PA Bil.01/2006 Pekeliling Pengurusan Laman Web/Portal Sektor Awam

Tujuan Pekeliling Pengurusan Laman Web/Portal Sektor Awam dikeluarkan

Pekeliling Am ini bertujuan memaklumkan pelaksanaan Portal myGovernment, menekankan kepentingan tadbir urus laman web/portal sektor awam serta memberikan panduan di dalam pembangunan dan penyenggaraan laman web/portal sektor awam.

Latar Belakang

Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2000 “Garis Panduan Malaysian Civil Service Link (MCSL) dan Laman Web Agensi Kerajaan” menerangkan mengenai peranan MCSL serta menyediakan panduan mengenai pembangunan dan
penyenggaraan laman web agensi-agensi sektor awam yang menjadi komponen penting MCSL.

Portal myGovernment telah menggantikan MCSL pada tahun 2005. myGovernment merupakan gerbang utama dan pusat setempat bagi maklumat dan perkhidmatan online Kerajaan yang menghubungkan pelanggan kepada laman
web/portal agensi-agensi sektor awam.

Selaras dengan pelaksanaan myGovernment dan perkembangan teknologi semasa, Kerajaan bersetuju supaya Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2000 dikaji semula untuk memantapkan pengurusan dan meningkatkan kualiti laman web/portal sektor awam merangkumi myGovernment dan laman web/portal agensi-agensi sektor awam.

Garis Panduan Portal myGovernment Dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam

Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 “Pengurusan Laman Web/Portal Sektor Awam” mengandungi Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam seperti di Lampiran. Garis panduan ini mempunyai tujuan seperti berikut:
(a) Memaklumkan pelaksanaan myGovernment sebagai gerbang maklumat sektor awam;
(b) Menekankan kepentingan tadbir urus laman web/portal di peringkat sektor awam dan di peringkat agensi; dan (c) Memberikan panduan kepada agensi-agensi sektor awam di dalam membangun dan menyenggara laman web/portal agensi masingmasing.

Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam mengandungi perkara-perkara berikut:
(a) Pengenalan kepada myGovernment;
(b) Tadbir urus laman web/portal di peringkat sektor awam dan di peringkat agensi;
(c) Amalan terbaik di peringkat global (global best practices) di dalam pembangunan laman web/portal;
(d) Panduan di dalam pembangunan dan penyenggaraan laman web/portal agensi-agensi sektor awam yang meliputi prinsip asas di dalam pembangunan laman web, ciri-ciri laman web, ciri-ciri portal, langkah-langkah keselamatan dan pengukuran prestasi bagi laman web/portal; dan
(e) Senarai semak sebagai rujukan pantas bagi pembangunan dan penyenggaraan laman web/portal.

Tanggungjawab Agensi

Agensi-agensi sektor awam hendaklah mematuhi Garis Panduan Portal myGovernment dan Laman Web/Portal Agensi-agensi Sektor Awam. Sehubungan dengan ini, setiap agensi adalah bertanggungjawab mengambil tindakan-tindakan berikut:
(a) Memastikan perkhidmatan dan maklumat agensi yang bersesuaian boleh dicapai melalui myGovernment;          (b) Memastikan struktur tadbir urus laman web/portal di agensi diwujudkan serta memainkan peranan aktif dan berkesan;
(c) Mematuhi prinsip dan ciri-ciri asas laman web/portal;
(d) Melaksanakan langkah-langkah keselamatan laman web/portal agensi; dan
(e) Mengukur prestasi laman/web portal.

Pemakaian

Tertakluk kepada penerimaannya oleh pihak berkuasa masing-masing, Pekeliling Am ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua Perkhidmatan Awam Negeri, Pihak Berkuasa Berkanun (Persekutuan dan Negeri) dan Pihak Berkuasa Tempatan.

Tarikh Kuat Kuasa

Pekeliling Am ini adalah berkuat kuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

Pembatalan

Dengan berkuat kuasanya Pekeliling Am ini, Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2000 “Garis Panduan Malaysian Civil Service Link (MCSL) dan Laman Web Agensi Kerajaan” adalah dibatalkan.

 

 

PA Bil.01/2006 Pekeliling Pengurusan Laman Web/Portal Sektor Awam

Secara ringkasnya, pekeliling ini bertujuan memaklumkan pelaksanaan Portal myGovernment, menekankan kepentingan tadbir urus laman web/portal sektor awam serta memberikan panduan di dalam pembangunan dan penyenggaraan laman web/portal sektor awam.

Nama Pekeliling : Pengurusan Laman Web/Portal Sektor Awam

Format Fail : PDF

Download : Pengurusan Laman Web/Portal Sektor Awam

Oleh : Ketua Setiausaha Negara

Add Comment