PA Bil.03/2000 Pekeliling Rangka Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kerajaan

Tujuan Pekeliling Rangka Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kerajaan dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan untuk menjelaskan Rangka Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kerajaan serta perkara-perkara berkaitan yang perlu diberi pertimbangan dan diambil tindakan oleh agensi-agensi Kerajaan.

Latar Belakang

Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (information and communications technology) atau ICT terutamanya dalam usaha menjayakan pembangunan dan pelaksanaan Aplikasi Perdana Koridor Raya Multimedia. Kerajaan juga sedar akan repositori maklumat semasa yang sangat besar dalam simpanannya, dan dijangka akan bertambah besar dengan terlaksananya projek Aplikasi Perdana yang diterajui Perkhidmatan Awam. Nilai serta kegunaan repositori maklumat juga dijangka akan terus meningkat hasil dari peningkatan pengguna yang bergantung kepada sistem ICT. Ini merupakan sebahagian daripada kesan ledakan
pembangunan ICT yang telah mencorak budaya kerja serta cara penyampaian perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat. Trend menunjukkan semakin banyak agensi Kerajaan mengubah hala kepada penggunaan ICT yang lebih meluas untuk mengurangkan kos operasi dan meningkatkan produktiviti dan kualiti perkhidmatan kepada pelanggan.

Pertumbuhan pesat penggunaan ICT di kalangan ini, terutama melalui kemudahan Internet, mendedahkan maklumat secara lebih luas dan ini memungkinkan berlakunya pencerobohan yang boleh mengakibatkan kebocoran maklumat rahsia rasmi dan maklumat rasmi Kerajaan. Keadaan ini jika tidak diberi perhatian rapi boleh
menimbulkan masalah yang lebih besar di masa hadapan. Di samping itu perlu ada keseimbangan antara kawalan keselamatan yang terlalu ketat sehingga membatasi penyebaran maklumat penyampaian perkhidmatan, dengan kawalan yang terlalu longgar yang boleh memudaratkan keselamatan atau kepentingan Perkhidmatan Awam dan
Negara.

Menyedari pentingnya usaha-usaha menjamin keselamatan ICT, satu rangka Dasar Keselamatan ICT Kerajaan telah digubal berpandukan kepada prinsip-prinsip keselamatan ICT yang kukuh, tanggungjawab terhadap keselamatan maklumat, kesedaran terhadap ancaman dan langkah-langkah peningkatan tahap keselamatan maklumat.

Rangka Dasar Keselamatan ICT Kerajaan

Rangka Dasar Keselamatan ICT ini dirumus bagi memenuhi keperluan penguatkuasaan, kawalan dan langkah-langkah yang menyeluruh untuk melindungi aset ICT Kerajaan. Perlindungan keselamatan ini perlu bersesuaian dengan nilai atau sensitiviti aset yang dimaksudkan. Ia juga perlu seimbang dengan kesan yang mungkin
timbul akibat kegagalan perlindungan yang sesuai. Pernyataan dasar, prinsip, objektif dan skop dasar ini dijelaskan dalam lampiran kepada Pekeliling ini.

Tanggungjawab Agensi

Semua agensi Kerajaan adalah dikehendaki mematuhi Rangka Dasar Keselamatan ICT Kerajaan dan melaksanakan tanggungjawab yang ditetapkan. Untuk maksud ini, semua Ketua Jabatan adalah diminta mengambil tindakan-tindakan berikut:
a. Melantik seorang Pegawai Keselamatan ICT di kalangan pegawai kanan yang bertanggungjawab dalam melaksanakan tindakan-tindakan yang ditetapkan dalam Rangka Dasar Keselamatan ICT. Perlantikan pegawai ini dan sebarang pertukaran perlu dimaklumkan kepada MAMPU.
b. Menyediakan semua infrastruktur keselamatan ICT menepati prinsip-prinsip keselamatan berpandukan Rangka Dasar Keselamatan ICT dan Arahan Keselamatan yang disediakan oleh Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan.
c. Menyedia dan mengkaji semula dokumen infrastruktur keselamatan ICT bagi tujuan audit keselamatan ICT.
d. Mengenal pasti bidang-bidang keselamatan ICT yang perlu diberi perhatian rapi dan mengambil tindakan segera mengatasinya.
e. Memastikan tahap keselamatan ICT adalah terjamin setiap masa.

Khidmat Nasihat

Sebarang kemusykilan berkaitan dengan Surat Pekeliling ini dan Rangka Dasar Keselamatan ICT Kerajaan bolehlah dirujuk kepada MAMPU, manakala kemusykilan berkaitan dengan Arahan Keselamatan hendaklah dirujuk kepada Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia.

 

 

Tarikh Kuat Kuasa

Surat Pekeliling ini berkuatkuasa mulai tarikh ia dikeluarkan.

 

PA Bil.03/2000 Pekeliling Rangka Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kerajaan

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan untuk menjelaskan Rangka Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kerajaan serta perkara-perkara berkaitan yang perlu diberi pertimbangan dan diambil tindakan oleh agensi-agensi Kerajaan.

Nama Pekeliling : Rangka Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kerajaan

Format Fail : PDF

Download : PA Bil.03/2000 Pekeliling Rangka Dasar Keselamatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi Kerajaan

Oleh : Ketua Setiausaha Negara

Vote 5 Stars

Add Comment

error: Content is protected !!