 2014 Pelaksanaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT

Tujuan Pekeliling Pelaksanaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT

Pekeliling ini bertujuan untuk menjelaskan tentang pengurusan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (KWAICT).

Tafsiran

Takrifan yang digunakan dalam Pekeliling Am ini adalah seperti yang berikut:

(a) “Projek ICT” bagi maksud pekeliling ini merujuk kepada :

  • Pelaksanaan Kajian ICT

Pelaksanaan Kajian ICT merujuk kepada kajian dijalankan dalam pelbagai bidang ICT yang boleh menyumbang kepada peningkatan dan pemantapan sistem penyampaian perkhidmatan Kerajaan.

  • Pembangunan atau Peningkatan Sistem ICT

Pembangunan atau peningkatan sistem ICT merujuk kepada pembangunan atau peningkatan sistem aplikasi, infrastruktur ICT atau keselamatan ICT.

(b) “Pegawai Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat” merujuk kepada pegawai yang dilantik daripada klasifikasi perkhidmatan Sistem Maklumat (F) atau mengikut klasifikasi perkhidmatan semasa. Terdapat tiga skim perkhidmatan di bawah klasifikasi perkhidmatan Sistem Maklumat, iaitu Pegawai Teknologi Maklumat (PTM), Penolong Pegawai Teknologi Maklumat (PPTM) dan Juruteknik Komputer (JTK).

(c) “Pasukan Projek ICT” merujuk kepada satu kumpulan yang diwujudkan dalam kalangan pegawai skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan Projek ICT seperti yang dinyatakan pada perenggan 2(a) pekeliling ini. Pasukan Projek ICT juga boleh disertai oleh pakar bidang skim
perkhidmatan lain.

(d) “Penyelidikan dan Pembangunan ICT (R & D ICT)” merujuk kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang ICT yang berpotensi untuk menghasilkan produk ICT baharu atau menambah baik produk
ICT sedia ada.

(e) “Produk ICT” merupakan serahan setiap projek ICT sama ada dalam bentuk fizikal atau perkhidmatan.

Latar Belakang

Kerajaan telah menubuhkan KWAICT pada 13 Jun 2013 di bawah Seksyen 10 Akta Tatacara Kewangan 1957 melalui Surat Ikatan Amanah bagi Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam.

Penubuhan KWAICT bertujuan untuk menggalakkan pembangunan projek ICT menggunakan kepakaran dalaman dan memberikan ganjaran kepada pasukan projek yang berjaya menjimatkan kos bagi Kerajaan. KWAICT ini juga bertujuan untuk meningkatkan kepakaran dalaman melalui pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat Sektor Awam. Bagi menggalakkan lebih banyak penghasilan produk ICT tempatan, KWAICT juga menyediakan pembiayaan Program R & D ICT Sektor Awam.

Antara contoh produk ICT tempatan termasuklah aplikasi, perkakasan berasaskan perisian, kaedah, rangka kerja dan model yang dibangunkan atau dihasilkan.

Sumber & Penggunaan

Sumber KWAICT diperoleh daripada Kementerian Kewangan dengan peruntukan permulaan sebanyak RM1.0 juta. Peruntukan berikutnya akan dimohon daripada kementerian berkenaan berdasarkan pengiraan 20 peratus daripada amaun penjimatan kos, tertakluk kepada maksimum RM1.0 juta bagi setiap Projek ICT yang diberikan ganjaran melalui KWAICT ini. Penjimatan kos adalah daripada kiraan jumlah kos projek bagi perkhidmatan yang dilaksanakan secara dalaman berbanding sekiranya perkhidmatan dilaksanakan oleh pihak swasta.

KWAICT akan digunakan untuk tujuan pemberian ganjaran dan pembiayaan seperti yang berikut :

(a) Memberikan ganjaran kepada Pasukan Projek ICT mengikut pengiraan 20 peratus daripada jumlah penjimatan kos tertakluk kepada jumlah maksimum sebanyak RM100,000.00.

(b) Membiayai Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat Sektor Awam.

(c) Membiayai Program R & D ICT Sektor Awam.

(d) Membiayai perbelanjaan lain yang secara langsung berkaitan dengan pentadbiran KWAICT seperti yang ditetapkan dalam Surat Ikatan Amanah. Antara contoh perbelanjaan termasuklah penganjuran seminar atau bengkel, bayaran sagu hati penceramah dan perbelanjaan untuk pencetakan laporan serta bahan rujukan
mengikut keperluan.

