P ICT Bil.02/2009 Pekeliling Tadbir Urus Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) Kementerian Pelajaran Malaysia

Pekeliling Tadbir Urus Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) Kementerian Pelajaran Malaysia

Tujuan Pekeliling Tadbir Urus Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) Kementerian Pelajaran Malaysia dikeluarkan

Pekeliling ini bertujuan untuk menerangkan mengenai tadbir urus Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa kecil di bawahnya.

Latar Belakang

Jawatankuasa Maklumat Pengkomputeran Kementerian (JMPK) telah ditubuhkan pada 1 Ogos 1997 sebagai badan induk yang bertanggungjawab untuk merancang, menyelaras dan mengenalpasti keutamaan keperluan pengkomputeran serta memantau program ICT Kementerian. Penubuhan JMPK ini telah dijelaskan melalui Surat Pekeliling Komputer KPM Bilangan 1 Tahun 1997 bertarikh 1 Ogos 1997.

Kemudian, nama JMPK telah ditukar kepada Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) dengan bidang tugas yang telah diselaraskan berdasarkan Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2006 Pengukuhan Tadbir Urus Jawatankuasa IT Dan Internet Kerajaan bertarikh 13 November 2006.

Seiring dengan penubuhan JPICT, tiga (3) buah Jawatankuasa Kerja telah diwujudkan iaitu Jawatankuasa Kerja Infrastruktur dan Aplikasi Pengurusan (JKK 1) yang bertanggungjawab untuk inisiatif ICT di bawah bidang pentadbiran dan pengurusan; Jawatankuasa Kerja Pengisian Pengajaran dan Pembelajaran (JKK 2) yang bertanggungjawab untuk inisiatif ICT di bawah bidang aplikasi Pengajaran dan Pembelajaran; dan Jawatankuasa Kerja Latihan (JKK 3) yang bertanggungjawab untuk menyelaraskan latihan ICT bagi modal insan yang terlibat dalam inisiatif pengajaran dan pembelajaran. Terma Rujukan, Bidang Tugas dan Keahlian ketiga-tiga Jawatankuasa Kerja tersebut adalah seperti di Lampiran A, B dan C.

Bagi mempercepatkan kelulusan perolehan peralatan ICT bagi agensiagensi dibawah Jabatan Pelajaran Negeri (JPN), JPN telah diarah menubuhkan JPICT JPN yang dipengerusikan oleh Pengarah atau diturunkuasa kepada
Timbalan Pengarah dan diurusetiakan oleh Sektor ICT di JPN. Arahan ini dijelaskan melalui surat KP.BTMK(S)1/07/001/01 Jld 15 (1) bertarikh 29 Oktober 2007 “Kuasa Menimbang Dan Melulus Perolehan ICT Agensi Di Bawah Jabatan Pelajaran Negeri “.

Peranan dan Struktur Baru Tadbir Urus JPICT

JPICT ialah satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menyelaras dan memantau projek-projek ICT Kementerian. Fungsi utama JPICT adalah menimbang dan memberi kelulusan teknikal permohonan perolehan ICT di
Kementerian Pelajaran Malaysia berdasarkan Pelan Strategik ICT (ISP) KPM. Struktur baru tadbir urus JPICT adalah seperti di Rajah 1 berikut:

Rajah 1 : Struktur Tadbir Urus JPICT Kementerian Pelajaran Malaysia

Struktur Tadbir Urus JPICT Kementerian Pelajaran Malaysia

Terma rujukan, bidang tugas dan keahlian JPICT adalah seperti di Lampiran D.

Untuk memantapkan lagi tadbir urus JPICT, dua (2) buah Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT ditubuhkan seperti berikut :

  • Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT Pengajaran dan Pembelajaran (JKPICT – P&P) yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (TKPPM) (Dasar) dan diurusetiakan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP); dan
  • Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT Pengurusan dan Pentadbiran (JKPICT – P&T) yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) (Pengurusan) dan diurusetiakan oleh Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM).

Maklumat lanjut mengenai bidang tugas kedua-dua Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT adalah seperti di Lampiran E(i) dan E(ii).

