OP Bil.06/2008 Pekeliling Pekeliling Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan

Peperiksaan-peperiksaan utama yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan seperti UPSR, PMR, STAM dan SPM dijalankan bermula bulan September sehingga bulan Disember setiap tahun. Lazimnya banjir selalu berlaku dalam jangkamasa tersebut.

Peperiksaan-peperiksaan yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan dan jika ditangguhkan akan memberi implikasi yang besar kepada pengurusan peperiksaan dan calon.

Banjir boleh menjejaskan perjalanan peperiksaan dan mengancam keselamatan bahan sulit peperiksaan. Justeru langkah persediaan perlu dirancang untuk menjamin aspek-aspek berikut :Keselamatan kertas-kertas soalan

Perjalanan peperiksaan

Kehadiran calon di pusat peperiksaan mengikut jadual waktu peperiksaan

Kebajikan calon

Pengumpulan / penyimpanan / pengiriman kertas peperiksaan dan skrip jawapan calon.

Langkah Persediaan Sebelum Banjir

Pada masa ini, peraturan dan syarat mengenai tuntutan bayaran berkenaan diperuntukkan melalui Pekeliling Perkhidmatan dan Surat Pekeliling Perkhidmatan seperti yang berikut:

Persediaan oleh Lembaga Peperiksaan

Mengedarkan Pekeliling Bil. 2/99 ”Ops Payung” pada Januari setiap tahun kepada Jabatan Pelajaran Negeri berkaitan dengan langkah untuk mengatasi ancaman banjir.

Mengadakan Taklimat Keselamatan kepada petugas peperiksaan mengikut zon pada setiap tahun bermula dari bulan Januari hingga Jun untuk meningkatkan pengetahuan dan mampu menanggani sebarang ancaman semasa pengendalaian peperiksaan.

Arahan mewujudkan Jawatankuasa Keselamatan Peringkat Negeri oleh Pengarah Peperiksaan kepada Pengarah Pelajaran Negeri.

Memaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara dan Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia Jabatan Perdana Menteri tentang kemungkinan berlakunya ancaman banjir semasa peperiksaan bagi bantuan sewajarnya

Persediaan oleh Jabatan Pelajaran Negeri
(Sektor Penilaian dan Peperiksaan)

Menubuh dan menjalankan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Peringkat Negeri yang dianggotai oleh :
i. Polis DiRaja Malaysia
ii. Pejabat Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Malaysia, Jabatan Perdana Menteri
iii. Jabatan Penyiaran Negeri
iv. Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri
v. Jabatan Kerja Raya Negeri
vi. Jabatan Kesihatan Negeri
vii. Jabatan Pertahanan Awam Negeri
viii. Jabatan Penjara Negeri
ix. Jabatan Hal Ehwal Orang Asli
x. Pejabat Daerah Negeri
xi. Pos Malaysia Berhad
xii. Telekom Malaysia Berhad
xiii. Tenaga Nasional Berhad
xiv. Pejabat Pelajaran Daerah Negeri
xv. Angkatan Tentera Malaysia
xvi. Jabatan Kebajikan Masyarakat

Jawatankuasa berperanan menyediakan persediaan awal dalam menghadapi malapetaka banjir.

Persediaan oleh Pejabat Pelajaran Daerah/ Pejabat Pelajaran Gabungan

Mewujudkan bilik gerakan banjir dan talian telefon untuk menerima dan memberi maklumat terkini berhubung keadaan banjir.

Mengenalpasti sekolah, bilik kebal dan pusat peperiksaan yang berpotensi menghadapi ancaman banjir.

Mengenalpasti sekolah lain sebagai pusat peperiksaan alternatif dan pusat perpindahan banjir.

Memaklumkan kepada pihak sekolah, petugas peperiksaan, ibu bapa dan pelajar tentang:
i. peranan dan tindakan yang perlu diambil jika berlakunya ancaman banjir.
ii. laluan altenatif
iii. agensi yang sepatutnya dihubungi jika terjadinya ancaman banjir.