Pelaksanaan

 

Permohonan pemberian ganjaran dan pembiayaan daripada KWAICT hendaklah berpandukan Tatacara Permohonan Ganjaran dan Pembiayaan daripada Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor
Awam (KWAICT) seperti Lampiran 1. Tatacara ini menjelaskan kaedah permohonan ganjaran oleh Pasukan Projek ICT, permohonan pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat Sektor Awam serta permohonan pembiayaan Program R & D ICT Sektor Awam. Tatacara ini juga menjelaskan kriteria dan proses penilaian, tadbir urus KWAICT serta tanggungjawab agensi.

 

Pemakaian

Pekeliling Am ini terpakai kepada semua Kementerian, Jabatan dan Agensi Kerajaan Persekutuan.

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa negeri masingmasing, Pentadbiran Negeri disarankan untuk menubuhkan kumpulan wang amanah ICT bagi tujuan yang sama dengan menggunakan peruntukan negeri masing-masing.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Am ini berkuat kuasa mulai tarikh dikeluarkan.

Pertanyaan

Sebarang pertanyaan berkenaan dengan Pekeliling Am ini boleh dikemukakan kepada:

Setiausaha Jawatankuasa KWAICT,
Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras 6, Blok B2,
Kompleks Jabatan Perdana Menteri,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 Putrajaya.

No. Telefon : 03 – 8000 8000
No. Faksimili : 03 – 8888 3721
E-mel : kwaict@mampu.gov.my
Laman Sesawang : http://kwaict.mampu.gov.my

Download Pekeliling Diatas dan Dapatkan Lampiran Berikut :

  • Lampiran A Borang Permohonan Pemberian Ganjaran Ahli Pasukan Projek ICT Sektor Awam
  • Lampiran A1 Format Ringkasan Eksekutif
  • Lampiran A2 Format Laporan Penuh Projek ICT
  • Lampiran A3 Jadual Tempoh Penglibatan Ahli Pasukan Projek ICT Sektor Awam
  • Lampiran A4 Jadual Tempoh Penglibatan Ahli Pasukan Projek ICT Pihak Swasta
  • Lampiran A5 Jadual Penjimatan Kos Projek ICT
  • Lampiran A5-1 Kaedah Pengiraan Penjimatan Kos Projek ICT
  • Lampiran A5-2 Kaedah Pengiraan Pengagihan Ganjaran Ahli Pasukan Projek ICT
  • Lampiran B Borang Permohonan Pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme
  • Lampiran Pegawai Skim Perkhidmatan Teknologi Maklumat Sektor Awam
  • Lampiran C Borang Permohonan Pembiayaan Program R & D ICT
  • Lampiran D Kriteria dan Proses Penilaian Ganjaran Ahli Pasukan Projek ICT Sektor Awam
  • Lampiran D1 Carta Alir Proses Pemberian Ganjaran Pasukan Projek ICT
  • Lampiran E Kriteria dan Proses Penilaian Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme Pegawai Skim
  • Lampiran Perkhidmatan Teknologi Maklumat Sektor Awam
  • Lampiran E1 Carta Alir Proses Pembiayaan Program Peningkatan Kompetensi dan Profesionalisme
  • Lampiran F Kriteria dan Proses Penilaian Program R & D ICT
  • Lampiran F1 Carta Alir Proses Pembiayaan Program R & D ICT
  • Lampiran G Jawatankuasa Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (JKWAICT)
  • Lampiran H Jawatankuasa Teknikal Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (JTKWAICT)
  • Lampiran I Borang Maklumat Penjimatan Kos Projek ICT
  • Lampiran I1 Format Laporan Penuh Projek ICT
  • Lampiran I2 Jadual Tempoh Penglibatan Ahli Pasukan Projek ICT Sektor Awam
  • Lampiran I3 Jadual Tempoh Penglibatan Ahli Pasukan Projek ICT Pihak Swasta
  • Lampiran I4 Jadual Penjimatan Kos Projek ICT

PA Bil.03/2014 Pekeliling Pelaksanaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT

Secara ringkasnya, pekeliling ini untuk menjelaskan tentang pengurusan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT Sektor Awam (KWAICT).

Nama Pekeliling : Pelaksanaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT 

Format Fail : PDF

Download :PA Bil.03/2014 Pekeliling Pelaksanaan Kumpulan Wang Amanah Pembangunan Projek ICT

Oleh : Ketua Setiausaha Negara

Add Comment