Pada umumnya kedua-dua Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT berkenaan perlu memainkan dua peranan utama seperti berikut :-

  • Penggubalan Dasar, Strategi dan Perancangan Inisiatif ICT
  • (a) Apa-apa dasar dan strategi baru yang hendak dicadangkan ataupun apa-apa dasar dan strategi yang sedia ada yang hendak dibuat penambahbaikan yang berhubung dengan sesuatu inisiatif ICT samada untuk P&P atau P&T hendaklah terlebih dahulu dibincang, dirumus dan diputuskan di peringkat Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT yang berkenaan sebelum perkara tersebut dibawa kepada Mesyuarat JPICT untuk mendapat keputusan muktamad.
  • Penyelarasan dan Pemantauan Kemajuan Pelaksanaan Inisiatif ICT
    (a) Kedua-dua Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT yang ditubuhkan itu perlu menyelaras dan menentukan pemilik projek bagi setiap inisiatif ICT masing-masing. Pemilik projek adalah bertanggungjawab bagi setiap peringkat pelaksanaan sesuatu inisiatif iaitu pra pelaksanaan, pelaksanaan dan pasca pelaksanaan. Maklumat lanjut mengenai peranan dan tangungjawab pemilik projek dijelaskan di Lampiran E(iii). Dengan cara ini, barulah pendekatan pelaksanaan sesuatu inisiatif ICT itu dapat dibuat dengan lebih sistematik, bersepadu dan berkesan lagi.
  • (b) Apabila sesuatu inisiatif dilaksanakan, ia menjadi tanggungjawab kedua-dua Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT yang berkenaan untuk memantau kemajuan pelaksanaan bagi menentukan segala inisiatif yang dilaksanakan itu menepati jadual pelaksanaan yang telah dirancangkan. Selain daripada itu, Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT ini juga bertanggungjawab untuk menyelesaikan apa-apa masalah pelaksanaan yang berbangkit dan berhubungkait dengan inisiatif ICT masing-masing dan melaporkan kemajuan pelaksanaannya
    kepada JPICT dari masa ke semasa.
  • (c) Mana-mana isu pelaksanaan yang tidak boleh diselesaikan di peringkat Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT masing-masing hendaklah dibawa ke Mesyuarat JPICT untuk mendapatkan keputusan.

Sebagai pelengkap kepada struktur tadbir urus ICT seperti di Rajah 1 di atas, Jawatankuasa ICT (JKICT) Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) hendaklah ditubuhkan di setiap negeri. JKICT-JPN ini dipengerusikan oleh Pengarah JPN dan diurusetiakan oleh Sektor ICT di peringkat JPN.

Peranan utama JKICT-JPN adalah seperti berikut:-

  • Memantau kemajuan pelaksanaan kedua-dua inisiatif ICT dalam bidang P&P dan P&T yang dilaksanakan di peringkat negeri.
  • Melaporkan kemajuan pelaksanaan setiap inisiatif dan juga apaapa masalah pelaksanaan yang berbangkit kepada JKPICT yang berkaitan.
  • Mempertimbang dan meluluskan permohonan peralatan ICT di Sekolah-sekolah Harian.

Maklumat lanjut mengenai bidang tugas dan keurusetiaan JKICT-JPN ini adalah seperti di Lampiran F.

Pemansuhan

Dengan penubuhan kedua-dua Jawatankuasa Penyelarasan Inisiatif ICT di atas, maka ketiga-tiga Jawatankuasa Kerja iaitu JKK1, JKK2 dan JKK3 dimansuhkan.

Pemakaian

Pekeliling ICT ini pada keseluruhannya dipanjangkan kepada semua agensi dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

Tarikh Kuatkuasa

Pekeliling ICT KPM ini adalah berkuat kuasa mulai tarikh ianya dikeluarkan.

Sekian, terima kasih.

 

P ICT Bil.02/2009 Pekeliling Tadbir Urus Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) Kementerian Pelajaran Malaysia

Secara ringkasnya, pekeliling ini mengenai penambahbaikan proses bayaran balik pembaharuan lesen memandu agar lebih berkesan.

Nama Pekeliling : Tadbir Urus Jawatankuasa Pemandu ICT Kementerian Pelajaran Malaysia

Format Fail : PDF

Download : P ICT Bil.02/2009 Pekeliling Tadbir Urus Jawatankuasa Pemandu ICT (JPICT) Kementerian Pelajaran Malaysia

Oleh : Ketua Setiausaha Kementerian Pelajaran Malaysia

Add Comment