Persediaan oleh Pihak Sekolah

Sekolah yang berisiko tinggi menghadapi banjir perlu :
i menyediakan bilik peperiksaan altenatif yang lebih selamat
ii menyediakan alat tulis dan keperluan peperiksaan kepada calon.
iii menyediakan bilik darjah, keperluan asas, tandas dan petugas pusat untuk penempatan banjir
iv maklumat lengkap calon yang berisiko terhadap ancaman banjir
v persediaan awal kepada semua calon dalam menangani ancaman banjir seperti masa dan tempat berpindah, peralatan dan keperluan awal semasa berpindah
vi menghubungi jawatankuasa banjir yang ditubuhkan pada peringkat negeri untuk bantuan makanan (Jabatan Kebajikan Masyarakat), logistik (ATM, Polis dan Jabatan pertahanan awam) serta lain- lain keperluan.
vii membekalkan maklumat kepada semua pelajar untuk mendapatkan bantuan jika berlaku malapetaka banjir.

Persediaan oleh Pelajar dan Keluarga

Menyediakan buku, alat tulis, dokumen peperiksaan dan keperluan peribadi jika diperlukan perpindahan segera.

Mengetahui tempat perpindahan banjir atau rumah saudara mara terdekat serta pusat peperiksaan yang baru jika terdapat sebarang perubahan pusat peperiksaan yang dimaklumkan oleh pihak sekolah.

Mengetahui nombor telefon dan organisasi berkaitan untuk mendapatkan bantuan jika diperlukan.

Peka kepada maklumat terkini terutamanya dari Kementerian Pelajaran Malaysia berhubung dengan keadaan banjir melalui siaran media massa.

Langkah-Langkah Yang Diambil Semasa Banjir

Tindakan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri/PPD/ PPG

Mengoperasikan bilik gerakan banjir oleh kakitangan terlatih untuk menyalurkan bantuan dan maklumat terkini kepada personel dan organisasi berkaitan.

Memindahkan pusat peperiksaan ke pusat peperiksaan alternatif sama ada di pusat sama yang lebih selamat atau pusat lain yang telah ditentukan.

Memindahkan bahan dan kertas peperiksaan serta skrip jawapan calon mengikut prosedur keselamatan ke bilik kebal atau ke balai polis/IPD yang bersesuaian.

Menghulurkan bantuan dengan kadar segera kepada pusat perpindahan banjir, calon peperiksaan, pelajar sekolah dan petugas peperiksaan.

Semua petugas peperiksaan tidak dibenarkan meninggalkan daerah masing-masing tanpa kebenaran Pengarah Pelajaran Negeri.

Mengarahkan petugas peperiksaan menguruskan calon dan pusat peperiksaan mengikut prosedur keselamatan yang ditetapkan untuk membolehkan peperiksaan berjalan mengikut jadual.

Tindakan oleh pihak Sekolah

Mengaktifkan bilik peperiksaan alternatif supaya dapat berfungsi dengan sempurna agar calon dapat mengambil peperiksaan mengikut jadual.

Memastikan semua calon hadir untuk mengambil peperiksaan. Sekiranya terdapat calon yang terkandas, bantuan disalurkan segera untuk memastikan kehadiran calon, dengan menghubungi Jawatankuasa Keselamatan Peringkat Negeri.

Memaklumkan kepada pelajar agar segera berpindah ke sekolah atau menumpang di rumah saudara mara.

Memaklumkan kepada pelajar supaya membawa buku, alat tulis, dokumen peperiksaan dan keperluan peribadi seperti tikar, selimut dan bantal semasa berpindah.

Menyediakan tempat tinggal, makanan dan keperluan asas sepanjang ancaman banjir kepada calon dan lain-lain mangsa banjir.

Memastikan keselesaan dan keselamatan calon serta pusat peperiksaan tanpa sebarang gangguan dari mangsa banjir lain jika sekolah berkenaan dijadikan pusat pemindahan banjir.

Memastikan guru-guru yang bukan petugas peperiksaan dikerahkan untuk membantu.

Mengadakan jaringan kerjasama dengan agensi lain dalam jawatankuasa keselamatan peringkat negeri untuk sebarang bantuan seperti makanan, logistik dan kesihatan.

Memaklumkan maklumat terkini tentang ancaman banjir daripada KPM kepada calon yang terlibat agar penyelarasan penjadualan peperiksaan diketahui oleh calon.

Tindakan oleh Petugas Peperiksaan

Penyelia Kawasan, Ketua Pengawas, Penolong Pengawas, Pengetua/Guru Besar hendaklah dengan segera melaporkan diri ke pusat berkenaan.

Ketua Pengawas, Penolong Pengawas, Pengetua/Guru Besar dan Guru Bertugas hendaklah menentukan penempatan calon lelaki/perempuan di bilik berasingan di pusat peperiksaan berkenaan.

Ketua Pengawas, Penolong Pengawas, Pengetua/Guru Besar dan Guru Bertugas hendaklah menetapkan peraturan bilik air/tandas dan bilik ulangkaji.

Penyelia Kawasan, Pengetua/Guru Besar hendaklah mendapatkan bantuan dan kerjasama Jawatankuasa Banjir Tempatan untuk mengadakan bekalan makan minum, perubatan dan lain-lain keperluan untuk pusat yang terlibat.

Penyelia Kawasan, Ketua Pengawas, Pengetua/Guru Besar Penyelia menghubungi dan mendapatkan kerjasama Jawatankuasa Banjir Tempatan untuk menyediakan pengangkutan kepada calon yang menghadiri peperiksaan pada hari berkenaan.

Penyelia Kawasan memastikan kertas peperiksaan diedarkan dengan selamat dan sempurna.

Ketua-ketua pengawas hendaklah menentukan bahawa skrip jawapan dikumpul/disimpan dan dikirim dengan selamat dan sempurna.

Penyelia Kawasan/Ketua Pengawas/Pengetua/Guru Besar perlu memberitahu atau mendapatkan arahan daripada Pengarah Pelajaran Negeri masing-masing tentang sebarang langkah atau tindakan yang perlu diambil bagi melicinkan perjalanan peperiksaan.

Tindakan oleh Pelajar dan Keluarga

Membawa buku, alat tulis, dokumen peperiksaan dan keperluan peribadi seperti tikar, selimut dan bantal semasa perpindahan sama ada ke sekolah atau rumah saudara mara.

Menghubungi pihak sekolah atau Jawatankuasa Banjir Tempatan jika terkandas semasa banjir untuk memohon bantuan.

Menjaga kesihatan agar calon dapat menduduki peperiksaan.

Mendapatkan maklumat terkini terutamanya dari Kementerian Pelajaran Malaysia berhubung dengan keadaan banjir melalui siaran media massa.

Langkah-Langkah Yang Diambil Selepas Peperiksaan

Tindakan oleh pihak Jabatan Pelajaran Negeri/PPD/ PPG

Memastikan semua kertas soalan tertutup dan skrip jawapan calon disimpan mengikut prosedur keselamatan di tempat yang selamat sebelum proses penghantaran ke Lembaga Peperiksaan atau pemeriksa yang berkaitan.
4.1.2 Ketua Sektor, Sektor Penilaian dan Peperiksaan hendaklah membuat laporan kepada Pengarah Pelajaran Negeri dan Pengarah Peperiksaan tentang kesan ancaman banjir terhadap pengurusan peperiksaan.

Penutup

Dengan langkah-langkah yang tersebut di atas, adalah difikirkan bahawa perjalanan dan keselamatan peperiksaan serta kehadiran calon-calon tidak akan terganggu melainkan banjir yang berlaku itu merupakan banjir besar yang menimbulkan keadaan darurat.

Walaupun berlaku banjir, Lembaga Peperiksaan akan meneruskan peperiksaan. Pembatalan atau penangguhan peperiksaan hanya merupakan pilihan terakhir yang akan diumumkan melalui media
massa oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

OP Bil.06/2008 Pekeliling Pekeliling Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan

Nama Pekeliling : Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan

Format Fail : PDF

Download : OP Bil.06/2008 Pekeliling Pekeliling Menghadapi Banjir Yang Mengancam Perjalanan Peperiksaan

Add Comment